
SHAH ALAM: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya di sini, Sabtu lalu.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, UNI-MLC yang lahir hasil usaha tujuh kesatuan gabungan kini terdiri daripada 126 kesatuan pelbagai sektor dan bidang.
“UNI-MLC telah membentuk satu pasukan yang kukuh, juga telah berjaya membentuk rangkaian smart partnership demi kepentingan pekerja di negara ini,” kata beliau dalam ucapannya sempena majlis tersebut yang telah dirasmikan oleh Setiausaha Serantau UNI-APRO, Rajendra Acharya.
Menurut Mohamed Shafie, semangat solidariti sangat penting dalam perjuangan kesatuan sekerja.
“Sepanjang 25 tahun lalu, kami tiada pertandingan. Kesemua jawatan disandang atas semangat konsensus. Tidak ada persaingan dalam pemilihan, tiada puak tetapi jawatan disandang atas konsesnus, ini kejayaan kami, bermakna kami tidak lawan satu sama lagi, tetapi mengutamakan perpaduann,” kata beliau.
Kata beliau, perpaduan dan solidariti sangat penting dalam pergerakan kesatuan sekerja jika mahu berjaya dalam perjuangan kepentingan pekerja dengan berkesan dan konstruktif.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja.
Dalam pada itu, Rajendra memuji komitmen yang telah dizahirkan oleh UNI-MLC selama ini sambil menyifatkan ia sebagai satu “pengiktirafan” bagi kesemua kesatuan gabungan.
“Dua puluh lima tahun bukan hanya satu perjalanan semata-mata, tetapi ia satu tempoh selama suku abad yang membuktikan perjuangan yang diiringi dengan komitmen dan pencapaian kolektif,” kata beliau.
