Editor’s Pick – Workers Times https://www.workerstimes.com All About Workers Mon, 29 Dec 2025 02:47:46 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=6.9 197127691 Menanti kesinambungan usaha Steven Sim martabat pekerja https://www.workerstimes.com/menanti-kesinambungan-usaha-steven-sim-martabat-pekerja-2/ Thu, 25 Dec 2025 07:25:43 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3750

Steven Sim menyambut pemimpin kesatuan dan badan-badan bukan kerajaan di pekarangan Menara Parlimen ketika beliau membentangkan Rang Undang-undang Pekerja Gig atas kapasiti sebagai Menteri Sumber Manusia, baru-baru ini. – Foto ihsan FB Steven Sim

Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

PANDANGAN: Pada 13 Disember 2023, Steven Sim menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu sebagai satu kesinambungan dasar dalam Kerajaan Madani. Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas tiba untuk memulakan tugas rasmi di kementerian itu. Beliau yang sebelum itu Timbalan Menteri Kewangan 2 dilantik menjadi menteri penuh di bawah rombakan Jemaah Menteri pertama, yang diumumkan pada 12 Disember 2023, kira-kira setahun selepas Kerajaan Madani dibentuk. Kata beliau lagi: “… ini merupakan peralihan dalam kerajaan yang sama. Justeru itu, kita menekankan kepada kesinambungan kerana kita melihat kepada apa-apa yang telah dilakukan. Kalau perlu tambah baik akan buat dan fokus utama saya pada masa ini ialah untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia tidak kira kaum dan agama.”

Dalam tempoh 24 jam selepas pelantikan diumumkan, Steven Sim memberi komitmen untuk terus memperjuangkan hak pekerja di mana pada masa sama nasib majikan juga tidak diabaikan. “Bila saya kata begitu kerana saya juga tekankan bahawa nasib majikan dan pekerja terikat sama. Kita tidak boleh antigonis antara satu sama lain kerana kalau nasib pekerja tidak dibela maka dia akan beri kesan kepada syarikat dan perniagaan.”

Ahli Parlimen Bukit Mertajam ini telah mengotakan janji beliau sepanjang menerajui Kementerian Sumber Manusia. Dalam tempoh 24 bulan menerajui Kementerian Sumber Manusia yang turut diberikan singkatan sebagai Kesuma, beliau telah memahat namanya di kementerian itu, antara portfolio yang amat penting. Negara mempunyai pekerja seramai 16 juta orang, yang kebanyakannya merupakan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Angka itu juga lazimnya dilihat sebagai pangkalan sokongan kepada satu-satu kerajaan yang stabil.
Mengikut laporan KOSMO! ketika itu, kenaikan pangkat beliau juga mendapat sambutan positif dari pengguna media sosial. Hari ini beliau memulakan kepimpinan di kementerian baharu.

Sepanjang lima dekad lalu saya, di sebalik penglibatan saya dalam pergerakan kesatuan sekerja, saya telah melalui dan menyaksikan kepimpinan lebih satu dozen menteri sumber manusia. Kebanyakan mereka yang dilantik berusia apabila mencecah usia lebih 40 tahun. Sebaliknya, Steven Sim merupakan seorang menteri sumber manusia yang muda, dan beliau telah membuktikan komitmen dan kesungguhan beliau mengangkat martabat pekerja sepanjang kepimpinan di Kesuma.

Di sini saya ingin berkongsi pandangan yang telah kongsikan sempena 100 hari pertama Steven Sim menerajui Kesuma. Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), yang mempunyai 126 buah kesatuan gabungan dengan keahlian seramai 450,000 ahli, mendapati beliau telah membawa pendekatan kepimpinan konstruktif dan signifikan yang tersendiri. Beliau telah melengkapkan 100 hari pertamanya dengan penuh gaya dan kejayaan yang telah menyentuh hati banyak pemegang taruh, terutama golongan pekerja.

Steven Sim ketika mengadakan lawatan kerja ke UNI-MLC pada Januari 2024.

Sebagaimana telah dijanjikan sejurus selepas dilantik sebagai menteri sumber manusia pada Disember 2023, Steven Sim telah mengotakan janji dan komitmen beliau untuk mengangkat martabat golongan pekerja di Malaysia. Kepimpinan Steven Sim telah membawa sejumlah perubahan lebih cemerlang, bukan sahaja kepada KESUMA, malah kepada golongan pekerja dan gerakan kesatuan sekerja di Malaysia dengan slogan Kerajaan Perpaduan – Malaysia Madani. Dalam tempoh yang singkat beliau telah memperlihatkan satu kepimpinan padu dan bertenaga untuk membawa lebih banyak perubahan positif yang diharapkan oleh pekerja dan kepimpinan kesatuan sekerja. Pencapaian utama lain termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan serta gaji bulanan median yang

buat pertama kali melepasi ambang RM3,000. Selain itu, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif memberi manfaat kepada lebih 32,000 pekerja pada 2025 dengan kenaikan gaji permulaan median sehingga 16 peratus. Kadar pengangguran juga mencatatkan paras terendah dalam 10 tahun, selain peningkatan tertinggi dari segi penubuhan kesatuan sekerja baharu.

