Keputusan tidak rasmi: Kem Prabowo dahului pemilihan presiden Indonesia

Pasangan Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka ketika berkempen dalam pemilihan jawatan presiden baru-baru ini. – Foto ihsan FB Prabowo Subianto

JAKARTA: Kem Prabowo Subianto mengisytiharkan memenangi pemilihan presiden tiga penjuru Indonesia selepas keputusan kiraan tinjauan umum menunjukkan beliau telah memperoleh majoriti mudah yang diperlukan untuk memenangi perlumbaan dalam satu pusingan.

Menteri Pertahanan berusia 72 tahun itu memperoleh kira-kira 58 peratus undi, menurut pengiraan pantas oleh beberapa peninjau, menewaskan bekas gabenor Jakarta dan calon pembangkang Anies Baswedan dan bekas gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo.

Anies dan Ganjar masing-masing menyusuli dengan mengumpul kira-kira 25 peratus dan 17 peratus, menurut hasil tinjauan bebas.

Kiraan awal oleh suruhanjaya pilihan raya dilaporkan jauh lebih perlahan dan menunjukkan Prabowo memperoleh 57. peratus undi dengan kira-kira 6 peratus undi telah direkodkan.

“Kami yakin ini adalah kemenangan satu pusingan untuk Prabowo dan Gibran,” kata Setiausaha Agung parti Prabowo, Ahmad Muzani.

Keputusan rasmi mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk disahkan, tetapi kaedah ‘kiraan segera’, di mana pengundi bebas dan sukarelawan mengira undi daripada sampel tempat mengundi, telah terbukti menjadi penunjuk yang boleh dipercayai bagi keputusan akhir dalam pilihan raya sebelumnya.

Prabowo berkata, kuasa lain iri dengan negara sebesar dan kaya seperti Indonesia dan mengulangi gesaannya untuk perpaduan.

“Mari kita mengekalkan keamanan sementara menunggu keputusan rasmi,” tambah beliau.

Pasangan naib presiden Prabowo, Gibran Rakabuming Raka memberitahu bahawa beliau “sangat berterima kasih” untuk penyokongnya.

“Terima kasih semua orang kerana berpeluh, berdarah, menghabiskan masa mereka berkempen,” kata Gibran, anak penyandang jawatan Joko Widodo atau Jokowi.

“Beberapa bulan lalu, saya bukan sesiapa. Sekarang saya dan Prabowo berada di sini,” tambah lelaki berusia 36 tahun itu.

“Saya ingin berterima kasih kepada Prabowo kerana memberi tempat kepada anak muda seperti saya … untuk menjadi sebahagian daripada jalan menuju Indonesia emas,” tambah Gibran, sambil menyifatkan belia negara itu sebagai “generasi emas”.