KUALA LUMPUR: Waris tiga pekerja yang terkorban dalam tragedi di pelantar minyak Sepat, Kuala Terengganu, layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, hasil semakan Skuad Perkeso Prihatin mendapati kesemua mangsa mempunyai rekod caruman aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (LINDUNG Pekerja).
“Melalui semakan, waris Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) hasil caruman arwah.
“Balu arwah, Siti, layak menerima bayaran bulanan FOT untuk sepanjang hayat, manakala anak lelaki tunggal mereka yang berusia 10 tahun akan menerima faedah tersebut sehingga mencapai usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama.
“Secara keseluruhannya, keluarga ini akan menerima FOT berjumlah RM5,355 sebulan, di samping FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, balu bersama anak berusia setahun tujuh bulan yang merupakan waris kepada Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam pula layak menerima faedah sama.
Katanya, Khairinia iaitu balu arwah yang sarat hamil tujuh bulan bersama anaknya bakal menerima FOT bulanan berjumlah RM3,105 untuk sepanjang hayat manakala anaknya menerima faedah sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.
“Selain itu, mereka menerima FPM berjumlah RM3,000 secara sekali bayar bagi menampung urusan pengebumian mangsa,” katanya.
Ramanan berkata, semakan lanjut melibatkan Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid mendapati arwah merupakan yatim piatu dan belum berkahwin.
Jelasnya, memandangkan kesemua tujuh adik-beradiknya telah melepasi had umur kelayakan faedah bulanan, justeru FPM secara sekali bayar sebanyak RM3,000 disalurkan kepada abang kandung arwah selaku waris terdekat bagi membiayai urusan pengebumian.
Dalam perkembangan sama, beliau maklumkan bahawa Perkeso turut memantau keadaan satu-satunya mangsa terselamat dalam tragedi berkenaan, iaitu Muhammad Taufik Mohd Ruslan, 37 yang ketika ini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat mengalami kecederaan parah.
“Buat masa ini, Muhammad Taufik layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) selagi mana beliau menerima rawatan dengan jumlahnya akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
“Perkeso ketika ini dalam proses akhir mendapatkan pengesahan rasmi daripada majikan dan melengkapkan dokumen waris bagi memastikan kesemua bayaran faedah dapat disalurkan dengan kadar paling segera.
“Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta berharap penyaluran faedah ini berupaya menjadi talian hayat buat waris yang hilang tempat bergantung,” katanya.