KESUMA juga telah meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) C155 serta menguatkuasakan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) berlandaskan amalan terbaik dunia. Untuk pertama kali dalam 20 tahun, Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak dipinda bagi memastikan hak pekerja lebih saksama di seluruh negara. Kementerian turut memperkasakan Mahkamah Perusahaan Malaysia, hak pekerja migran, termasuk dari segi pembayaran gaji, perlindungan keselamatan sosial dan mekanisme aduan, di samping penambahbaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Turut direalisasikan ialah pengenalan Skim Lindung 24 Jam PERKESO selepas 50 tahun dan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig. Pencapaian lain termasuk revolusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran, bagi memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia dan Sijil Pakar Malaysia.

Beliau bukan sahaja aktif dalam menambah baik secara holistik keperluan pekerja, tetapi memperlihatkan bahawa beliau faham, menghayati dan berupaya mendalami isu dan masalah serta perkara yang diperlukan oleh pekerja di pelbagai peringkat tenaga kerja di Malaysia.
Sejumlah inisiatif, program dan dasar yang diumumkan untuk pelaksanaan sebenarnya telah mula membawa sinaran baharu dalam usaha menambah baik kebajikan pekerja-pekerja di negara ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa, dalam tempoh dua tahun, Steven Sim telah membuktikan beliau seorang Menteri yang berjiwa rakyat yang senantiasa mengambil peduli, khususnya hal ehwal kebajikan serta kesejahteraan golongan pekerja. Rakyat terutama kaum pekerja

memerlukan pimpinan seperti itu, yang sentiasa mengutamakan kepentingan dan hak pekerja. Negara masih mengingati mantan Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek. Dan, hari ini kita telah menyaksikan kehadiran seorang yang kesungguhan dan iltizam luar biasa demi masa depan pekerja.

Sejak mengemudi KESUMA beliau telah menyuntik semangat yang baharu, idea yang baharu dan hala tuju yang baharu selain membentuk hubungan yang baharu dengan para pemegang taruh, mempamerkan sentuhan serta gelombang reach out yang baharu serta senantiasa mengamalkan pendekatan senyum dengan semua lapisan masyarakat.
UNI-MLC melihat pendekatan yang dizahirkan oleh Steven Sim telah memberikan keyakinan dalam kalangan pekerja dan kesatuan sekerja. UNI-MLC melihat segala perkara yang digerakkan oleh beliau sepanjang dua tahun lalu sebagai satu permulaan yang baik untuk pekerja, rakyat dan negara. UNI-MLC yakin lebih banyak penambahbaikan akan dibawa oleh KESUMA di bawah kepimpinan dan menteri baru.

Untuk rekod, antara perkara penting dan signifikan yang telah diumumkan untuk dilaksanakan ialah Perancangan dan Hala Tuju untuk KESUMA pada tahun ini, fokus 3K – meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan dalam kalangan pekerja Malaysia, Projek “Skills Passport”, penambahbaikan Skim Latihan Industri, mengaktifkan semula Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), menambah peruntukan kewangan atau geran untuk pergerakan kesatuan sekerja dan menambah baik fungsi dan perjalanan Mahkamah Perusahaan dan Jabatan Perhubungan Perusahaan. Selain itu, beliau turut mengumumkan beberapa penambahbaikan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Paling konkrit, beliau telah mengambil pendekatan luar biasa untuk menjalin hubungan yang membina dengan melawat sendiri badan induk kesatuan sekerja termasuk UNI-MLC pada 16.1.2024 dan kali pertama Lagu Solidariti dinyanyikan bersama di pejabat UNI-MLC, yang tidak dilakukan oleh mana-mana menteri sumber manusia.

UNI-MLC bukan sahaja bangga dengan prestasi yang telah diperlihatkan oleh beliau, malah kagum dengan pendekatan yang telah diambil untuk menambah baik pencapaian dan penyampaian KESUMA sebagaimana diharapkan oleh pekerja-pekerja Malaysia selama ini.

Negara mempunyai lebih 16 juta pekerja, maka satu usaha menyeluruh perlu dilakukan untuk menambah baik kualiti kehidupan mereka dan keluarga masing-masing. Steven Sim telah menunjukkan komitmen padu beliau, dan kami berharap dan meletakkan keyakinan tinggi bahawa pengganti beliau, Datuk R.Ramanan akan meneruskan kesinambungan itu. Kami yakin beliau akan meneruskan pendekatan positif itu untuk membaiki kualiti kehidupan para pekerja yang merupakan nadi pembangunan negara.

