Anis Rizana wanita pertama dilantik Ketua Pengarah Kastam

KUALA LUMPUR: Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin (foto) mencatatkan sejarah sebagai wanita pertama dilantik menyandang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

Pelantikan itu berkuat kuasa mulai 25 September lalu.

Anis Rizana, 54, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Western Michigan University, Amerika Syarikat (AS) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata Anis Rizana memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun dengan jawatan pertama yang disandang ialah sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan pada 1994.

“Pelantikan ini adalah kali pertama bagi seorang penjawat awam wanita menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah JKDM,” kata beliau.

Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan import eksport, penyelidikan dan pembangunan dasar, ekonomi, pengurusan dan kewangan serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan.

Beliau pernah memegang jawatan Pengarah NKRA Rasuah.

Mohd Zuki berkata, beliau percaya dengan pengalaman dan kredibiliti dimiliki Anis Rizana mampu menerajui agensi yang amat penting dalam pengutipan hasil kerajaan.

Selain itu, beliau mewakili kerajaan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Zazuli Johan di atas jasa dan khidmat baktinya kepada perkhidmatan awam terutama sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kastam.