
Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) dan empat kesatuan iaitu Kesatuan Eksekutif Bank Pertanian Malaysia Berhad, Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Pertanian Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia, Kesatuan Eksekutif Bank Pertanian Malaysia Negeri Sarawak dan Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Pertanian Malaysia Berhad Negeri Sarawak yang telah memutktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) kedua-dua pihak, yang mana UNI-MLC melihat ia sebagai satu petanda positif ke arah mengukuhkan persekitaran yang harmoni di tempat kerja.
Kesatuan-kesatuan terbabit dan Agrobank telah mengadakan perbincangan bagi melaksanakan Perjanjian Bersama (CA) bagi tempoh Januari 2025-Disember 2027, iaitu selama tiga tahun sejak awal tahun 2025.
Banyak perkara dan artikel yang membina telah dicapai persetujuan bersama demi kebajikan pekerja-pekerja. Bagi penambahbaikan kemudahan (artikel) yang dipersetujui bersama telah pun dilaksanakan mulai 1 Februari lalu setelah mendapat kelulusan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Walau bagaimanapun pelarasan gaji sebanyak enam peratus (6%) yang telah dipersetujui pada April 2025 masih belum menerima kelulusan MKD sehingga ke hari ini.
Kami rasa terkilan dengan kelewatan ini, yang secara tidak langsung menjejaskan motivasi pekerja. UNI-MLC difahamkan kesatuan-kesatuan menerusi Pengurusan Agrobank juga telah beberapa kali menghantar permohonan meminta kelulusan MKD. Malangnya tiada respons positif.
Sehubungan dengan itu, UNI-MLC memohon jasa baik dan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merangkap Menteri Kewangan, agar persetujuan di antara Agrobank dan kesatuan-kesatuan dalam soal pelarasan gaji, juga diberikan kelulusan pelaksanaan dengan kadar yang segera.
UNI-MLC berpandangan bahawa tempoh selama lebih satu tahun untuk memberikan kelulusan merupakan tempoh yang terlalu lama atau panjang mengambil kira pelbagai cabaran sedang dilalui oleh golongan pekerja di negara ini pada masa sekarang, termasuk kesan negatif impak perang di Timur Tengah dan kenaikan kos sara hidup kebelakangan ini.
Keempat-empat kesatuan dalam Agrobank adalah gabungan UNI-MLC dan kami amat yakin bahawa Perdana Menteri yang sangat prihatin dengan kebajikan pekerja akan menerima permintaan UNI-MLC ini demi kebaikan dan manfaat pekerja-pekerja Agrobank.
Datuk Mohamed Shafie BP Mammal Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)