UNI-MLC akan terus memberikan sokongan padu ke atas kepimpinan baharu untuk memperkenalkan lebih banyak perubahan dan penambahbaikan demi kelangsungan hidup pekerja di Malaysia dan meningkatkan martabat para pekerja.

Nota: Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)

Steven Sim menunjukkan empat undang-undang (RUU) yang dibentangkan di Parlimen awal bulan ini sebelum beliau ditugaskan dengan portfolio baharu. Empat RUU itu memberi perlindungan PERKESO 24 jam kepada pekerja, Menambah baik elaun untuk pekerja yang hilang kerja, memperkenalkan Sijil Pakar untuk mengiktirafkan pakar tanpa sijil dalam industri, dan memperluaskan pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk lebih ramai rakyat Malaysia mengikuti kursus kemahiran berkualiti.

]]>
3750
Pilihan raya Singapura: PAP catat kemenangan besar, terus kekal kuasa merentasi lebih enam dekad https://www.workerstimes.com/pilihan-raya-singapura-pap-catat-kemenangan-besar-terus-kekal-kuasa-merentasi-lebih-enam-dekad/ Sun, 04 May 2025 05:54:30 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3734
Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang memerintah sejak lebih enam dekad mengekalkan tampuk pemerintahan dengan satu lagi kemenangan besar dalam pilihan raya umum yang diadakan semalam. – Foto ihsan FB PAP

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang memerintah sejak lebih enam dekad mengekalkan tampuk pemerintahan dengan satu lagi kemenangan besar dalam pilihan raya umum yang diadakan semalam, 3 Mei.

Jabatan Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan PAP dalam pilihan raya umum republik itu.

Selepas pengiraan undi selesai, Jabatan Pilihan Raya mengumumkan bahawa PAP telah memenangi 82 kerusi parlimen. Parti itu telah pun memperoleh lima kerusi tanpa saingan, menjadikan jumlah ahli parlimen yang dikuasai adalah 87 orang.

Dalam pada itu, Parti Pekerja (WP) mengekalkan 10 kerusinya yang dimenangi pada tahun 2020.

Sebelum pengumuman itu, penyokong PAP, yang telah memerintah Singapura sejak 1959, berkumpul di stadium mengibarkan bendera dan bersorak dalam sambutan awal.

]]>
3734
Perbekas, Pejasama sambut baik Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri https://www.workerstimes.com/perbekas-pejasama-sambut-baik-bantuan-khas-kewangan-aidilfitri/ Sat, 22 Mar 2025 02:42:37 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3650
Persatuan Bekas Kastam Malaysia dan Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia  menyambut baik keputusan kerajaan  memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2025 RM250 kepada pesara.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) dan Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma) menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2025 sebanyak RM250 kepada pesara.

Presiden Perbekas dan Pejasma, Datuk Abdul Rahman Manan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman yang dibuat itu.

Bagaimanapun kata beliau, Pejasma memohon pertimbangan khas supaya bekas kakitangan Bank SImpanan Nasional (BSN) yang masih belum diberi taraf pencen, turut diberi insentif itu.

“Meskipun kerajaan meluluskan RM250 berbanding RM350, kami menyambut baik keputusan kerajaan,” kata beliau kepada Workers Times.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kakitangan kerajaan akan menerima BKK RM500 manakala RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Insentif itu adalah bagi kakitangan Gred 15 ke bawah (Skim Saraan Perkhidmatan Awam) dan Gred 56 ke bawah (Sistem Saraan Malaysia).

Anwar juga mengumumkan bahawa guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan takmir, imam, bilal, tok siak serta noja dan marbot masjid seluruh negara akan menerima BKK Aidilfitri RM250.

Dua hari lalu, Abdul Rahman memohon agar bantuan Aidilfitri sebanyak RM350 diberikan kepada pesara kerajaan Gred 56 dan ke bawah sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilftri.

“Seperti mana kita semua maklum, rata-rata pesara Gred 56 ke bawah khasnya Gred 1- 40, tidak mempunyai pendapatan sampingan selain pencen bulanan.

“Perbekas dan Pejasma yakin bahawa Kerajaan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar yang begitu perihatin terhadap rakyat akan memberi perimbangan yang sewajarnya.

“Semoga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan membuat penguman tidak berapa lama lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran kali ini akan membabitkan implikasi kewangan RM900 juta yang memanfaatkan dua juta penjawat awam dan pesara.

“Kerajaan berharap pemberian bantuan ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam serta pesara dan menjadi pemangkin untuk berkhidmat penuh dedikasi,” kata beliau.

