Bank Negara perlukan transformasi holistik seiring agenda PMX

Oleh Callistus Anthony D’Angelus

PANDANGAN: Sindiket penipuan antarabangsa telah menembusi lima buah bank di Malaysia, di mana laporan mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 20 orang pekerja lima bank terbabit – termasuk juruaudit dan pegawai barisan hadapan – memudahkan sindiket dalam membuka akaun bank.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, dilaporkan menyatakan bahawa lima bank itu tidak disiasat dan tumpuan diberikan ke atas pekerja-pekerja terbabit. Tidak dapat dinafikan bahawa individu terbabit perlu disiasat dan didakwa secara jenayah mengikut kesesuaian.

Sebaliknya, tidak meletakkan lima bank terbabit di bawah siasatan menunjukkan ketidakcekapan yang ketara di pihak BNM, dan mencerminkan rasuah sistemik dan kurangnya tadbir urus yang betul di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas berdekad-dekad pentadbiran berrasuah menerajui negara, mengetuai serangan terhadap amalan rasuah dan tadbir urus yang lemah. Beliau mesti campur tangan dan mentransformasi pengurusan BNM.

Untuk mengehadkan siasatan ke atas hanya pekerja-pekerja yang terlibat seumpama tindakan menangani gejala dan mengabaikan punca. Punca sindiket penipuan antarabangsa boleh menembusi sistem adalah disebabkan oleh pematuhan yang tidak cekap, pengurusan risiko dan mekanisme kawalan bank terbabit.

BNM harus memainkan peranan secara langsung bagi menyiasat bank, dan mendedahkan hasil siasatan kepada orang ramai. Akauntabiliti harus berada di peringkat tertinggi bank yang terlibat – di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif.

Bank dan sistem kewangan secara keseluruhan adalah penjaga dana awam. Hubungan fidusiari adalah dengan rakyat Malaysia, dan ini tidak boleh dilupakan atau dipandang ringan.

Bank berfungsi sebagai asas kepada sistem ekonomi mana-mana negara. Krisis ekonomi Asia Timur pada akhir 1990-an, Krisis Kewangan Global 2008, dan baru-baru ini kegagalan Silicon Valley dan Signature Banks di Amerika Syarikat (AS) adalah contoh apabila krisis perbankan atau monetari membawa kepada krisis ekonomi.

Sebenarnya, dalam krisis-krisis seperti ini yang rugi bukanlah bank, tetapi rakyat biasa.

BNM sudah terlalu lama tidur dalam perjalanan fungsinya.

Sudah tiba masa bagi Perdana Menteri melantik pemimpin dan teknokrat untuk menerajui BNM, yang akan bertindak seiring dengan agenda reformasi beliau dan tidak menghalang usaha-usaha yang sedang diambilnya.

Callistus Anthony D’Angelus ialah Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)