Belanjawan 2027: Lebih 40 insentif dan kemudahan untuk tenaga kerja awam, swasta

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027. – Foto ihsan FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 menyediakan lebih 40 insentif dan kemudahan bagi meningkatkan taraf hidup pekerja termasuk mereka yang menceburi sektor gig dan juga graduan baharu.

Jika diluluskan oleh Paelimen, bantuan dan kemudahan itu akan hadir dalam bentuk pelepasan dan skim cukai, peningkatan gaji minimum pekerja mahir dan separa mahir, pendapatan gaji dan kebajikan pekerja-pekerja gig dan perlindungan Perkeso dan caruman KWSP.

“Kerajaan mendengar keresahan golongan pertengahan (M40) yang cekal bersabar meskipun turut terhimpit beban sara hidup,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan belanjawan tahun depan.

Kata Anwar, kenaikan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai individu bakal memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada lima juta pembayar cukai.

Kemudahan dan insentif yang disediakan meliputi kedua-dua tenaga kerja sektor awam dan swasta.

Antaranya termasuklah:

(1) Had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010 – dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000

(2) Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak satu mata peratusan

(3) Banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus.

(4) Banjaran pendapatan bercukai antara 100 ribu ringgit hingga 150 ribu ringgit dikurangkan kepada 24 peratus.

(5) Rawatan perubatan diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin.

(6) Penjagaan ibu bapa dan datuk nenek diperluas meliputi semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada kesihatan.

(7) Yuran pengajian dan kemahiran diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.

(8) Gaya hidup diperluas merangkumi langganan AI serta kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.

(9) Kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 berbanding RM1,700 sekarang; meliputi empat juta pekerja

(10) Memperkenalkan gaji minimum pekerja separa mahir dan graduan iaitu RM2,500 sebagai permulaan

(11) Kerajaan menyambut baik komitmen GLIC dan GLC yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400; yang akan memanfaatkan 230,000 pekerja

(12) Bagi menutup ruang majikan menggaji pekerja asing tanpa izin, syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji, sekiranya ia dibayar melalui akaun bank selaras dengan saluran dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955. Potongan cukai bagi perbelanjaan lain tidak tertakluk syarat ini.

(13) Seramai 600,000 rakyat mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing dan p-hailing. Kerajaan MADANI akan membela nasib pekerja gig dengan perlindungan yang lebih menyeluruh.

(14) Majlis Perundingan Gig sedang dalam peringkat rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial, yang akan dimuktamadkan pada awal tahun depan.

(15) Sementara menunggu ketetapan di No 14, kerajaan dan Pihak Grab bersetuju untuk membiayai bersama satu pakej bernilai RM160 juta bagi meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing, bermula tahun depan. Pakej ini meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum bagi pekerja e-hailing dan p-hailing, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Perkeso.

(16) Di bawah pakej itu (No. 15), pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangkat meningkat sehingga RM227 sebulan manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan.

(17) Kerajaan bersetuju menawarkan insentif caruman padanan Perkeso 35 peritus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing, insentif akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja.

(18) Kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan Perkeso 70 peratus kepada lebih 200,000 orang yang bekerja sendiri dalam 17 sector tidak mandatori.

(19) Pelepasan cukai PERKESO diperluas meliputi caruman wajib Skim Lindung Kendiri. Pelepasan tambahan diberikan sehingga RM150 bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.

(20) Bagi menggalakkan simpanan persaraan oleh pemandu e-hailing dan p-hailing, kerajaan menawarkan insentif caruman padanan KWSP kepada sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup.

(21) BSN dan Agrobank menyediakan RM270 juta bagi membiayai pekerja gig yang mahu berniaga dan membeli rumah pertama.

(22) Kerajaan akan mengawal selia sektor p-hailing secara menyeluruh di bawah APAD dan LPKP.

(23) Bagi memperkukuh perlindungan sosial, setiap warganegara akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun, supaya simpanan persaraan bermula lebih awal.

