
Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Pada 13 Disember 2023, Steven Sim menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu sebagai satu kesinambungan dasar dalam Kerajaan Madani. Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas tiba untuk memulakan tugas rasmi di kementerian itu. Beliau yang sebelum itu Timbalan Menteri Kewangan 2 dilantik menjadi menteri penuh di bawah rombakan Jemaah Menteri pertama, yang diumumkan pada 12 Disember 2023, kira-kira setahun selepas Kerajaan Madani dibentuk. Kata beliau lagi: “… ini merupakan peralihan dalam kerajaan yang sama. Justeru itu, kita menekankan kepada kesinambungan kerana kita melihat kepada apa-apa yang telah dilakukan. Kalau perlu tambah baik akan buat dan fokus utama saya pada masa ini ialah untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia tidak kira kaum dan agama.”
Dalam tempoh 24 jam selepas pelantikan diumumkan, Steven Sim memberi komitmen untuk terus memperjuangkan hak pekerja di mana pada masa sama nasib majikan juga tidak diabaikan. “Bila saya kata begitu kerana saya juga tekankan bahawa nasib majikan dan pekerja terikat sama. Kita tidak boleh antigonis antara satu sama lain kerana kalau nasib pekerja tidak dibela maka dia akan beri kesan kepada syarikat dan perniagaan.”
Ahli Parlimen Bukit Mertajam ini telah mengotakan janji beliau sepanjang menerajui Kementerian Sumber Manusia. Dalam tempoh 24 bulan menerajui Kementerian Sumber Manusia yang turut diberikan singkatan sebagai Kesuma, beliau telah memahat namanya di kementerian itu, antara portfolio yang amat penting. Negara mempunyai pekerja seramai 16 juta orang, yang kebanyakannya merupakan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Angka itu juga lazimnya dilihat sebagai pangkalan sokongan kepada satu-satu kerajaan yang stabil.
Mengikut laporan KOSMO! ketika itu, kenaikan pangkat beliau juga mendapat sambutan positif dari pengguna media sosial. Hari ini beliau memulakan kepimpinan di kementerian baharu.
Sepanjang lima dekad lalu saya, di sebalik penglibatan saya dalam pergerakan kesatuan sekerja, saya telah melalui dan menyaksikan kepimpinan lebih satu dozen menteri sumber manusia. Kebanyakan mereka yang dilantik berusia apabila mencecah usia lebih 40 tahun. Sebaliknya, Steven Sim merupakan seorang menteri sumber manusia yang muda, dan beliau telah membuktikan komitmen dan kesungguhan beliau mengangkat martabat pekerja sepanjang kepimpinan di Kesuma.
Di sini saya ingin berkongsi pandangan yang telah kongsikan sempena 100 hari pertama Steven Sim menerajui Kesuma. Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), yang mempunyai 126 buah kesatuan gabungan dengan keahlian seramai 450,000 ahli, mendapati beliau telah membawa pendekatan kepimpinan konstruktif dan signifikan yang tersendiri. Beliau telah melengkapkan 100 hari pertamanya dengan penuh gaya dan kejayaan yang telah menyentuh hati banyak pemegang taruh, terutama golongan pekerja.

Sebagaimana telah dijanjikan sejurus selepas dilantik sebagai menteri sumber manusia pada Disember 2023, Steven Sim telah mengotakan janji dan komitmen beliau untuk mengangkat martabat golongan pekerja di Malaysia. Kepimpinan Steven Sim telah membawa sejumlah perubahan lebih cemerlang, bukan sahaja kepada KESUMA, malah kepada golongan pekerja dan gerakan kesatuan sekerja di Malaysia dengan slogan Kerajaan Perpaduan – Malaysia Madani. Dalam tempoh yang singkat beliau telah memperlihatkan satu kepimpinan padu dan bertenaga untuk membawa lebih banyak perubahan positif yang diharapkan oleh pekerja dan kepimpinan kesatuan sekerja. Pencapaian utama lain termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan serta gaji bulanan median yang
buat pertama kali melepasi ambang RM3,000. Selain itu, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif memberi manfaat kepada lebih 32,000 pekerja pada 2025 dengan kenaikan gaji permulaan median sehingga 16 peratus. Kadar pengangguran juga mencatatkan paras terendah dalam 10 tahun, selain peningkatan tertinggi dari segi penubuhan kesatuan sekerja baharu.