]]>
3650
MTUC: Dasar pencarum Perkeso tidak perlu tanggung kos rawatan di hospital kerajaan pendekatan proaktif https://www.workerstimes.com/mtuc-dasar-pencarum-tidak-perlu-tanggung-kos-rawatan-di-hospital-kerajaan-pendekatan-proaktif/ Sat, 08 Feb 2025 13:46:56 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3606
MTUC melihat keputusan ini sebagai satu langkah progresif ke arah memperkukuhkan sistem perlindungan sosial pekerja Malaysia

Oleh Mohd Effendy Abdul Ghani

PANDANGAN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman kerajaan bahawa pekerja – pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengalami bencana kerja tidak lagi perlu menanggung kos rawatan di hospital kerajaan mulai 1 Mac ini.

Langkah ini merupakan satu kejayaan besar dalam usaha meningkatkan perlindungan sosial pekerja serta memastikan kebajikan mereka lebih terjamin.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong semalam, semua pencarum Perkeso tidak perlu lagi membayar untuk rawatan perubatan di klinik panel bermula tahun ini. Sim bagaimanapun berkata kemudahan itu hanya melibatkan kes kemalangan bencana pekerjaan serta penyakit khidmat, dan terdapat 1,400 klinik panel di seluruh negara, dengan 129 daripadanya di Pulau Pinang. Sim berkata langkah itu dibuat bagi memudahkan pekerja terutama mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan di klinik panel.

Sebagai organisasi induk yang mewakili suara pekerja Malaysia, MTUC telah lama memperjuangkan akses rawatan perubatan percuma bagi pekerja yang mengalami kecederaan akibat pekerjaan mereka.

Keputusan kerajaan ini selari dengan prinsip keadilan sosial dan tanggungjawab negara dalam memastikan pekerja mendapat perlindungan sewajarnya. Ia juga bertepatan dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menekankan kepentingan perlindungan menyeluruh terhadap pekerja.

Polisi baharu ini akan memberi manfaat yang besar kepada pekerja, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, bekerja dalam sektor berisiko tinggi seperti pembinaan, pembuatan, pengangkutan dan logistik.

MTUC melihat keputusan ini sebagai satu langkah progresif ke arah memperkukuhkan sistem perlindungan sosial pekerja Malaysia, setanding dengan negara maju seperti Sweden, Jerman dan Kanada yang telah lama mengamalkan sistem rawatan percuma bagi pekerja yang cedera akibat pekerjaan mereka.

Walaupun menyambut baik inisiatif ini, MTUC menegaskan bahawa pelaksanaannya perlu berjalan lancar tanpa sebarang halangan birokrasi yang boleh menyukarkan pekerja mendapatkan rawatan percuma seperti yang dijanjikan. Kerajaan perlu memastikan semua klinik panel Perkeso, hospital kerajaan dan agensi berkaitan memahami garis panduan yang jelas mengenai pelaksanaan dasar ini. Setiap pekerja yang layak mesti dapat mengakses rawatan dengan mudah tanpa prosedur yang membebankan.

Penyelarasan dengan Perkeso juga harus dipercepatkan agar manfaat ini dapat diberikan kepada pekerja secara menyeluruh.

MTUC juga menekankan bahawa majikan tidak boleh mengambil kesempatan daripada polisi ini dengan mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH). Langkah pencegahan masih perlu diberikan keutamaan bagi mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

Majikan perlu terus memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) serta menyediakan persekitaran kerja yang selamat melalui latihan keselamatan berkala dan perlindungan insurans yang mencukupi.

MTUC memuji keputusan kerajaan ini sebagai satu perkembangan positif yang memberi kelegaan kepada pekerja di Malaysia. Kami berharap polisi ini akan terus diperkukuhkan dan diperluaskan agar sistem perlindungan sosial di negara ini menjadi lebih menyeluruh dan berdaya tahan.

MTUC akan terus memantau pelaksanaan dasar ini dan bekerjasama dengan kerajaan serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja terus dilindungi.  

Nota: Mohd Effendy Abdul Ghani ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)

]]>
3606
Gaji minimum baharu RM1,700 kuat kuasa esok, MTUC dan UNI-MLC sambut baik https://www.workerstimes.com/gaji-minimum-baru-rm1700-kuat-kuasa-esok-mtuc-dan-uni-mlc-sambut-baik/ Fri, 31 Jan 2025 07:55:53 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3550
Skrin layar Kementerian Sumber Manusia mengenai pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,700 yang akan dikuatkuasakan mulai esok.

KUALA LUMPUR: Kadar gaji minimum yang baharu RM1,700, yang diumumkan pada Oktober lalu, akan dikuatkuasakan mulai esok.

Dua badan induk kesatuan sekerja menyambut kuat kuasa pelaksanaan kadar itu yang akan memanfaatkan lebih empat juta orang.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700, berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menangguh kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan, iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Harapan UNI-MLC

Menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohd Shafie BP Mammal (foto) menyambut baik keputusan Kementerian Sumber Manusia, Malaysia mengenai pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2024 sebanyak RM1,700, yang akan memberi manafaat kepada 4.37 juta pekerja mulai esok.

Perkara ini telah ditetapkan kepada majikan yang mengajikan seramai 5 (lima) orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan, bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuatkuasa akan bermula pada 1 Ogos 2025.

Kata beliau, pihaknya uga bersetuju saranan Kementerian Sumber Manusia bahawa gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan para pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.

“UNI-MLC berharap tarikh kuat kuasa gaji minimum ini akan dapat dilaksanakan dengan cara yang terbaik yang akan memberi manafaat kepada pekerja-pekerja yang bergaji bawah daripada RM1,700.

“Seterusnya, UNI-MLC berharap agar gaji minimum ini dapat diselaraskan bukan sahaja di Semenanjung Malaysia malahan di Sabah dan Sarawak.

“UNI-MLC merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di atas pelaksaan Perintah Gaji Minimum 2024,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, dengan pelaksanaan kadar gaji minimum yan Baharu ini, sekurang-kurangnya pekerja-pekerja akan dapat merancang kehidupan dan ekonomi keluarga.

Komen MTUC

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengalu-alukan pengumuman oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai pelaksanaan perintah gaji minimum 2024.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani (foto) berkata, langkah itu merupakan satu perkembangan positif dalam memastikan kesejahteraan pekerja terjamin, terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Peningkatan kadar gaji minimum ini juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh kuasa beli pekerja dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta inklusif,” kata beliau.

Katanya, MTUC menyokong penuh komitmen Kementerian Sumber Manusia  dalam memastikan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan gaji minimum.

Semua majikan diwajibkan mematuhi kadar gaji minimum yang ditetapkan, dan kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Tambah beliau, MTUC juga mahu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan semua majikan mematuhi kadar gaji minimum yang ditetapkan.

“Tanpa penguatkuasaan yang tegas, ramai pekerja berisiko tidak menikmati gaji minimum baharu ini, sekali gus melemahkan objektif dasar tersebut. Undang-undang tanpa penguatkuasaan hanya akan menjadi dokumen tanpa nilai, membuka ruang kepada majikan yang tidak bertanggungjawab untuk terus mengeksploitasi pekerja dengan membayar gaji di bawah kadar minimum.

“Oleh itu, MTUC menggesa JTK untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mematuhi perintah ini bagi memastikan tiada pekerja yang terpinggir daripada hak mereka,” kata beliau.

Namun, menurut beliau, MTUC ingin menegaskan bahawa gaji minimum bukanlah kadar gaji yang sesuai untuk semua golongan pekerja, sebaliknya ia adalah jaringan keselamatan bagi mereka yang tidak mempunyai tahap pendidikan atau kemahiran khusus.

Oleh itu, katanya, kenaikan gaji minimum tidak boleh dianggap sebagai penetapan gaji yang wajar bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik atau kemahiran teknikal.

Tambah beliau, MTUC menyeru kerajaan dan majikan supaya mengiktiraf tahap pendidikan dan kemahiran pekerja dengan menetapkan gaji bermaruah berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman.

Kata beliau, bagi mereka yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seharusnya mempunyai kadar gaji lebih tinggi daripada gaji minimum manakala Sijil Kemahiran dan Diploma pula perlu diberikan gaji yang lebih setimpal dengan kemahiran teknikal dan profesional.

Tambah beliau, pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Kejuruteraan wajar menerima gaji yang jauh lebih tinggi bagi mengiktiraf tahap kepakaran dan sumbangan kepada industri.

Jelas beliau, pekerja yang memiliki kelayakan akademik dan kemahiran tidak sepatutnya dikategorikan dalam kumpulan gaji minimum kerana ini akan merendahkan nilai pendidikan dan menjejaskan motivasi tenaga kerja muda untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Sehubungan itu, katanya, MTUC menggesa kerajaan untuk memperkenalkan dasar gaji bermaruah yang mengiktiraf tahap pendidikan dan kemahiran dalam penetapan struktur gaji.

“Majikan juga perlu memainkan peranan dalam menyediakan skala gaji yang adil dan kompetitif bagi memastikan pekerja diberi ganjaran sewajarnya mengikut kelayakan mereka.

“Sebagai badan induk yang memperjuangkan hak pekerja, MTUC komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, majikan dan pihak berkepentingan dalam memastikan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum ini berjalan dengan lancar serta memberi manfaat kepada pekerja dan ekonomi negara,” kata Mohd Effendy.

Kenyataan Kementerian Sumber Manusia

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini berkata, bagi majikan yang menggaji kurang daripada lima pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.

Kata kementerian itu, kadar baharu gaji minimum akan memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi Madani yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.

“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘menaikkan lantai’ ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa semua majikan diwajibkan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum itu dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.

Tambah kenyataan itu, kegagalan majikan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Ia turut mengingatkan bahawa gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan para pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran.

Kementerian berkata: “Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum ini merupakan satu daripada pendekatan besar Kementerian Sumber Manusia dalam meningkatkan pendapatan kaum pekerja, selain pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan usaha merancakkan latihan kemahiran sebagai kaedah meningkatkan keberhasilan dan gaji pekerja.”

“Dengan pelaksanaan yang berkesan, bukan sahaja pendekatan ini dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Justeru itu, Kementerian Sumber Manusia menyeru semua majikan, pekerja dan pihak berkepentingan industri untuk bekerjasama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu tersebut.

]]>
3550
IEG Campus dan WEPS Malaysia perkenal Tekno Impak bagi lonjak transformasi AI, digital https://www.workerstimes.com/ieg-campus-dan-weps-malaysia-perkenal-tekno-impak-bagi-lonjak-transformasi-ai-digital/ Thu, 30 Jan 2025 15:10:14 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3543
Foto kenangan sempena majlis pelancaran Tekno Impak – pusat kecemerlangan termaju yang memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), data, teknologi digital dan keselamatan siber, di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Foto ihsan IEG Campus

KUALA LUMPUR: IEG Campus dan WEPS Malaysia memperkenalkan Tekno Impak – pusat kecemerlangan termaju yang memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), data, teknologi digital dan keselamatan siber.

Digerakkan menerusi platform transformasi bakat Pembentuk Kerjaya HCLTech, Tekno Impak menandakan stu detik penting dalam kejayaan penyampaian pelan transformasi, yang telah dibentangkan oleh HCLTech kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Delhi awal tahun lalu.

Tekno Impak bersedia untuk menjadi penting dalam memajukan pelancaran AI Malaysia, khususnya dalam sektor awam, kata IEG Campus dalam satu kenyataan media.

“Inisiatif ini akan memacu tenaga kerja negara ke arah inovasi digital yang seterusnya, terutamanya dalam sektor kerajaan dan pendidikan,” kata kenyataan itu.

Malah katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama antara Kampus IEG, WEPS dan HCLTech untuk memupuk kemahiran sedia masa depan, meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam transformasi teknologi.

Kerjasama ini bertujuan untuk memberikan pengalaman praktikal dengan makmal terkini dan kes penggunaan dunia sebenar yang disokong oleh platform bakat Career Shaper™ HCLTech.

Menurut kenyataan itu, Tekno Impak akan menawarkan pembelajaran mendalam yang diterajui oleh pengamal yang merapatkan jurang antara akademik dan industri sambil meningkatkan bakat tempatan bagi peluang kerjaya global.

“Kami berbangga untuk menyampaikan visi transformasi yang dikongsi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2024.

“Tekno Impak mewakili komitmen kolektif kami untuk memperkasakan bakat Malaysia, khususnya dalam sektor awam, dengan kemahiran lanjutan yang diperlukan untuk mempercepatkan adaptasi AI dan transformasi digital merentasi negara,” kata Naib Presiden Korporat dan Ketua EdTech HCLTech, Srimathi Shivashankar (foto).

Naib Presiden Korporat dan Ketua EdTech HCLTech, Srimathi Shivashankar menyampaikan ucapan majlis pelancaran. – Foto ihsan IEG Campus

Melalui kerjasama ini, kata beliau, IEG Campus dan WEPS akan memastikan tenaga kerja Malaysia bukan sahaja bersedia untuk masa depan pekerjaa,n tetapi juga dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk
menerajui ekonomi digital di peringkat serantau dan global.

Dengan memanfaatkan teknologi canggih seperti AI, analitik data, inovasi digital dan keselamatan siber, Tekno Impak akan merapatkan jurang kemahiran semasa, memupuk tenaga kerja yang tangkas, boleh menyesuaikan diri dan bersedia untuk masa hadapan, tambah kenyataan itu.

Inisiatif ini, katanya, akan memperkasakan individu merentasi pelbagai sektor, terutamanya dalam kerajaan dan Pendidikan untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.

Di samping itu, tambah kenyataan itu, program ini akan memberi tumpuan kepada menyediakan individu dengan pengalaman praktikal, praktikal dan pengetahuan khusus industri yang diperlukan untuk terus mendahului trend transformasi digital global.

Ia menambah, dengan menyelaraskan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik, Tekno Impak akan memastikan bahawa profesional Malaysia bukan sahaja memenuhi, tetapi melebihi permintaan pasaran global, membantu meletakkan Malaysia sebagai hab terkemuka bagi kepimpinan teknologi di Asia Tenggara dan seterusnya.

Kerjasama ini, katanya, juga bertujuan untuk menggalakkan inovasi, menyokong penciptaan pekerjaan, dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan membangunkan kumpulan bakat berkemahiran tinggi yang boleh menerajui agenda digital Malaysia dan bersaing dalam ekonomi global.

]]>
3543
MCW mahu dasar isytihar harta anggota pentadbiran segera dikuat kuasa https://www.workerstimes.com/mcw-mahu-dasar-isytihar-harta-anggota-pentadbiran-disegerakan/ Thu, 30 Jan 2025 11:02:01 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3536
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan pengisytiharan harta bagi semua anggota pentadbiran – termasuk menteri, timbalan menteri, dan setiausaha politik, tanpa sebarang kelewatan tambahan.

Oleh Jais Abdul Karim

PANDANGAN:  Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan pengisytiharan harta bagi semua anggota pentadbiran – termasuk menteri, timbalan menteri, dan setiausaha politik, tanpa sebarang kelewatan tambahan.

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai 2023 sudah hampir setahun berlalu, namun sehingga kini pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan. 

MCW memandang serius kelewatan ini kerana ia memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran. Pengisytiharan harta adalah langkah asas dalam memastikan akauntabiliti pemimpin serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan pengumpulan kekayaan yang mencurigakan. 

MCW turut menekankan bahawa format baharu pengisytiharan harta yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 8 Januari 2024 perlu segera dimuktamadkan dan dikuatkuasakan tanpa alasan.

Kerajaan tidak boleh terus berdolak-dalik kerana keengganan melaksanakan langkah ini hanya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah. 

 Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah, ketelusan dalam kepimpinan adalah langkah paling utama. Jika kerajaan benar-benar komited dengan agenda reformasi dan tatakelola baik, maka tiada sebab untuk melengahkan pelaksanaan pengisytiharan harta ini. 

MCW menyeru kerajaan untuk menetapkan garis masa yang jelas bagi pelaksanaan pengisytiharan harta ini serta memastikan ia merangkumi butiran lengkap dan boleh diakses untuk semakan badan berkaitan seperti SPRM dan masyarakat sivil. 

Sebagai tanda keseriusan, MCW akan menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri dan semua Menteri bagi menyatakan kebimbangan terhadap kelewatan ini dan mendesak agar ia segera dimaktubkan serta dilaksanakan tanpa sebarang kompromi. 

Jais Abdul Karim ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia

]]>
3536
UNI-MLC: Mansuh segera kerja lebih 3 jam di sektor awam, langkah terkebelakang https://www.workerstimes.com/uni-mlc-mansuh-segera-kerja-lebih-3-jam-di-sektor-awam-langkah-terkebelakang/ Tue, 26 Nov 2024 10:54:56 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3494
UNI-MLC memohon campur tangan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim membawa isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri, yang dijadual Jumaat ini. Foto ihsan Sinar Harian

Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dengan tegas meminta Kerajaan tidak  mengambil sebarang tindakan yang bersifat terkebelakang dengan melanjutkan waktu kerja kakitangan kerajaan termasuk lebih 77,000 jururawat di seluruh negara.

Tatkala Kerajaan Madani mahu menitikberatkan kakitangan awam menerusi pengumuman Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baru-baru ini, langkah melaksanakan tempoh waktu kerja iaitu tambahan tiga jam tidak wajar dilaksanakan sama sekali.

UNI-MLC berpendirian perkembangan ini bertentangan dengan hasrat Kerajaan yang sebelum ini mengatakan bahawa mahu menambah baik kualiti kehidupan pekerja.

Sementara banyak negara telah dan sedang mengkaji untuk membawa pendekatan yang lebih fleksibel dan harmoni dalam usaha menambah baik hak pekerja masing-masing dengan mengurangkan tempoh waktu kerja dan tempoh berada di pejabat, sebarang langkah mahu memanjangkan waktu kerja terutama di sektor kesihatan tidak wajar dipertimbangkan dan dilaksanakan.

UNI-MLC mahu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan segera menggugurkan langkah memperkenalkan waktu kerja 45 jam seminggu. Sebarang langkah ke arah itu juga bertentangan dengan trend global yang mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam seminggu, seperti yang dinyatakan dalam Konvensyen ILO 47 dan Konvensyen ILO 116.

UNI-MLC bimbang perkembangan terbaharu ini akan membawa kesan buruk atau impak ke atas pekerja, sekali gus dikhuatiri tidak akan membawa manfaat yang disasarkan oleh Kerajaan. Lebih-lebih lagi ketika pekerja-pekerja Malaysia turut berhadapan dengan isu tekanan dan kualiti kehidupan.

Oleh itu, UNI-MLC memohon campur tangan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim membawa isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri, yang dijadual Jumaat ini untuk mencari jalan penyelesaian terbaik iaitu menggugurkan keputusan lanjutan tempoh waktu kerja.

