
Oleh Ajulahin Japin
PANDANGAN: Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman beberapa inisiatif kebajikan dan penambahbaikan faedah untuk penjawat awam, khususnya petugas kesihatan, semasa pembentangan Belanjawan 2027.
MAPSU menyifatkan pengumuman tersebut sebagai satu perkembangan positif yang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam serta pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan dengan berkesan.
MAPSU menyambut baik peningkatan Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan bagi jururawat dan paramedik yang layak. Langkah ini merupakan pengiktirafan yang bermakna terhadap kemahiran khusus, kepakaran dan tanggungjawab tambahan yang dipikul oleh petugas kesihatan dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pesakit.
MAPSU turut menghargai peningkatan insentif bagi Petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100. Penambahbaikan ini amat bermakna, khususnya kepada petugas yang berkhidmat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang terpaksa menempuh perjalanan udara serta berdepan cabaran logistik dan persekitaran kerja yang mencabar demi memastikan masyarakat di kawasan terpencil mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Dalam masa yang sama, pengumuman Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan serta peningkatan pencen minimum merupakan langkah yang dialu-alukan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan golongan yang telah banyak menyumbang kepada negara.
MAPSU berharap segala inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan lancar dan dinikmati oleh semua kumpulan petugas yang layak. MAPSU juga berharap kerajaan akan terus memberi perhatian kepada isu kekurangan tenaga kerja, beban tugas, kemudahan tempat kerja serta penambahbaikan elaun dan insentif, terutama bagi petugas kesihatan yang
berkhidmat di kawasan pedalaman.
Petugas kesihatan merupakan tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara. Pengiktirafan terhadap pengorbanan dan komitmen mereka bukan sahaja dapat meningkatkan motivasi, malah membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Kami berharap pendekatan yang mengutamakan kebajikan petugas kesihatan ini akan diteruskan secara berkesinambungan.
MAPSU sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas usaha memperkukuh kebajikan penjawat awam. MAPSU komited untuk terus bekerjasama dengan pihak kerajaan melalui dialog dan rundingan konstruktif demi memastikan kebajikan, hak serta kepentingan petugas kesihatan sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.
Ajulahin Japin Presiden Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU)