POLITIK – Workers Times https://www.workerstimes.com All About Workers Thu, 04 Apr 2024 07:56:39 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=6.5.3 197127691 Pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu 11 Mei, penamaan calon 27 April https://www.workerstimes.com/pilihan-raya-kecil-kuala-kubu-baharu-11-mei-penamaan-calon-27-april/ Thu, 04 Apr 2024 07:56:26 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=3088
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh itu pada mesyuarat yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

“Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April 2024 sehingga pukul 11.59 malam, 10 Mei 2024,” kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan selepas mesyuarat khas.

Abdul Ghani berkata, pelaksanaan PRK Kuala Kubu Baharu memerlukan peruntukan RM2.5 juta dan membabitkan seramai 40,226 pemilih.

Ia merangkumi 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Urusan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara bagi PRK berkenaan dibuka mulai hari ini.

Tarikh tutup bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media ialah 26 April ini.

Bagi kategori 1B dan 1C membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara serta agensi dan organisasi, masing-masing akan ditutup pada 15 dan 18 April ini.

“Bagi menjalankan proses PRK ini, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus selain menubuhkan dua pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti kempen sepanjang pilihan raya.

“Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Serbaguna dan Komplek Sukan Daerah Hulu Selangor,” kata beliau.

Sebanyak 18 pusat mengundi biasa mengandungi 74 saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran awal akan digunakan.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu sejak 2013, meninggal dunia akibat kanser.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menjadi pilihan raya kecil ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

]]>
3088
Kesatuan: Penamatan KP Pelancongan Dr Ammar ‘perkara amat serius’, perlu ada Tribunal Penjawat Awam https://www.workerstimes.com/kesatuan-penamatan-kp-pelancongan-dr-ammar-perkara-amat-serius-perlu-ada-tribunal-penjawat-awam/ Sat, 24 Feb 2024 02:48:48 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=2961
Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) menyifatkan tindakan pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin ini, sebagai satu “perkara serius”.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) menyifatkan tindakan pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin ini, sebagai satu “perkara serius”.

Presidennya, Alwi Shakir Abdullah berkata, pihaknya amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Berpegang pada prinsip tatakelola yang baik serta kebajikan seseorang yang berstatus pekerja, KPPLPPM berpandangan isu ini merupakan satu perkara yang serius terhadap penjawat awam…,” kata beliau.

Alwi menambah, perkara itu amat serius kerana berdasarkan tarikh surat dikeluarkan serta tarikh kuat kuasa surat iaitu lima hari adalah amat singkat, sekali gus mengundang imej dan persepsi yang tidak baik terhadap mana-mana pihak yang menghadapi situasi yang sama.

“Bagi perkara ini, KPPLPPM mengambil pendirian bahawa perlu ada satu tempoh masa yang lebih adil diberikan agar keharmonian dikekalkan bukan sahaja di dalam agensi malahan dalam kalangan penggiat industri,” kata beliau yang juga Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Malah menurut beliau, perkara itu jelas menimbulkan kegusaran sebagaimana kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen dan juga penggiat industri yang akhirnya boleh memberi kesan kepada pekerja-pekerja di sektor perhotelan dan pelancongan yang meliputi hampir tiga juta pekerja.

“Persoalan yang diutarakan oleh pihak industri selaku pemegang taruh wajar diberi penjelasan,” kata beliau lagi.

Beliau menambah, KPPLPPM berpandangan bahawa satu pekeliling atau arahan berkenaan pertukaran, peminjaman atau penamatan tanpa sebab munasabah seperti ini perlu diwujudkan klausa berkenaan tempoh masa notis sekurang-kurangnya sebulan atau lebih bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang sekali gus dapat menepis persepsi negatif terhadap penjawat awam secara amnya.

“KPPLPPM juga berpendapat bahawa Tribunal Penjawat Awam juga perlu diwujudkan kembali agar terdapat platfom yang dapat digunakan untuk representasi diri jikalau merasakan penganiayaan telah berlaku terhadap mereka.

“KPPLPPM bersedia untuk bertemu Menteri (Pelancongan dan Seni Budaya) dalam masa terdekat bagi mendapatkan pencerahan dari beliau sendiri berhubung perkara ini,” kata beliau lagi.

Laporan media semalam menyebut bahawa Ammar didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin ini.

Difahamkan, ia berikutan beliau didakwa ‘tidak sehaluan’ dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Penamatan itu, berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

Menurut kenyataan surat berkenaan, penamatan perkhidmatan Ammar selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Selaras dengan peruntukan subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) yang dibaca bersama dengan peruntukan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

“Saya selaku Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang bertanggungjawab ke atas Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dengan ini memutuskan pelantikan YBhg Dato’ Dr sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan adalah ditamatkan berkuat kuasa pada 26 Februari 2024,” menurut kenyataan surat yang tular itu.

]]>
2961
Penggal tetap: Bentang kertas hijau, lakukan kajian holistik https://www.workerstimes.com/penggal-tetap-bentang-kertas-hijau-di-parlimen/ Sat, 27 Jan 2024 02:21:57 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=2847
Dengan kertas hijau, setiap negeri boleh mengadakan perbincangan mengenai perkara itu untuk Parlimen dan DUN mereka sendiri.

Oleh Wilfred Madius Tangau

PANDANGAN: Saya menyeru Jemaah Menteri agar mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) menyediakan satu kertas hijau mengenai Akta Parlimen Penggal Tetap (FPTA) yang dibahaskan sekarang.

Tidak seperti kertas putih yang menunjukkan komitmen kerajaan dan rancangan terperinci untuk dasar atau pembaharuan tertentu, kertas hijau memudahkan perbincangan awam dengan memberikan maklumat yang betul tentang pelbagai cadangan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai tanpa memberi komitmen kepada kerajaan untuk sebarang cadangan.

Oleh itu, kertas hijau mempunyai dua kelebihan penting berbanding dengan kajian komprehensif yang membawa kepada kedudukan kerajaan. Pertama, ia adalah undangan terbuka untuk semua lapisan masyarakat menyumbang kepada perbahasan secara bermaklumat dan fakta. Kedua, ia boleh mengelakkan kelewatan yang panjang yang membolehkan pengumpulan maklumat salah. Kertas hijau mengenai FTPA harus merangkumi aspek berikut untuk memudahkan perbincangan termaklum dan menghapuskan maklumat yang salah.

(a) Apakah varian undang-undang FTPA yang digunakan di dunia? Apakah ciri utama yang membezakan varian ini? Apakah pertimbangan yang membawa kepada undang-undang ini? Bagaimanakah pelaksanaannya sehingga kini?

(b) Apakah model alternatif yang boleh diguna pakai untuk Malaysia? Apakah parameter daripada varian global yang perlu dipertimbangkan? Sebarang inovasi perlu untuk disesuaikan dengan keadaan negara kita?

(c) Bagi model alternatif yang boleh dipertimbangkan oleh Malaysia. Bagaimanakah setiap satu daripadanya akan menjejaskan kuasa dan fungsi Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri, parti politik dalam kerajaan, dan ahli parlimen?

Varian FTPA telah dilaksanakan dalam beberapa dekad di negara-negara demokrasi seperti Norway, Sweden, Kanada, Scotland, Wales, Ireland Utara, Australia, Jerman, dan tidak terhad kepada United Kingdom (UK) kerana ramai yang mempunyai salah tanggapan, dengan banyak literatur penyelidikan, kertas hijau mungkin akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum sesi pertama pada 2024 berakhir pada 27 Mac ini. Saya amat bimbang dengan dua jenis maklumat salah, yang mungkin didorong oleh pemahaman yang terhad atau kecenderungan ideologi, mungkin mendominasi perdebatan sehinggakan FTPA mungkin tidak dapat dilaksanakan secara politik walaupun Kerajaan mahukannya kemudian.

