Susulan aduan NUBE, ILO senarai 6 syor termasuk minta kerajaan jamin rundingan dikendali dengan ‘niat baik’

NUBE mengadakan tindakan berpiket di Ipoh, Perak tiga tahun yang lalu.- Foto ihsan NUBE

KUALA LUMPUR: Susulan aduan yang difailkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) pada Disember 2020 berhubung kegagalan pihak berkuasa terhadap tindak-tanduk antikesatuan oleh HSBC, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dalam laporan terbaharunya yang dikeluarkan bulan lalu, mengesyorkan agar sebarang rundingan pada masa depan antara pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian industri akan dijalankan dengan “niat baik” bagi mengelakkan kelewatan melampau.

ILO mahu pihak kerajaan mengambil langkah itu dengan mengutamakan faedah dialog yang membina demi mewujudkan dan mengekalkan hubungan buruh yang harmoni.

Dalam laporan hasil siasatan yang dikeluarkan oleh Governing Body ILO itu, yang antara lain memfokus isu yang difailkan oleh NUBE mengenai sikap dan pendirian kerajaan terhadap tindak-tanduk HSBC Bank Malaysia, Jawatankuasa ILO Mengenai Kebebasan Berorganisasi (CFA) menjangkakan Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memudahkan rundingan sedemikian antara pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian industri.

Ia merupakan antara lapan syor yang terdapat dalam laporan badan tersebut.

Selain itu, ILO juga meminta kerajaan agar memberikan kepada Jawatankuasa Pakar maklumat lanjut mengenai penggunaan praktikal Seksyen 13(3) Akta Perhubungan Perusahaan, seperti yang dipinda, khususnya mengenai interaksi antara sekatan perundangan ke atas isu-isu yang boleh dirunding dan kemungkinan untuk membangkitkan persoalan yang bersifat umum dalam hal ini, dan merujuk aspek perundangan kes ini kepada Jawatankuasa Pakar.

Di bawah syor seterusnya, ILO mengesyorkan agar kerajaan terus terlibat dengan pihak-pihak terbabit – kesatuan dan majikan – dengan tujuan untuk menyelesaikan sebarang isu tertunggak mengenai dakwaan antikesatuan sekerja atau penggantungan ahli-ahli NUBE dan untuk memastikan bahawa, di mana sesuai, remedi yang mencukupi disediakan kepada pihak berkenaan pekerja, membenarkan pengembalian semula dan pampasan.

Seterusnya, ILO juga meminta kerajaan memberikan maklumat mengenai keputusan prosiding kehakiman dalam dua kes berkenaan dakwaan pemecatan ahli NUBE, Sarimah Awang Senik dan T. Sethupathy oleh majikan mereka, iaitu HSBC.

Dalam pada itu, ILO juga mempercayai bahawa kerajaan akan terus berwaspada terhadap sebarang pemecatan pada masa hadapan atau langkah lain yang menyasarkan ahli pengadu, untuk memastikan bahawa mereka tidak didorong oleh alasan antikesatuan dan bahawa NUBE dibenarkan untuk menjalankan aktivitinya dalam iklim yang bebas daripada gangguan, ancaman atau usaha untuk memburukkan kesatuan atau pemimpinnya.

Di bawah syor terakhir, ILO juga percaya bahawa polis dan pihak berkuasa yang lain sentiasa peka terhadap hak kesatuan sekerja, untuk mengelakkan gangguan atau ugutan terhadap ahli kesatuan sekerja oleh pihak berkuasa awam.

Pada Disember 2020, NUBE membuat aduan kepada ILO berhubung sikap dan pendirian dalam isu-isu membabitkan pekerja di HSBC Bank Malaysia.

NUBE mendakwa kegagalan kerajaan untuk menyediakan perlindungan dalam undang-undang dan amalan terhadap tindakan antikesatuan yang berulang terhadap ahlinya oleh majikan, termasuk gangguan, penganiayaan dan pemecatan antikesatuan terhadap pemimpin dan ahli kesatuan sekerja, serta ketidakpematuhan dengan perjanjian yang dimuktamadkan dan penangguhan yang disengajakan dalam rundingan perjanjian perundingan kolektif.

Dalam kenyataan dikeluarkan Februari 2021, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, ILO sedang meneliti aduan diajukan kesatuan pekerja perbankan Malaysia, yang menyebut kegagalan Kementerian Sumber Manusia melindungi ahli mereka dalam beberapa pertikaian dengan bank HSBC.

Kata beliau, NUBE terpaksa membawa isu itu kepada badan antarabangsa selepas kementerian dan Bank Negara gagal bertindak atas beberapa aduan mereka.

Solomon mendakwa, kementerian tidak menguatkuasakan perjanjian perundingan bersama mereka dengan bank, menghalang HSBC daripada menyumber keluar pekerjaan dengan mengorbankan pekerja tempatan, atau melindungi hak NUBE untuk berunding dengan bank.

Antara lain, beliau berkata kesatuan mahu kerajaan diarahkan oleh ILO untuk:

  • Mengambil langkah sesuai untuk menyelesaikan pertikaian antara HSBC dan NUBE, dan supaya semua pekerja yang diberhentikan akibat tindakan industri diambil bekerja kembali dengan gaji tertunggak dan pampasan mencukupi;
  • Memastikan HSBC menarik balik skim pemisahan sukarela (VSS) dan segera mengadakan rundingan dengan NUBE; dan,
  • Memastikan HSBC menghentikan semua aktiviti penyumberan luarnya dengan segera.

Antara pertikaian mereka dengan HSBC termasuk tindakan bank yang “agresif” menyumber luar kerja, baik di dalam mahupun luar negara, “dengan mengorbankan pekerja tempatan”, yang didakwa NUBE sebahagian daripada usaha mengurangkan kos.

“Amalan penyumberan luar ini menyebabkan ramai pekerja B40 dan M40, khususnya HSBC, kehilangan pekerjaan manakala ramai lagi akan mengalami nasib sama apabila tiba waktunya. Ini bertentangan dengan perjanjian kolektif yang ditandatangani antara bank dan kesatuan pekerja,” kata Solomon.

Beliau berkata, amalan itu juga boleh menimbulkan isu keselamatan, kerana data peribadi seperti nombor telefon, alamat dan gaji dapat diakses orang luar.

NUBE pada bulan lalu memulakan tindakan piket membantah HSBC Bank Malaysia. Fasa pertama piket diadakan di Johor Bahru pada 10 Mac manakala yang kedua di Pulau Pinang pada 24 Mac.