Belanjawan 2027: UNI-MLC sokong langkah perkukuh kebajikan pekerja

Susunan imej skim dan bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas.

Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

PANDANGAN: UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) menyambut baik dan menyatakan sokongan terhadap langkah awal YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia, Dattu Sri Ramanan Ramakrishnan dalam memperkukuh dasar penggajian negara menerusi pengumuman kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 serta pengenalan gaji lantai RM2,500 bagi pekerja separa mahir dan graduan dalam Belanjawan 2027.

UNI-MLC melihat inisiatif ini sebagai permulaan penting ke arah memastikan pekerja di Malaysia menerima gaji yang lebih setimpal dengan kelayakan, kemahiran, pengalaman serta realiti kos sara hidup semasa.

Pada masa sama, UNI-MLC berpandangan bahawa pelaksanaan dasar penggajian baharu ini memerlukan penelitian menyeluruh bagi memastikan kepentingan pekerja terus dilindungi, di samping mengambil kira kemampuan majikan dan kelangsungan perusahaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sehubungan itu, UNI-MLC sentiasa terbuka dan bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan dasar gaji minimum dan gaji lantai baharu ini.

Perbincangan tersebut wajar merangkumi aspek tempoh pelaksanaan, kategori pekerja yang layak, struktur penggajian sedia ada serta pendekatan bersesuaian bagi memastikan manfaat dasar ini dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh.

UNI-MLC percaya bahawa pendekatan rundingan tripartit yang melibatkan kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja merupakan landasan terbaik untuk mencapai keseimbangan antara kebajikan pekerja dengan keperluan pembangunan ekonomi negara.

Matlamat kita adalah sama, iaitu memastikan setiap pekerja menerima gaji yang adil dan bermaruah, selaras dengan kelayakan serta sumbangan mereka kepada pembangunan negara.


UNI-MLC kekal komited untuk menjadi rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh ekosistem penggajian negara demi kesejahteraan seluruh pekerja Malaysia.

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)