Jenis maklumat salah pertama menegaskan bahawa FTPA pasti akan menjejaskan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam tidak memenuhi permintaan perdana menteri untuk pembubaran awal Parlimen di bawah Perkara 40(2)(b), seperti yang dilakukan FTPA UK. Pernyataan sedemikian mengabaikan cadangan Bersih dan Projek SAMA yang mengelak sepenuhnya pindaan perlembagaan dan membiarkan kuasa diraja tidak disentuh. Maklumat salah ini jelas boleh membimbangkan ramai pengundi Melayu-Islam, yang menentang keras Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 2018 dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 2019.

FTPA memberi manfaat kepada wilayah dan parti Borneo

Jenis maklumat salah kedua menyasarkan golongan elit politik dan orang awam Sabah dan Sarawak. Beberapa pemimpin pendapat cuba menimbulkan tanggapan bahawa FTPA akan menghidupkan semula gabungan hegemoni baharu seperti Barisan Nasional, sehingga Sabah dan Sarawak akan kehilangan kuasa tawar-menawar yang lebih kuat yang mereka nikmati sejak 2018. Bagi pemimpin pendapat ini, kestabilan politik negara dan kepentingan serantau wilayah Borneo sudah pasti merupakan permainan sifar. Mereka bimbang Kerajaan Madani akan menjadi terlalu kuat dan oleh itu, FTPA mesti dihentikan.

Sebagai ahli parlimen penggal kelima dari Sabah, yang menyaksikan dan mengalami pergolakan politik sejak Langkah Sheraton dari dalam, izinkan saya menyenaraikan tiga faedah yang boleh dibawa oleh FTPA yang digubal dengan baik kepada parti-parti berasaskan Borneo dan seterusnya, Sabah dan Sarawak. Pertama, FTPA mesti, dalam satu pakej, memerlukan pindaan kepada Perintah Tetap Dewan Rakyat kepada mengutamakan usul tidak percaya dan yakin. Jika mana-mana kerajaan persekutuan pada masa hadapan menjejaskan kepentingan Sabah dan Sarawak, parti-parti yang berpangkalan di Borneo boleh dengan mudah bergerak untuk menggulingkan kerajaan di Dewan Rakyat.

Seperti yang kita saksikan di bawah kepimpinan Tan Sri Azhar Harun, urusan kerajaan diutamakan dan usul tidak percaya tidak pernah boleh dibahaskan.

Kedua, FTPA akan menutup pintu pengumpulan dan pengiraan akuan berkanun (SD) secara kekal oleh ahli parlimen, menghidupkan semula status quo sebelum 2009 (di Perak). Permainan bayang-bayang SD menjejaskan bukan sahaja kestabilan politik negara, tetapi juga parti individu dalam rundingan pembentukan kerajaan.

Kerana SD, UMNO hampir kehilangan 10 undi dalam rundingan antara parti pasca-Pilihan Raya Umum ke-15. Bagaimanakah Gabungan Parti Saarwak (GPS) dan pihak lain yang berpangkalan di Borneo boleh mendapat manfaat daripada memastikan pintu SD terbuka? Ketiga, FTPA akan menghalang perdana menteri untuk mendapatkan persetujuan diraja untuk pembubaran awal sesuka hati. Beliau memerlukan sokongan dua pertiga daripada Dewan Rakyat. Ini bermakna perdana menteri tidak boleh memanggil pilihan raya awal pada masa yang tidak menguntungkan GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti Borneo yang lain.

Masa untuk mempertimbangkan FTPA peringkat negeri

Jika kita boleh mempunyai FTPA yang digubal dengan baik yang sesuai dengan keperluan Malaysia, kenapa perlu dihadkan kepada Parlimen Persekutuan, dan tidak diperluaskan ke semua 13 Dewan Undangan Negeri (DUN)? Yang terakhir ini sudah tentu merupakan keputusan yang dibuat oleh setiap negeri, tidak dikenakan seperti dalam kes undang-undang antilompat.