KESUMA juga telah meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) C155 serta menguatkuasakan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) berlandaskan amalan terbaik dunia. Untuk pertama kali dalam 20 tahun, Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak dipinda bagi memastikan hak pekerja lebih saksama di seluruh negara. Kementerian turut memperkasakan Mahkamah Perusahaan Malaysia, hak pekerja migran, termasuk dari segi pembayaran gaji, perlindungan keselamatan sosial dan mekanisme aduan, di samping penambahbaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Turut direalisasikan ialah pengenalan Skim Lindung 24 Jam PERKESO selepas 50 tahun dan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig. Pencapaian lain termasuk revolusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran, bagi memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia dan Sijil Pakar Malaysia.
Beliau bukan sahaja aktif dalam menambah baik secara holistik keperluan pekerja, tetapi memperlihatkan bahawa beliau faham, menghayati dan berupaya mendalami isu dan masalah serta perkara yang diperlukan oleh pekerja di pelbagai peringkat tenaga kerja di Malaysia.
Sejumlah inisiatif, program dan dasar yang diumumkan untuk pelaksanaan sebenarnya telah mula membawa sinaran baharu dalam usaha menambah baik kebajikan pekerja-pekerja di negara ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa, dalam tempoh dua tahun, Steven Sim telah membuktikan beliau seorang Menteri yang berjiwa rakyat yang senantiasa mengambil peduli, khususnya hal ehwal kebajikan serta kesejahteraan golongan pekerja. Rakyat terutama kaum pekerja
memerlukan pimpinan seperti itu, yang sentiasa mengutamakan kepentingan dan hak pekerja. Negara masih mengingati mantan Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek. Dan, hari ini kita telah menyaksikan kehadiran seorang yang kesungguhan dan iltizam luar biasa demi masa depan pekerja.
Sejak mengemudi KESUMA beliau telah menyuntik semangat yang baharu, idea yang baharu dan hala tuju yang baharu selain membentuk hubungan yang baharu dengan para pemegang taruh, mempamerkan sentuhan serta gelombang reach out yang baharu serta senantiasa mengamalkan pendekatan senyum dengan semua lapisan masyarakat.
UNI-MLC melihat pendekatan yang dizahirkan oleh Steven Sim telah memberikan keyakinan dalam kalangan pekerja dan kesatuan sekerja. UNI-MLC melihat segala perkara yang digerakkan oleh beliau sepanjang dua tahun lalu sebagai satu permulaan yang baik untuk pekerja, rakyat dan negara. UNI-MLC yakin lebih banyak penambahbaikan akan dibawa oleh KESUMA di bawah kepimpinan dan menteri baru.
Untuk rekod, antara perkara penting dan signifikan yang telah diumumkan untuk dilaksanakan ialah Perancangan dan Hala Tuju untuk KESUMA pada tahun ini, fokus 3K – meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan dalam kalangan pekerja Malaysia, Projek “Skills Passport”, penambahbaikan Skim Latihan Industri, mengaktifkan semula Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), menambah peruntukan kewangan atau geran untuk pergerakan kesatuan sekerja dan menambah baik fungsi dan perjalanan Mahkamah Perusahaan dan Jabatan Perhubungan Perusahaan. Selain itu, beliau turut mengumumkan beberapa penambahbaikan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Paling konkrit, beliau telah mengambil pendekatan luar biasa untuk menjalin hubungan yang membina dengan melawat sendiri badan induk kesatuan sekerja termasuk UNI-MLC pada 16.1.2024 dan kali pertama Lagu Solidariti dinyanyikan bersama di pejabat UNI-MLC, yang tidak dilakukan oleh mana-mana menteri sumber manusia.
UNI-MLC bukan sahaja bangga dengan prestasi yang telah diperlihatkan oleh beliau, malah kagum dengan pendekatan yang telah diambil untuk menambah baik pencapaian dan penyampaian KESUMA sebagaimana diharapkan oleh pekerja-pekerja Malaysia selama ini.
Negara mempunyai lebih 16 juta pekerja, maka satu usaha menyeluruh perlu dilakukan untuk menambah baik kualiti kehidupan mereka dan keluarga masing-masing. Steven Sim telah menunjukkan komitmen padu beliau, dan kami berharap dan meletakkan keyakinan tinggi bahawa pengganti beliau, Datuk R.Ramanan akan meneruskan kesinambungan itu. Kami yakin beliau akan meneruskan pendekatan positif itu untuk membaiki kualiti kehidupan para pekerja yang merupakan nadi pembangunan negara.
UNI-MLC akan terus memberikan sokongan padu ke atas kepimpinan baharu untuk memperkenalkan lebih banyak perubahan dan penambahbaikan demi kelangsungan hidup pekerja di Malaysia dan meningkatkan martabat para pekerja.
Nota: Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)
