PM: Belanjawan bukan sekadar dokumen, tapi ‘Waad Nasional’

Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan dokumen yang mengandungi teks ucapan Belanjawan 2027, semalam. – Foto ihsan FB Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan belanjawan tahunan negara bukan sekadar satu dokumen kemajuan negara dan rakyat, tetapi satu “Waad Nasional” atau pernyataan moral.

Berucap membentangkan ucapan Belanjawan 2027, yang kelima di bawah kepimpinannya di Parlimen, beliau berkata, kemajuan yang sebenar tidak diukur tentang sejauh mana “kita bergerak, tetapi tentang apa yang kita angkat bersama dalam perjalanan itu, yakni maruah manusia, kekuatan keluarga, mobiliti generasi, keutuhan pranata, dan keyakinan bahawa usaha pastinya dibalas dengan hamparan peluang.

“Bukan hanya mewarisi kekuatan yang ada, tetapi berusaha memperluaskannya sehingga akhirnya ia menjadi legasi yang lebih besar untuk generasi penerus,” kata beliau yang merujuk kepada Sejarawan dan Failasuf Inggeris Sir Isaiah Berlin yang meminjam satu gambaran purba yang ringkas tetapi tajam dan mendalam.

Mengulas rujukan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sang rubah mengetahui banyak perkara, sedangkan sang landak mengetahui satu perkara yang besar.

“Dalam konteks kehidupan bernegara, kedua-duanya diperlukan. Sesebuah bangsa mesti mempunyai satu cita-cita besar yang konsisten, suatu tujuan yang memberi arah dan makna kepada perjalanan.

“Ekonomi menuntut pertumbuhan dan pengagihan, teknologi menuntut inovasi dan perlindungan, fiskal menuntut disiplin dan ihsan, selain pembangunan menuntut kepantasan dan kebijaksanaan.

“Khulasahnya, sesebuah negara harus memiliki keteguhan sang landak tentang arah tuju dan cita-cita, dan kecerdikan sang rubah tentang jalan dan mekanisme untuk menjelmakannya,” kata beliau lagi.

Anwar yang turut memetik pemikir dan faqih besar Islam al-Mawardi, memberitahu, kekuasaan tidak berdiri dengan sendirinya tanpa tertib, hukum dan tanggungjawab.

Pemerintahan hanya memperoleh makna apabila amanah kekuasaan dilaksanakan dengan adil, institusi berfungsi dengan baik, dan kepentingan massa dipelihara,” kata beliau.

“Hari ini, itulah ujian dan tantangan kita. Dunia semakin bergejolak. Perang dan persaingan kuasa-kuasa besar serta perubahan dan kelaku iklim memberi kesan kepada harga makanan dan kos tenaga.

“Rantaian bekalan yang selama ini kita tanggapi sebagai kukuh, mula merapuh dan melemah, lantas menguji aspek keterjaminan makanan dan bekalan.

“Perkembangan kecerdasan buatan sedang mengubah perdagangan, tenaga, pekerjaan dan kehidupan dengan pantas. Namun perubahan besar tidak hanya mewujudkan kekhawatiran. Ia juga membuka ruang kepada negara yang berani membaca dan menggarap zaman, menguasai ilmu baharu dan mempersiapkan rakyat sedari awal,” kata beliau.

Tambah beliua, “maka, persoalan kita bukan sekadar berapa besar ekonomi yang mahu dibina, tetapi sama ada pertumbuhan itu membuka ruang kepada keluarga untuk membina simpanan, kepada pekerja untuk menikmati upah yang lebih bermaruah, kepada perusahaan kecil untuk terus berkembang, dan kepada mana-mana mereka untuk menggapai di langit dan terus
mengakar di bumi.

“Lantaran itu, mesti ditegaskan bahawa Belanjawan negara adalah pernyataan moral atau Waad Nasional sesebuah Kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, tradisi pemikiran Melayu sendiri telah lama meletakkan persoalan keadilan dan amanah sebagai teras dan pasak pemerintahan.

Beliau sekali lagi memetik kata-kata falsafah lama. Kali ini beliau memetik ungkapan penyair dan sejarawan Melayu purba Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas (1847), dengan merujuk kepada “Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat.”

Anwar menambah bahawa “dalam tradisi kita, hubungan antara pemerintah dengan rakyat tidak pernah berdiri atas kuasa semata-mata.

“Ia terpasak atas waad, yakni suatu ikatan yang menuntut kesetiaan yang mesti dibalas dengan keadilan dan kuasa mesti dipagari amanah (covenant). Inilah Waad Nasional kita.

“Bahawa negara tidak akan meminggirkan mereka yang dihimpit kesusahan. Dan bahawa setiap anak Malaysia, apa pun latar keluarga, wilayah atau kedudukannya, berhak melihat dan mencapai potensinya.

“Waad ini juga bukan janji sehala. Negara menyediakan ruang dan peluang, rakyat mengisinya dengan ilmu, kerja, daya cipta dan keberanian. Pemerintah menjaga amanah, rakyat memperkukuh negara melalui usaha dan kecemerlangan,” kata beliau.

Maka, kata Anwar, ia adalah kewajiban sejarah.

” Namun kewajiban itu bukan beban yang dipikul dengan sikap yang pesimis.

“Ia adalah kesempatan kepada generasi kita untuk meninggalkan sebuah negara yang lebih kukuh daripada yang kita warisi, dengan institusi yang lebih diyakini dan dipercayai, ekonomi yang lebih rencam dan generasi muda yang mempunyai ruang lebih luas untuk mencipta masa depan mereka sendiri.

“Maka, sejarah tidak diukir hanya oleh nama-nama besar, tetapi oleh jutaan manusia yang bekerja setiap hari, yang mengajar dan yang merawat, yang berniaga dan mencipta, yang menggembur tanah, yang menjaga keluarga dan membina kehidupan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, menurut beliau, ukuran Belanjawan bukan pada tebalnya dokumen, besarnya peruntukan atau banyaknya pengumuman.

“Ukurannya malah jauh lebih asas, yakni adakah lebih ramai rakyat dapat hidup dengan bermaruah, dan apakah Malaysia yang kita serahkan kelak kepada generasi seterusnya lebih adil daripada Malaysia yang kita warisi.

“Jika jawapannya ya, maka itulah anjakan dan kemajuan yang sebenar.

“Dengan keyakinan bahawa kekuatan ekonomi harus akhirnya mengangkat kemuliaan insan, pertumbuhan mesti membuahkan keadilan, reformasi mesti memulihkan keyakinan dan setiap generasi wajib mewariskan negara yang lebih baik dari sebelumnya,” katanya.

Justeru itu, kata Anwar, beliau menggubal Belanjawan MADANI 2027 sebagai ikhtiar sebuah generasi untuk memperkukuh tatanan dan memenuhi janji dan Waad Nasional kepada
masa hadapan.