Jika kita mempunyai undang-undang FTP untuk Sabah, melainkan kerajaan negeri pimpinan GRS kehilangan majoriti (hampir mustahil) atau dua pertiga daripada ADUN menyokong pembubaran awal, DUN Sabah ke-16 akan berlangsung sehingga tengah malam 25 Oktober 2025. Apa salah dengan kepastian sedemikian? Apakah faedah yang rakyat Sabah nikmati dengan khabar angin tentang pilihan raya awal?

Dengan kertas hijau, setiap negeri boleh mengadakan perbincangan mengenai perkara itu untuk Parlimen dan DUN mereka sendiri. Putrajaya harus menyedari pembuatan keputusan atas – keputusan asas dibuat dahulu, penglibatan peringkat negeri kemudian – boleh menjemukan, terutamanya bagi rakyat Sabah dan Sarawak. Kita sudah bosan hanya disuruh berpihak. Kami mahukan peranan aktif dalam perbincangan. Dengan kertas hijau, kami rakyat Sabah dan Sarawak boleh menganjurkan perbahasan termaklum kami dan menetapkan agenda kami sendiri.

Memandangkan sifat masyarakat kita yang sangat berpecah-belah, kertas hijau harus dijadikan amalan standard untuk memperkenalkan perdebatan umum mengenai sebarang pembaharuan yang mungkin boleh memecah-belah. Kerajaan bijak untuk tidak menolak FTPA sebelum konsensus merentas parti muncul. Walau bagaimanapun, adalah berbahaya untuk menggunakan pendekatan tunggu dan lihat pada wacana awam tanpa input kerajaan. Kita mesti belajar daripada pengajaran dalam ICERD dan Statut Rom.

Jika kerajaan tidak menetapkan parameter untuk perbincangan yang rasional, jurang maklumat untuk orang awam akan dieksploitasi oleh usahawan politik dan operasi politik yang mungkin tidak mengakui kesesatan mereka.

Empat tahun selepas Malaysia menarik diri daripada Statut Rom, Gaza tercetus, dan Malaysia tidak boleh merujuk Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perangnya di Gaza, seperti yang dilakukan oleh Afrika Selatan.

Jika kita akhirnya memilih untuk tidak mempunyai FTPA, itu harus menjadi pilihan yang sedar berdasarkan nilai: majoriti dan autonomi ahli parlimen individu dalam pembentukan kerajaan, bukan kerana kebimbangan yang tidak berasas bahawa ini akan melemahkan raja berperlembagaan atau kuasa tawar-menawar wilayah dan parti Borneo.

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ialah Ahli Parlimen Tuaran; Presiden Emeritus UPKO dan Pengerusi Yayasan Wisdom

]]>
2847
Tun Wan Junaidi sah Yang Dipertua Sarawak kelapan https://www.workerstimes.com/tun-wan-junaidi-sah-yang-dipertua-sarawak-kelapan/ Fri, 26 Jan 2024 09:15:23 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=2839
Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima surat cara pelantikan Yang Dipertuan Sarawak yang kelapan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini. – Foto ihsan FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang turut dikurniakan gelaran “Tun” hari ini merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang kelapan menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

Beliau menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Balairung Kecil, Istana Negara hari ini.

Wan Junaidi, 78, dilantik ke jawatan itu mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024.

Beliau sebelum ini pernah bertanding dalam pilihan raya atas tiket GPS-PBB.

Minggu lepas, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor melepaskan jawatan Yang Dipertua Dewan Negara untuk menyandang jawatan TYT bagi menggantikan Abdul Taib Mahmud.

Pada Jun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu yang tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 menerima tawaran untuk mengisi kekosongan jawatan Speaker Dewan Negara.

Istiadat pengurniaan turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Wan Junaidi dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya) pada 1 Februari 1946. Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).

Beliau mula berkecimpung dalam arena politik pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam PRU8 yang dipertahankannya untuk dua penggal seterusnya, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada PRU ke-11 pada 2004 yang berjaya dipertahankannya untuk empat penggal berturut-turut sehingga 2022.

