MTUC mahu piket protes skim Lindung 24 jam Perkeso, kadar caruman

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan piket di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara bagi membantah pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), tetapi tarikh piket belum diumumkan.

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan piket di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara bagi membantah pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Lindung 24 Jam,

Piket itu turut diadakan bagi membantah caruman tambahan yang dikenakan ke atas pekerja yang merupakan pencarumnya.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, tindakan itu diambil bagi mendesak Perkeso melibatkan wakil pekerja dalam perbincangan dan menghentikan kutipan caruman tambahan.

Bagaimanapun tarikh piket tidak dinyatakan.

“Majlis Am (MTUC) telah memutuskan piket dibuat untuk membantah cara SKBBK di laksanakan,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, MTUC mengecam Perkeso yang mengenakan caruman tambahan kepada pekerja sebanyak 0.75 peratus daripada gaji.

“Ini bermakna RM12.75 bagi pekerja yang bergaji minima RM1700,” kata beliau.

Tambah Kamarul, kenaikan kadar caruman itu “satu bentuk penindasan yang ‘dipaksa rela’ ke atas pekerja.”

“MTUC akan mengadakan piket di seluruh pejabat Perkeso bagi mendesak Perkeso mengadakan perbincangan dan tidak mengutip duit tambahan daripada pekerja.

“MTUC mahu perbincangan di adakan segera bagi membincangkan kadar caruman pekerja dan kadar caruman majikan,” kata beliau.

Di bawah SKBBK, pekerja mencarum 0.75 peratus daripada gaji mereka sepanjang dua tahun pertama pelaksanaannya, dengan caruman itu ditanggung sepenuhnya oleh pekerja.

Kadar itu dijadualkan meningkat kepada satu peratus bagi tiga tahun berikutnya dan 1.25 peratus mulai tahun keenam.

Skim tersebut berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu. Ia menyediakan perlindungan Perkeso selama 24 jam bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Menurut Kamarul, kadar 0.75 peratus bersamaan RM12.75 sebulan bagi pekerja yang menerima gaji minimum RM1,700.

“Kenapa Perkeso terlalu menekan menindas tanpa mengadakan perbincangan dengan pertubuhan pekerja,” tambah beliau.

Skim itu pada mulanya diperkenalkan secara wajib, tetapi kabinet mengubah dasar berkenaan pada 8 Julai susulan maklum balas orang ramai, dengan penyertaan dijadikan sukarela bagi pekerja tempatan manakala perlindungan bagi pekerja asing kekal diwajibkan.

Pada 8 Julai lalu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kabinet memutuskan caruman bagi skim Lindung 24 Jam tidak lagi bersifat mandatori berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, keputusan berkenaan menyaksikan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja itu kini dilaksanakan secara sukarela.

“Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam bawah PERKESO.

“Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman itu tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.

“Kenyataan lanjut berhubung keputusan ini akan diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” kata beliau.

Lebih sembilan juta pencarum menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik dilindungi sepenuhnya daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja, berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, skim itu yang diperkenalkan melalui pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas di Malaysia, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.

Ramanan dilaporkan berkata, caruman LINDUNG 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji bagi maksud caruman iaitu RM6,000.

Untuk permulaan, kadar caruman bagi LINDUNG 24 Jam adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan, justeru majikan bertanggungjawab untuk menguruskan potongan gaji pekerja dan melaksanakan pembayaran caruman skim itu kepada PERKESO setiap bulan.

INFO Lindung 24 Jam

Fasa 1 (dua tahun pertama): 0.75%

Fasa 2 (tiga tahun berikutnya): 1.00%

Fasa 3 (tahun keenam dan seterusnya): 1.25%

Contoh kiraan mudah (Fasa 1 sekarang – 0.75%):

Gaji RM1,700 → caruman sekitar RM12.75

Gaji RM3,000 → caruman sekitar RM22.50

Gaji RM5,000 → caruman sekitar RM37.50