200 juta rakyat Indonesia undi hari ini untuk pilih presiden ke-8

Calon jawatan presiden Indonesia (dari kiri), Ganjar Pranowo, Prabowo Subianto dan Anies Baswedan semasa debat pemilihan presiden pada 12 Disember lalu. – Foto ihsan The Star

JAKARTA: Lebih 200 juta rakyat Indonesia menuju ke lebih 800,000 pusat mengundi di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu hari ini untuk memilih presiden yang kelapan untuk menggantikan penyandang jawatan, Joko Widodo.

Bakal presiden merupakan yang keenam sejak era reformasi.

Selain itu, pengundi juga akan memilih barisan anggota Dewan Perwakilan Rakyat yang baharu dan sejumlah penggubal undang-undang peringkat tempatan.

Menteri Pertahanan, Probowo Subianto, 72, dilihat sebagai pendahulu dalam apa yang boleh menjadi percubaan terakhir bekas jeneral tentera itu untuk menawan jawatan politik tertinggi di negara paling ramai penduduk Islam di dunia, menurut pelbagai tinjauan pendapat menjelang undian hari ini.

Widodo, juga lebih dikenali sebagai Jokowi, menewaskan Probowo dalam dua pilihan raya presiden lalu.

Bagaimanapun Jokowi melantik Probowo sebagai menteri pertahanannya lima tahun lalu.

Beberapa tinjauan pendapat terkini menunjukkan Probowo memiliki lebih 50 peratus undian terhadap dua lawan lain.

Probowo dicalonkan oleh Parti Gerindranya.

Untuk menang dalam proses pengundian hari ini tanpa perlu ke pusingan kedua, pasangan presiden dan timbalan mesti memperoleh lebih 50 peratus undi peringkat nasional dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di lebih separuh daripada 38 wilayah di Indonesia.

Jika tidak ada pasangan yang mencapai aras itu, rakyat Indonesia akan menuju ke pusingan kedua yang akan diadakan pada bulan Jun antara dua pasangan berprestasi terbaik.

Pengundi mempunyai enam jam untuk memilih presiden dan naib presiden serta penggubal undang-undang di peringkat kebangsaan, wilayah dan kabupaten, bersama-sama dengan seorang senator wilayah untuk parlimen negara.

Pusat mengundi akan dibuka mulai pukul 7 pagi dan ditutup pada 1 tengah hari (waktu tempatan) merentasi tiga zon waktu Indonesia.

Keputusan awal mungkin akan diketahui dalam tempoh satu sehari, tetapi keputusan rasmi hanya akan diumumkan sebulan kemudian.

Bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan bertanding jawatan presiden dengan sokongan tiga parti, termasuk Parti Nasdem sekular dalam gabungan pemerintah dan Parti Keadilan Sejahtera Islam (PKS) konservatif. Muhaimin Iskandar atau lebih dikenali sebagai Cak Imin dan ketua Parti Kebangkitan Negara (PKB) merupakan gandingan bagi jawatan naib presiden.

Bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pronowo dicalonkan oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) sebagai calon presiden bersama Mohammad Mahfud Mahmodin sebagai pasangan naib presiden.

Di Indonesia, hanya gabungan atau parti politik individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 20% kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat atau suku undi popular daripada pilihan raya Dewan Perwakilan Rakyat sebelum ini boleh mencadangkan gandingan calon presiden dan naib presiden.

Jokowi tidak bertanding semula selepas menjalani tempoh maksimum dua penggal lima tahun.

Anak sulungnya dan Datuk Bandar Surakarta atau Solo sekarang, Gibran Rakabuming Raka, merupakan pasangan calon Probowo.

Gibran, 36, layak untuk bertanding susulan pindaan undang-undang untuk membenarkan calon bawah 40 tahun bertanding jawatan presiden atau naib presiden jika mereka telah memegang jawatan wilayah.