Di peringkat persekutuan, anak jati Sarawak itu pernah menyandang beberapa jawatan menteri antaranya Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015 hingga 2018) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2020 hingga 2021) selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) (2021 hingga 2022)

Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2013.

]]>
2839
SPCAAM: Malaysia perlu lakar budaya politik baharu https://www.workerstimes.com/spcaam-malaysia-perlu-lakar-budaya-politik-baharu/ Mon, 14 Aug 2023 06:33:21 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=2556
Kerajaan sekarang berada di landasan yang betul, sementara terpaksa menangkis serangan oleh korup yang hilang inisiatif selepas kehilangan kuasa politik.

Oleh Callistus Antony D’angelus

PANDANGAN: Pilihan raya Dewan Undangan Negeri bagi enam negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini menunjukkan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah yang bahaya. Ia bukan tentang keputusan, kerana akan senantiasa ada yang menang dan kalah dalam mana-mana pilihan raya – sama ada calon atau parti politik. Naratif politik yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu telah menyebabkan wujudnya situasi di mana tiada pemenang dalam pilihan raya, tetapi hanya kalah dan kalah teruk.

Kebenaran buruk yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia ialah kita telah membenarkan naratif kaum dan agama menguasai wacana politik kita hampir secara eksklusif. Realitinya ialah isu perkauman dan agama yang dibayangi emosi bukanlah realiti, tetapi rekaan yang digunakan oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab secara moral untuk mendapatkan dan mengekalkan kuasa, dengan mengorbankan rakyat.

Apabila kaum dan agama menjadi isu dominan dalam budaya politik, isu sebenar yang mempengaruhi rakyat seperti keadaan ekonomi, dasar dan pencapaian pendidikan, kesejahteraan sosial dan kecemerlangan sukan diabaikan.

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber, yang dilengkapi dengan baik oleh kelebihan penduduk yang pelbagai seperti mungkin tiada negara lain di dunia. Namun, terdapat golongan yang dikategorikan sebagai komuniti B40 yang menghadapi krisis kos sara hidup yang teruk. Ini adalah akibat rasuah dan pengabaian politik selama beberapa dekad.

Ahli politik yang korup, yang kebanyakannya adalah pelaku menggunakan kad bangsa dan agama, bermain di tangan pemimpin perniagaan yang mementingkan diri sendiri yang gembira memperkayakan diri mereka dengan mengorbankan majoriti rakyat Malaysia. Ia telah mewujudkan kelas ahli perniagaan Malaysia yang kaya-raya, minoriti kecil, yang menguasai masyarakat Malaysia dan seterusnya membawa kepada kekayaan dan ketidaksamaan pendapatan yang semakin meningkat. Terdapat pengajaran dalam sejarah yang boleh dipelajari di sini – bahawa ia tidak mampan dan akan membawa kepada kerosakan total dalam masyarakat.

Apa yang perlu dilakukan segera, untuk menyatakannya dengan jelas, adalah “menangkap pencuri”. Ahli politik dan pemimpin perniagaan yang korup perlu ditangani seperti yang sepatutnya oleh undang-undang, apabila mereka berada di atas undang-undang untuk tempoh terlalu lama. Jangan fokus pada jenayah kecil dan tumpukan pada ikan besar.

Saya sama sekali tidak membenarkan apa-apa jenis jenayah, cuma adalah tidak adil untuk menghantar ke penjara seseorang yang mencuri dua ekor ayam manakala yang telah menipu negara dengan berjuta-juta ringgit sedang mempamerkan kekayaan mereka di hadapan mereka yang telah mereka curi.

Kita tinggal di perkampungan global, di mana negara dan rakyat perlu relevan secara global. Kita telah ketinggalan dalam hal itu, kerana terlalu sedikit masa, sumber dan usaha telah dilaburkan untuk perkara yang benar-benar penting kepada rakyat Malaysia dan masa depan negara.

