Pilihan raya Singapura: PAP catat kemenangan besar, terus kekal kuasa merentasi lebih enam dekad

Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang memerintah sejak lebih enam dekad mengekalkan tampuk pemerintahan dengan satu lagi kemenangan besar dalam pilihan raya umum yang diadakan semalam. – Foto ihsan FB PAP

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang memerintah sejak lebih enam dekad mengekalkan tampuk pemerintahan dengan satu lagi kemenangan besar dalam pilihan raya umum yang diadakan semalam, 3 Mei.

Jabatan Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan PAP dalam pilihan raya umum republik itu.

Selepas pengiraan undi selesai, Jabatan Pilihan Raya mengumumkan bahawa PAP telah memenangi 82 kerusi parlimen. Parti itu telah pun memperoleh lima kerusi tanpa saingan, menjadikan jumlah ahli parlimen yang dikuasai adalah 87 orang.

Dalam pada itu, Parti Pekerja (WP) mengekalkan 10 kerusinya yang dimenangi pada tahun 2020.

Sebelum pengumuman itu, penyokong PAP, yang telah memerintah Singapura sejak 1959, berkumpul di stadium mengibarkan bendera dan bersorak dalam sambutan awal.