Dr Ammar kata ada proses untuk ambil tindakan, menteri tegas bukan dia seorang buat keputusan

Datuk Dr Ammar Abd Ghapar (kiri) yang ditamatkan jawatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia menegaskan terdapat proses yang boleh digunakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (kanan), bukannya “suka-suka sahaja.”

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Ammar Abd Ghapar yang ditamatkan jawatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia menegaskan terdapat proses yang boleh digunakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, bukannya “suka-suka sahaja.”

“Kalau prestasi saya menurun, (sepatutnya) ada proses untuk turunkan pangkat atau tamatkan perkhidmatan saya”, kata beliau.

Dipetik Malaysia Gazette, beliau berkata, sepatutnya ada proses yang boleh digunakan untuk King Sing untuk mengambil tindakan terhadapnya sekiranya dakwaan tersebut benar.

“Ada proses bukan suka-suka sahaja ambil tindakan. Ini (Lembaga) agensi kerajaan bukan syarikat sendirian berhad, syarikat pun sepatutnya ada peraturan,” kata beliau.

Dalam temu bual dengan Malaysia Gazette, King Sing berkata, Ammar wajar belajar menerima kelemahan diri daripada berterusan menuding jari kepada pihak lain.

Kata beliau, akwaan kononnya penurunan pangkat Ammar tidak mengikut proses itu tidak benar sama sekali.

King Sing berkata, notis penamatan itu bukan seperti digambarkan oleh Ammar kononnya tidak mengikut peraturan kerajaan dan seperti syarikat sendirian berhad.

“Saya tidak faham, mula-mula untuk tarik simpati anda (Dr Ammar), anda kata telah dipecat kemudian apabila saya dedah kepada media hari ini itu bukan pemecatan, sebaliknya turun pangkat kerana prestasi kerja tidak memuaskan kini kata proses itu tidak ikut proses,” kata beliau.

King Sing berkata: “Sebenarnya saya tidak mahu cakap banyak atau panjangkan isu. Namun perkara ini masih terus dimainkan, malah saya difahamkan Ammar sendiri mendakwa ada proses untuk turunkan pangkat atau tamatkan perkhidmatan beliau.”

“Kita telah ikut proses, bukan saya seorang buat keputusan. Kita telah minta KSU (Ketua Setiausaha kementerian) bercakap, nasihat dan beri amaran disusuli dengan surat. Kemudian timbalan menteri juga ada panggil nasihat, beri pandangan tapi anda (Ammar) sangat ‘degil’ tidak mahu ikut apa-apa arahan.

“Tidak benar sama sekali ia tidak ikut proses dan buat sesuka hati malah kita ikut undang-undang selaras dengan peruntukan Sesyen 47 Akta Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388),” kata beliau.

Semalam, menteri itu berkata, Ammar diturunkan pangkat kerana gagal mencapai prestasi kerja yang ditetapkan.

Kata King Sing, banyak peluang telah diberikan kepada Ammar memandangkan beliau mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dalam pelancongan.

Menurutnya, Ammar tidak dipecat atau ditamatkan perkhidmatan seperti yang didakwa sebaliknya hanya diturunkan pangkat.

“Saya bimbang saya sudah beri banyak kali peluang dan nasihat, bukan sahaja saya, termasuk timbalan saya sendiri. Apa sepatutnya buat yang terbaik untuk negara kita kepada pelancong-pelancong.

“Tetapi saya tak tahu (sama ada) beliau tidak ada idea atau beliau tidak tahu macam mana hendak buat. Bila beliau tidak boleh ‘perform’ (menunjukkan prestasi), saya mesti tukar,” katanya.