Kerajaan sekarang berada di landasan yang betul, sementara terpaksa menangkis serangan oleh korup yang hilang inisiatif selepas kehilangan kuasa politik. Empat tahun akan datang harus digunakan oleh kerajaan untuk membawa ke muka pengadilan mereka yang telah menjarah negara, dan untuk mereka bentuk sistem ekonomi dan sosial yang meningkatkan produktiviti dan taraf hidup pada masa yang sama mengurangkan ketidaksamaan dan ketidakstabilan.

Callistus Antony D’angelus ialah Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial (SPCAAM)

]]>
2556
SPCAAM: Pilihan raya sepatutnya mengenai krisis kos sara hidup https://www.workerstimes.com/spcaam-pilihan-raya-sepatutnya-mengenai-krisis-kos-sara-hidup/ Sun, 06 Aug 2023 09:27:10 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=2528

Oleh Callistus Antony D’Angelus

PANDANGAN: Pilihan raya Dewan Undangan Negeri di enam buah negeri, yang diadakan secara berasingan daripada pilihan raya umum ke-15 pada November lepas, terbukti menjadi pertempuran yang boleh menetapkan trajektori politik Malaysia untuk masa hadapan.

Kerajaan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berdepan dengan ujian asid ke atas mandat politiknya, kurang setahun selepas memegang kuasa. Kerajaan Perpaduan berhadapan dengan serangan bertubi-tubi daripada pembangkang yang telah menggunakan isu kaum dan agama untuk cuba menggugat kerajaan dan kini mahu meraih undi. Buat pertama kali dalam beberapa dekad, Malaysia mempunyai peluang sebenar untuk menetapkan semula dirinya dan meletakkan asas ke arah masyarakat sosial, ekonomi dan politik yang moden dan progresif. Adalah malang apabila ada pihak yang menggunakan kaum dan agama untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat, dan bukannya menumpukan kepada perjuangan idea untuk memajukan Malaysia dan rakyat Malaysia.

Semasa kerajaan dibayangi oleh ahli politik rasuah dan kroni perniagaan mereka, rakyat biasa paling menderita, yang kini kita kategorikan sebagai populasi B40 dan M40. Krisis kos sara hidup yang teruk yang dihadapi oleh rakyat Malaysia adalah akibat langsung daripada keadaan itu. Kerajaan yang korup dan ahli perniagaan menurunkan gaji melalui pelbagai komplot, seperti menggunakan dan menyalahgunakan buruh asing dan menafikan hak kesatuan sekerja.

Kos rasuah dan tadbir urus yang tidak betul telah diambil kira dalam ketidakcekapan dalam sistem ekonomi, dengan populasi B40 dan M40 menanggung beban yang tidak seimbang.

Pentadbiran Anwar jelas serius untuk meringankan beban ekonomi golongan miskin yang bekerja. Ia telah memulakan perbincangan ke arah mekanisme gaji baharu dan komited ke arah mengkaji semula gaji kakitangan awam dan pesara. Ini sudah lama tertangguh, yang kerajaan terdahulu hanya memberi kata-kata terhadapnya sedangkan mereka sebenarnya sedang memacu jurang antara golongan berduit dan yang lain lebih luas.

Pakatan yang tidak suci antara ahli politik dan perniagaan besar sejak pentadbiran Dr Mahathir yang pertama menyebabkan rakyat biasa dan pekerja menjadi mereka yang meletakkan harapan dan meminta. Itu adalah warisan Mahathirisme yang akan terukir dalam sisi malang sejarah Malaysia. Anwar sedang berusaha ke arah membetulkan ketidaksamaan ekonomi dan politik institusi, dan mesti diberi masa dan ruang untuk berbuat demikian.

Terdapat jalan yang jauh di hadapan. Sebagai sebahagian daripada langkah Anwar ke arah meningkatkan pendapatan, kekayaan dan tahap gaji mereka yang berada di bawah piramid ekonomi, beliau perlu melakukan pembaharuan secara institusi. Ini termasuk meningkatkan hak kesatuan sekerja, dan terutamanya yang melibatkan hak pekerja untuk diwakili oleh kesatuan sekerja tanpa dihalang oleh perniagaan. Kesatuan perkhidmatan awam harus diberi hak untuk terlibat dalam perundingan kolektif dengan kerajaan. Pentadbiran Anwar berada di landasan yang betul.

