
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi berharap dasar kerajaan memperkenalkan gaji permulaan minimum RM2,500 sebulan kepada graduan, yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, dilaksanakan oleh majikan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementeriannya mahu dasar itu diterima oleh majikan.
“Pelarasan itu dibuat pada peringkat kebangsaan secara menyeluruh seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi, apabila ia dilaksanakan nanti adalah di peringkat pekerjaan masing-masing.
“Itulah dasar yang sudah pun diumumkan. Jadi, saya harap ia dapat dipakai (dilaksanakan) oleh pihak majikan,” kata beliau dipetik Berita Harian.
Zambry berkata demikian selepas menyempurnakan Program Bantuan Pendidikan Bersasar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Mohd Anwar, TVETMara, di sini, hari ini.
Dalam Belanjawan 2027, Anwar berkata, kadar gaji minimum hanya menaikkan lantai pendapatan pekerja sedangkan upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan.
Oleh itu Anwar berkata, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan pada RM2,500 sebulan sebagai permulaan.
Anwar turut berkata, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja seluruh negara.