
KUALA LUMPUR – United Seasons Sdn Bhd (UniSon), peneraju utama penyelesaian bumbung logam dan pelapisan dinding total di Malaysia, secara rasmi diiktiraf oleh Malaysia Book of Records kerana berjaya menghasilkan Lembaran Bumbung Terpanjang, iaitu 166.49 meter, yang dipasang di YLL Supply Chain Hub, kemudahan logistik dan rantaian bekalan berteknologi tinggi di Rawang, Selangor.
Rekod ini dicapai melalui penggunaan Sistem Bumbung Jahitan Tegak atau Standing Seam KAWA KZ400, yang dihasilkan daripada keluli COLORBOND® oleh NS BlueScope Malaysia.
Pencapaian ini menandakan kejayaan penting bagi industri pembinaan negara.
Selain itu, ia juga memperlihatkan kerjasama yang erat, keupayaan teknikal yang mantap, serta inovasi dalam pembangunan bumbung bangunan berskala besar.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, UniSon berkata, pengiktirafan penting itu juga menggambarkan pencapaian signifikan dalam industri pembinaan di Malaysia, di mana ia membuktikan kecemerlangan kejuruteraan dan inovasi dalam penghasilan dan pemasangan bumbung logam.
UniSon menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records hari ini, sekali gus membuktikan keupayaan industri yang semakin berkembang dalam melaksanakan projek-projek yang kompleks dan berskala besar, sambil mengukuhkan kepentingan kerjasama, mutu kerja yang berkualiti dan perkongsian yang dipercayai merentasi rantaian nilai pembinaan.
Majlis pensijilan telah dirasmikan oleh Pengarah Urusan UniSon, SMP Dhanabalan, bersama-sama pasukan pengurusannya dan rakan kongsi industri utama, sekali gus meraikan usaha kolektif yang menggambarkan detik penting ini di Rawang, hari ini.
“Pencapaian UniSon ini telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records. Ia menandakan kejayaan syarikat kami dan juga Malaysia secara keseluruhan, rakan kongsi-rakan kongsi kami, serta para pelanggan kami, dalam bidang pembangunan teknologi bumbung bangunan,” kata beliau.
“UniSon merupakan syarikat tempatan pertama di Malaysia yang memperkenalkan pembangunan bumbung bangunan yang moden dengan ciri-ciri terkini, KaWa R650 Lockseam.
“Kebimbangan berterusan selama ini mengenai kehadiran angin luar biasa dan air hujan yang memasuki lap sisi kini dapat ditangani dengan sepenuhnya menerusi teknologi ini.
“Dengan teknologi pemasangan bumbung tersembunyi, setiap sambungan sisi dikunci dan dijahit oleh penyambung robotik revolusioner bagi menahan angin kencang dan ribut hujan,” kata Dhanabalan.
Semua rangkaian produk “KaWa” boleh dibentuk di tapak bangunan untuk memberi manfaat maksimum bumbung-bumbung yang panjang.
Pelapisan bumbung dan dinding “KaWa” boleh didapati dalam lapisan zink atau aloi zink/aluminium. Ia disalut lagi dengan warna-warna yang menarik sama ada poliester atau PVF2 (PVDF). Bahan lain seperti aluminium, kuprum, keluli tahan karat dan titanium juga boleh dibentuk. Sehingga kini, lebih kurang 450 juta kaki persegi produk “KaWa” telah dipasang di seluruh negara.
Dhanabalan menambah bahawa “selain aspek pemasangan bumbung yang panjang, yang telah berjaya mencipta rekod, pencapaian ini juga dibezakan oleh kaedah-kaedah pemasangan.”
Lembaran bumbung telah dibentuk secara gulung terus di aras bumbung, membolehkan ketepatan, kecekapan dan kualiti pemasangan yang lebih tinggi, sambil meminimumkan pengendalian dan potensi risiko kerosakan.
Beliau berkata, “pendekatan ini mencerminkan keupayaan teknikal yang kukuh dan kerjasama erat di sebalik kejayaan projek ini.”
YLL Supply Chain Hub direka bentuk untuk menyokong operasi logistik volum tinggi, dan pembangunan bumbung yang tahan lama, dan beroperasi dengan cekap.
Projek ini menyatukan ekosistem rakan kongsi yang kukuh, termasuk syarikat NS BlueScope Malaysia, Akitek Akiprima Sdn Bhd, CK Building Solutions Sdn Bhd, WBL Perunding Sdn Bhd, JQS International Sdn Bhd dan HL Roofing Sdn Bhd, yang telah menunjukkan kerjasama rapat dalam proses mereka bentuk dan perancangan, serta sehinggalah dalam aspek pelaksanaan dan inovasi dalam penyelesaian bumbung.
“Kami berbangga untuk menyokong pencapaian ini dengan keluli COLORBOND®, keluli bersalut premium kami yang direkayasa untuk prestasi dan kebolehpercayaan jangka panjang,” kata Presiden NS BlueScope Malaysia, Sahattaya Thongpreecha (Khun May).
Tambah beliau: “Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh UniSon.”
Kata beliau lagi, pencapaian ini mencerminkan kekuatan kerjasama dan komitmen bersama demi memberikan penyelesaian tahan lama.
“Kami amat berbesar hati dengan kehadiran Malaysia Book of Records untuk menyaksikan dan mengesahkan pencapaian ini kerana ia memberikan pengiktirafan rasmi kepada pencapaian kami dan mengubah semua kerja keras kami untuk menjadi rekod kebangsaan yang boleh kami banggakan,” kata Pengarah Eksekutif UniSon, Mahendra Kumar.
“Ini merupakan detik yang membanggakan, bukan sahaja untuk UniSon, tetapi juga untuk semua mereka yang telah menyumbang ke arah pencapaian ini,” kata beliau.