Rakyat harus mempertimbangkan sama ada ia mahu diwakili oleh kerajaan yang progresif dan berpandangan ke hadapan, atau satu-satunya yang matlamatnya adalah untuk menyemai perpecahan berdasarkan kaum dan agama.

Callistus Antony D’Angelus ialah Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)

]]>
2528
PRK Kuala Terengganu 12 Ogos, serentak PRN https://www.workerstimes.com/prk-kuala-terengganu-12-ogos-serentak-prn/ Tue, 18 Jul 2023 12:24:12 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=2512
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu di Putrajaya hari ini. – Foto ihsan FB SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, penamaan calon akan diadakan pada 29 Julai.

Pengundian awal pada 8 Ogos.

PRK Kuala Terengganu menelan belanja RM465,000.

“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai hingga pukul 11.59 malam, 11 Ogos,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Kata beliau, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara dibuka semula bermula hari ini.

Menurut beliau, permohonan undi pos yang telah diluluskan untuk mengundi pos bagi keempat-empat kerusi Dewan Undangan Negeri di dalam bahagian parlimen Kuala Terengganu akan turut diberikan kertas undi pos PRK Kuala Terengganu.

Bagi menjalankan proses PRK Kuala Terengganu, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dan 19 orang penolog pegawai pengurus.

“Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan mengekalkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang sama daripada 252 pasukan yang telah ditubuhkan untuk PRN DUN Ke-15 sebagaimana diumumkan sebelum ini,” kata beliau.

Pusat Penamaan Calon akan diadakan di Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Bagi Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi kerusi Kuala Terengganu dan keempat-empat DUN di bawahnya akan menggunakan Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

“Seramai 1,995 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Kuala Terengganu manakala sebanyak 41 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 217 tempat mengundi/saluran dan tiga pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi lima tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 44 buah dengan 222 tempat mengundi/saluran,” kata beliau.

PRK Kuala Terengganu akan menggunakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2023 yang dikemas kini pada 21 Jun lalu, yang terdiri daripada 123,575 pengundi.

Daripada jumlah itu, 122,160 orang merupakan pengundi biasa, 35 orang tentera serta pasangan, 1,362 anggota polis dan 18 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK Kuala Terengganu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 November lalu.

Hakim Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata, pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, katanya, bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan pilihan raya di Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Umno mendakwa berlaku sogokan pengundi semasa tempoh berkempen, dengan kebanyakan isi rumah di kawasan Parlimen itu masing-masing menerima RM500 hingga RM1,000.

Ahmad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 40,907 undi, selepas menewaskan tiga pencabar lain, termasuk Zubir.

]]>
2512
Speaker Dewan Rakyat umum kerusi Kuala Terengganu kosong, SPR mesyuarat 18 Julai https://www.workerstimes.com/dewan-rakyat-umum-kekosongan-kerusi-kuala-terengganu-spr-mesyuarat-18-julai/ Fri, 14 Jul 2023 13:17:04 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=2479
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan media hari ini, Johari berkata, pemakluman itu dibuat susulan kekosongan bagi kerusi tersebut.

“Selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah berlaku kekosongan luar jangka bagi bahagian pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu.

“Ini berikutan penyandang jawatan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim yang tidak mengemukakan sebarang rayuan yang berakhir pada 11 Julai lalu selaras dengan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kepada pihak Mahkamah Persekutuan,” kata beliau.

Oleh itu menurut beliau, SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh enam puluh dari tarikh kekosongan berkenaan.

Hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu akan dibincangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat khas Selasa depan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, selain hari mengundi PRK Kuala Terengganu, mesyuarat khas turut membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, daftar pengundian yang akan digunakan selain bagi melaksanakan PRK tersebut.

“Mesyuarat itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Ghani Salleh,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, PAS mengumumkan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai disebabkan ketiadaan ahli parlimen.