Sebaliknya Kerajaan harus mengkaji langkah-langkah lain termasuk menambah jumlah kakitangan awam sekiranya berhadapan dengan isu kekurangan tenaga kerja dalam menyediakan mutu perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)

]]>
3494
We Communications perluas sayap di Asia dengan Malaysia pejabat terkini https://www.workerstimes.com/we-communications-perluas-sayap-di-asia-dengan-malaysia-lokasi-terkini/ Thu, 07 Nov 2024 15:07:06 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3480
Majlis pelancaran peluasan operasi WE Communications (WE) di Malaysia atas nama Chase Advisors. Dari kiri, Manash Neog, Kanesan Veluppillai, Kass Sells, Mustapa Mohamed, dan Nitin Mantri

KUALA LUMPUR: WE Communications (WE), firma perunding komunikasi global bebas yang terkemuka, melancarkan sayapnya di Malaysia melalui Chase Advisors.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas menteri Kabinet Malaysia di ibu negara hari ini.

Langkah strategik itu diambil bagi menyahut permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan komunikasi dan advokasi serantau merentasi pelbagai industri, termasuk barangan pengguna, kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.

“Malaysia adalah pasaran penting untuk perniagaan yang berkembang di peringkat serantau dan global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa WE, Kass Sells dalam kenyataan media dikeluarkan sempena majlis pelancaran yang diadakan hari ini.

Tambah beliau: “Dengan kelas pertengahan Asia Tenggara yang semakin berkembang, ekosistem digital yang dinamik dan hubungan ekonomi yang kukuh antara Amerika Syarikat dan Malaysia, inilah masa yang sesuai untuk WE memperluas kehadiran kami di sini dan memanfaatkan peluang untuk pertumbuhan di seluruh rantau ini.”

Langkah ini sejajar dengan tumpuan strategik WE di Asia, membolehkan agensi itu terus mengembangkan kehadiran serantaunya sambil menggabungkan kepakaran global dengan cerapan pasaran dalam cara yang bercakap kepada khalayak tempatan.

Chase Advisors akan menawarkan suite komprehensif perkhidmatan WE, termasuk advokasi dasar dan nasihat, data dan analitik, penglibatan pihak berkepentingan dan komunikasi strategik.

Menurut kenyataan media itu, Chase Advisors di Malaysia diketuai oleh Kanesan Veluppillai, nama yang tidak asing dalam sektor perundingan media dan komunikasi, selaku Pengarah Urusannya, dan disokong oleh pasukan profesional komunikasi yang berpengalaman.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Eksekutif Serantau untuk Asia-Pasifik WE, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avian WE, Nitin Mantri berkata, “Disebabkan penguasaan media sosial, khalayak yang mengutamakan mudah alih dan selera untuk kandungan hiper-lokal, perniagaan memerlukan rakan kongsi yang dipercayai untuk membantu mereka menavigasi landskap yang semakin kompleks.

“Gabungan bakat tempatan berpengalaman kami digabungkan dengan pakar global kami mencipta kelebihan yang menarik. Saya teruja untuk melihat kerja hebat yang akan dihasilkan daripada pasukan Kuala Lumpur kami,” kata beliau.

Dalam ucapannya, Pengarah Urusan Chase APAC, Manash Neog berkata, “Malaysia memainkan peranan strategik dalam perdagangan global dan infrastruktur digital, dan kami percaya terdapat peluang besar di hadapan kami.”

Katanya, langkah memperluaskan sayapnya ke Malaysia adalah langkah susulan semula jadi dalam strategi pertumbuhan Asia Tenggara, dan “kami meletakkan sasaran kami untuk pertumbuhan selanjutnya ke Indonesia.”

“Pasukan kami di Malaysia membawa banyak pengetahuan dalam dinamik pasaran tempatan dan persekitaran kawal selia,” kata Kanesan.

“Kami tidak sabar-sabar untuk menyampaikan pandangan dan strategi yang akan membantu pelanggan kami berkembang maju dalam persekitaran yang berkembang pesat ini,” kata beliau lagi.

Chase Advisors merupakan firma perundingan komunikasi yang menawarkan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif, termasuk advokasi dasar dan nasihat, data dan analitik, penglibatan pihak berkepentingan dan komunikasi strategik.

Sebagai sebuah syarikat WE Communications, Chase Advisors menggabungkan kepakaran global dengan cerapan tempatan untuk membantu pelanggan menavigasi dinamik pasaran yang kompleks dan memacu perubahan transformatif.

Dengan rangkaian ahli gabungan di seluruh dunia, Chase Advisors komited untuk menyampaikan penyelesaian jangka panjang yang mampan yang menyokong pertumbuhan dan inovasi di seluruh rantau ini.

V. Kanesan memperkenalkan senarai perkhidmatan ditawarkan oleh Chase Advisors pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur.
]]>
3480