
KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim diberi anugerah Influential Leaders of Asia 2026, sekali gus menambah satu lagi pengiktirafan antarabangsa dalam perjalanan kepimpinan beliau.
Anugerah disampaikan oleh oleh Team Marksmen Network.
Pengiktirafan ini diberikan kepada pemimpin yang menyerlah dalam aspek kepimpinan, inovasi dan transformasi serta memberikan impak berterusan merentasi pelbagai sektor.
Anugerah kepada Irmohizam itu disampaikan Pengerusi Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Dr V Sivakumar dan Pengarah Urusan Team Marksmen Network, Sharad Gupta pada majlis Influential Leaders of Asia 2026 di ibu negara.
Anugerah Influential Leaders of Asia 2026 ini turut menambah satu lagi pengiktirafan penting dalam perjalanan kepimpinan Irmohizam, selari dengan penekanannya terhadap pembaharuan, pembelajaran berterusan dan kepimpinan yang mempunyai hala tuju jelas.
Irmohizam menyatakan beliau kekal komited untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menyokong pelbagai agenda ‘Visit Malaysia 2026’ melalui pembabitan dan jaringan antarabangsa yang lebih luas.
Sebelum penyampaian anugerah, Irmohizam turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘The New Asian Playbook: Leading Through Uncertainty, Winning Through Purpose’ berkait pandangannya berkenaan bagaimana pemimpin boleh memacu perniagaan supaya terus relevan dalam menghadapi perubahan semasa.
“Kepimpinan hari ini bukan sekadar menerima perubahan. Ia memerlukan keberanian untuk menyesuaikan diri, kesediaan untuk melakukan pembaharuan dan mempunyai hala tuju yang jelas tentang matlamat yang ingin dicapai,” katanya dalam satu kenyataan.
Malaysia dipilih sebagai destinasi antarabangsa pertama bagi penganjuran ini selepas lima edisi dianjurkan di India.
Penganjuran ini sekali gus menjadikan Malaysia tumpuan perbincangan berkenaan kepimpinan serantau, selain menghimpunkan tokoh berpengaruh dari seluruh Asia.
Pemilihan Malaysia sebagai lokasi penganjuran juga bertepatan dengan usaha negara memperkukuh agenda ‘Visit Malaysia 2026’ serta kedudukannya sebagai destinasi bagi pelancongan dan acara pernigaan.