“Sebagai parti dan kerajaan yang memerintah, kita tidak mahu rakyat terabai disebabkan ketiadaan ahli parlimen.

“Walaupun mengikut undang-undang, kita mempunyai hak untuk memfailkan rayuan, tetapi kita perlu menunggu lebih daripada lima bulan untuk Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, mahkamah pilihan raya negeri membatalkan kemenangan calon Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bahru berkata, jika PAS memfailkan rayuan, pengundi kawasan tersebut ketiadaan wakil rakyat kerana Mahkamah Persekutuan akan mengambil masa enam bulan untuk menyelesaikan kes itu.

Katanya, PAS sudah mendapat pengesahan Ahmad Amzad boleh bertanding semula kerana mahkamah rayuan hanya sekadar memutuskan pembatalan keputusan Parlimen Kuala Terengganu.

“Kita berharap SPR boleh mengadakan pilihan raya parlimen Kuala Terengganu serentak dengan Pilihan Raya negeri pada 12 Ogos,” katanya.

]]>
2479
MCW: Inisiatif sedia bas semasa PRN harus bebas syarat ‘beli undi’ https://www.workerstimes.com/mcw-inisiatif-sedia-bas-semasa-prn-harus-bebas-syarat-beli-undi/ Sat, 08 Jul 2023 16:44:10 +0000 https://www.workerstimes.com/?p=2404
MCW berpandangan sekiranya penyediaan bas ini merupakan bantuan kemudahan pengangkutan untuk mendorong pengundi bagi melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka kepada negara adalah wajar dari segi faktor kenegaraan.

PANDANGAN: Berdasarkan isu cadangan penyediaan bas bagi enam buah negeri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh Parti Islam Malaysia (PAS) susulan peningkatan kos pengangkutan yang dikatakan bertujuan meringankan beban pengundi khususnya pelajar universiti balik mengundi pada Ogos perlu diteliti dengan sebaiknya.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menasihati agar tujuan tersebut bebas daripada sebarang syarat tertentu yang boleh menguntungkan atau memihak kepada sesuatu parti atau calon tertentu negeri berkenaan.

Tawaran pemberian elaun pengangkutan pulang mengundi dalam konteks pilihan raya di Malaysia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sekiranya mampu menimbulkan isu salah guna sumber kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan ketika pilihan raya semata-mata untuk mendapatkan kelebihan undian. Lebih-lebih lagi sekiranya inisiatif tersebut mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung untuk menyokong calon kerajaan negeri berkenaan.

MCW berpandangan sekiranya penyediaan bas ini merupakan bantuan kemudahan pengangkutan untuk mendorong pengundi bagi melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka kepada negara adalah wajar dari segi faktor kenegaraan.

Namun, secara tegas perlu diingatkan bahawa inisiatif seperti ini tidak boleh mempamerkan sebarang lambang parti atau imej calon yang mampu mempengaruhi undi seseorang.

Rasuah semasa pilihan raya boleh berlaku apabila terdapat usaha untuk memberikan atau menerima sesuatu yang bernilai dengan tujuan mempengaruhi hasil pilihan raya atau mendapatkan keuntungan yang tidak sah.

Sekiranya kemudahan pengangkutan pulang mengundi ini diberikan secara wajar dan tidak melibatkan tindakan penyuapan atau manipulasi, umumnya ia tidak dianggap sebagai rasuah. Namun, jika terdapat bukti atau petunjuk adanya tindakan yang melanggar undang-undang atau menunjukkan penyalahgunaan proses pilihan raya, perkara tersebut boleh disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan badan berkuasa yang berwajib seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Justeru itu, MCW mengesa agar isu ini diteliti dengan lebih terperinci berdasarkan undang-undang sedia ada walaupun inisiatif ini datangnya dari pihak kerajaan negeri.

Status atau niat tindakan ini mesti dijelaskan dengan baik agar tidak mengelirukan rakyat dan tidak bercanggah dengan undang-undang serta tafsiran rasuah dalam konteks pilihan raya di Malaysia.

Jais Abdul Karim ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

]]>
2404