Tun Wan Junaidi sah Yang Dipertua Sarawak kelapan

Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima surat cara pelantikan Yang Dipertuan Sarawak yang kelapan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini. – Foto ihsan FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang turut dikurniakan gelaran “Tun” hari ini merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang kelapan menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

Beliau menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Balairung Kecil, Istana Negara hari ini.

Wan Junaidi, 78, dilantik ke jawatan itu mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024.

Beliau sebelum ini pernah bertanding dalam pilihan raya atas tiket GPS-PBB.

Minggu lepas, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor melepaskan jawatan Yang Dipertua Dewan Negara untuk menyandang jawatan TYT bagi menggantikan Abdul Taib Mahmud.

Pada Jun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu yang tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 menerima tawaran untuk mengisi kekosongan jawatan Speaker Dewan Negara.

Istiadat pengurniaan turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Wan Junaidi dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya) pada 1 Februari 1946. Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).

Beliau mula berkecimpung dalam arena politik pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam PRU8 yang dipertahankannya untuk dua penggal seterusnya, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada PRU ke-11 pada 2004 yang berjaya dipertahankannya untuk empat penggal berturut-turut sehingga 2022.

Di peringkat persekutuan, anak jati Sarawak itu pernah menyandang beberapa jawatan menteri antaranya Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015 hingga 2018) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2020 hingga 2021) selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) (2021 hingga 2022)

Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2013.