Bantuan perayaan: NUBE kecewa langkah Menteri Sumber Manusia, MCBA

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) menandatangani Perjanjian Kolektif 2021-2023 pada tahun lalu, antara lain memperkenalkan bayaran perayaan satu bulan gaji. Bagaimanapun perkara ini menjadi satu pertikaian perhuhubungan perusahaan pada tahun ini.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mendakwa keputusan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dalam isu bayaran bantuan perayaan bagi pekerja-pekerja bank dibuat tanpa membabitkan semangat rundingan bersama.

Malah, dakwa Setiausaha Agungnya, J Solomon, tindakan Steven Sim yang hanya berurusan dengan Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) dengan mengetepikan peranan NUBE dalam memuktamadkan keputusan itu sebagai tidak beretika dan dibuat secara gerakan sulit.

Malah kata beliau, tindakan tersebut melanggar perjanjian kolektif sedia ada antara MCBA dan NUBE yang diterima April tahun lalu untuk menyedian insentif bantuan perayaan sempen perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.

“Ini tindakan tidak jujur yang bertentangan ketetapan penyelesaian pertikaian rasmi dan menimbulkan kebimbangan ketara mengenai integriti proses rundingan setakat ini.

“Sangat menyedihkan apabila melihat Chee Keong mengetepikan pihak yang sepatutnya dilindungi, sekali gus meningkatkan ketidakharmonian industri dalam sektor perbankan,” kata beliau pada sidang media yang disiarkan menerusi Facebook.

Sehubungan dengan itu, Solomon berkata, pihaknya mahu Menteri Sumber Manusia menunaikan janji dan memanfaatkan kuasanya bagi memastikan pekerja bank diberi pampasan sewajarnya.

Dalam pos beberapa hari lalu, NUBE berkata, banyak bank sudah memulakan pembayaran bantuan perayaan sebulan gaji bagi kakitangan bukan eksekutif, manakala 0.5 gaji bulanan untuk pekerja eksekutif dan gred khas, selepas pertemuan antara MCBA dan Chee Keong baru-baru ini.

Kata Solomon berkata, Menteri Sumber Manusia gagal memberi justifikasi berhubung keputusan tidak mampu menyediakan bantuan kewangan sebulan walaupun bank mencatatkan keuntungan besar.

Katanya, Steven Sim perlu bertanggungjawab ke atas pelanggaran kepercayaan, kaedah menangani peningkatan pertikaian dan memastikan pampasan adil bagi kakitangan bank.

“Beliau juga perlu memastikan MCBA menyediakan gaji penuh sebulan sebagai bantuan festival kepada pekerja perkeranian dan menanggung cukai pendapatan untuk bantuan berkenaan, selain mengakui kesukaran dihadapi pekerja.

“Bagi menunjukkan komitmen menyelesaikan isu bantuan kewangan secara menyeluruh, perjanjian berkenaan sepatutnya dimasukkan ke dalam Perjanjian Kolektif ke-19 dan diakui sebagai bayaran tahunan bagi mencegah daripada berulang,” katanya.

Menurut NUBE, pada 2 April lalu, banyak bank telah mengumumkan akan membayar ahli-ahli NUBE “bayaran perayaan ex-gratia 2024 sekali bayar dan telah membuat bayaran itu pada hari yang sama. Bagaimanapun ada yang melakukannya 3 April manakala ada bank pula yang akan bayar pada 5 April 2024.

“Kami gembira untuk ahli FSE-1 (bukan perkeranian) yang menerima bayaran sebulan gaji sebagai bantuan perayaan, namun kami amat kecewa kerana lebih daripada 90 peratus ahli NUBE hanya dibayar 50 peratus bantuan perayaan.

“Semua ahli NUBE juga telah ‘ditipu’ oleh MCBA dan Menteri (Sumber Manusia).

“Kami kini yakin bahawa MCBA telah membuat satu perjanjian rahsia dengan Menteri Sumber Manusia untuk mendiskriminasi lebih daripada 90 peratus ahli NUBE dan menipu semua ahli NUBE, tetapi berlakon seperti mereka membantu kita,” kata beliau.

Dalam klip video baru-baru ini, Solomon menyifatkan tindakan Steven Sim dan MCBA sebagai “tidak bertanggungjawab.”

“Secara kolektif, melalui tindakan, doa dan rakan-rakan yang jujur, kita telah mencapai kemajuan yang besar,” kata Solomon yang mengiktiraf bantuan perayaan penuh dibayar kepada pekerja-pekerja bukan perkeranian tetapi pekerja-pekerja telah diperdaya.

Solomon berkata, “bantuan perayaan anda bukanlah hadiah daripada pihak pengurusan, ia adalah hak anda.”