(24) Kerajaan bercadang memberikan pengecualian penuh duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi rumah pertama berharga sehingga RM500,000 manakala bagi rumah sehingga RM750,000 pengecualian penuh duti setem untuk RM500,000 pertama dan 50 peratus bagi bakinya. Ini terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

(25) Ahli KWSP yang memilih Simpanan Shariah juga boleh membayar zakat terus daripada dividen, seiring kemudahan di PNB dan Lembaga Tabung Haji.

(26) Bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas, lebih RM40 juta disediakan melalui HRD Corp untuk melatih 8,000 orang sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada mereka dalam bidang ini.

(27) Ahli KWSP yang mencapai usia 55 dan 60 tahun boleh memilih skim i-Emas untuk menerima pengeluaran bulanan, supaya baki simpanan terus menjana dividen.

(28) Ambang pendapatan bagi melayakkan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya ditingkatkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.

(29) Doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap pegawai perubatan.

(30) Bagi menghargai 47,000 anggota paramedik dan jururawat yang memikul tanggungjawab besar di lapangan, kadar bayaran insentif pos basic akan ditingkatkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

(31) Bayaran insentif perkhidmatan kesihatan Udara dinaikkan daripada RM30 kepada RM100.

(32) Kerajaan akan meluncurkan pelan medi asas mulai Januari 2027, pada harga mampu milik; bayaran hospital akan mengikut jenis diagnosis dan rawatan supaya kos lebih terkawal serta mudah dijangka. Ahli KWSP di bawah 55 tahun dibenarkan membayar premium MediAsas melalui Akaun Sejahtera manakala bagi PKS kurang 75 pekerja, kerajaan akan mensubsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 ringgit bagi setiap pekerja, terhad 50 pekerja setiap syarikat; dijangka memanfaat sehingga 200,000 pekerja.

(33) Pengambilan Pembantu Guru diperluas ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi dan akan ditambah secara berfasa setelah penilaian keberkesanan dilaksanakan.

(34) Perkeso akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan memandu.

(35) Mulai 1 Januari 2027, pasangan kepada ekspatriat pemegang Pas Penggajian Kategori I dengan Pas Tanggungan akan dibenarkan untuk bekerja di Malaysia
tertakluk kepada syarat ditetapkan. Ini bagi memastikan Malaysia kekal dipilih sebagai destinasi bakat terbaik tanpa pasangan mereka perlu untuk mengorbankan kerjaya.

(36) Elaun Anggota RELA, Bomba Bantuan, Sukarelawan Polis dan Sukarelawan Pertahanan Awam akan dinaikkan kepada RM9 sejam bagi kategori petugas sukarelawan dan RM10.80 sejam bagi kategori penyelia dengan peruntukan sebanyak 339 juta ringgit; yang memanfaat hampir 50 ribu sukarelawan.

(37) Bayaran faedah Ex-Gratia Waris Pukal one-off ditingkatkan daripada RM20,000 kepada maksimum RM50,000 tertakluk tempoh perkhidmatan. Ini merupakan tambahan selain faedah Ex-Gratia Waris Bulanan bagi kes kematian akibat kemalangan bencana kerja dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

(38) Mengiktiraf pegawai cemerlang yang menunggu untuk dinaikkan pangkat susulan perjawatan yang terhad, kerajaan bersetuju melaksanakan kenaikan pangkat one-off secara Khas Untuk Penyandang kepada 12,000 pegawai P&P.

(39) Jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan dinaikkan daripada 360 hari kepada 490 hari. Bermakna, kadar cuti bersalin meningkat kepada maksimum 98 hari setiap kelahiran. RM20 juta ringgit disediakan bagi menambah baik pusat penjagaan anak di fasiliti kerajaan.

(40) Kadar pencen terendah akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan; akan membe manfaat hampir 59,000 pesara, veteran ATM dan penerima pencen terbitan.

(41) Bantuan khas kewangan RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak manakala lebih satu juta pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpence akan menerima RM750.