Bayaran Aidilfitri: Bank untung berbilion patut contohi kerajaan Selangor

Oleh J Solomon

PANDANGAN: Kerajaan Negeri Selangor wajar menerima pujian kerana menyediakan tambahan gaji sebulan atau minimum RM1,000.00 sebagai bantuan perayaan Hari Raya Aidilfitri kepada kesemua penjawat awam negeri itu.

Sewajarnya ia digelar sebagai “bantuan” kerana pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengiktiraf dan mengakui akan keperluan yang amat mendesak untuk meningkatkan taraf hidup rakyat B40 di Malaysia.

Sektor swasta, terutamanya industri yang mengaut keuntungan yang besar dengan beroperasi di Malaysia dan menggunakan sumber-sumber Malaysia, sekurang-kurangnya harus mengikut contoh yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Mereka sepatutnya berusaha untuk melakukan yang lebih baik berbanding perkhidmatan awam.

Bank-bank di Malaysia mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit dan sepatutnya tiada masalah untuk menghulurkan bantuan sedemikian bagi membolehkan umat Islam menikmati sambutan Aidilfitri dengan tenang.

Di Indonesia, di mana majoriti penduduknya turut menyambut Aidilfitri, majikan di negara itu diwajibkan oleh undang-undang supaya semua pekerja dibayar tambahan sebulan gaji sempena perayaan itu.

Bank-bank di Indonesia yang juga mencatatkan keuntungan cemerlang seperti yang disaksikan di Malaysia, membayar dua bulan kepada pekerja mereka. Semua bank di Indonesia menyedari bahawa inilah masanya pekerja mereka, khususnya mereka yang berada di peringkat bawah dalam hierarki gaji amat memerlukan pendapatan tambahan.

Kerajaan Negeri Selangor mengalami defisit sejak tiga tahun lalu. Kerajaan negeri masih mengiktiraf perkara yang perlu diutamakan.

Sehubungan dengan itu, para Ketua Pegawai Eksekutif Bank perlu bertanggungjawab secara sosial dan melakukan perkara yang betul kerana mereka akan membuat lebih banyak keuntungan dari tahun ke tahun.

J Solomon ialah Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE)