Bantuan perayaan: MTUC hargai Menteri Sumber Manusia, tapi mahu solusi jangka panjang

MTUC menzahirkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia kerana beliau menunjukkan sikap berpendirian teguh dalam memperjuangkan kepentingan pekerja bank untuk menerima bantuan perayaan yang layak.

Oleh Mohd Effendy Abdul Ghani

PANDANGAN: Pendirian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menuntut bahawa keuntungan yang diperoleh oleh bank seharusnya dikongsi bersama pekerja adalah penting untuk memastikan keadilan dalam persekitaran pekerjaan.

Dengan menjamin kebajikan pekerja, termasuk menjelang perayaan, ini dapat meningkatkan motivasi dan produktiviti mereka. Peningkatan produktiviti ini dapat menguntungkan kedua belah pihak, bank dan pekerja, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Berkenaan isu pekerja bank tidak dapat sebarang bantuan perayaan telah ada perkembangan yang positif di mana Menteri Sumber Manusia, Steven Sim telah dimaklumkan mengenai masalah ini dan bank-bank telah pun mengendurkan pendirian mereka selepas mendapat pandangan beliau.

Langkah ini akan memberi peluang bagi pekerja bank untuk menerima bantuan perayaan yang mereka perlukan, memperbaiki suasana pekerjaan, dan menjaga kebajikan mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri. Semoga penyelesaian yang bermaruah ini dapat dicapai bagi kebaikan semua pihak.

MTUC menzahirkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia kerana beliau menunjukkan sikap berpendirian teguh dalam memperjuangkan kepentingan pekerja bank untuk menerima bantuan perayaan yang layak.

Tindakan beliau menunjukkan komitmen terhadap keadilan sosial dan kesejahteraan pekerja, serta mengambil berat terhadap keselamatan ekonomi mereka, terutamanya dalam suasana menjelang Hari Raya.

Langkah ini menunjukkan keberkesanan kerjasama antara kerajaan dan pihak kesatuan dalam memperjuangkan hak-hak pekerja.

Walaupun penyelesaian yang dicapai mungkin tidak sempurna, namun ia mungkin merupakan jalan terbaik bagi masa kini. Jika perkara ini dibawa ke Mahkamah Perusahaan, proses tersebut mungkin akan berlarutan dan menyebabkan pekerja terlepas daripada mendapat bantuan perayaan menjelang Hari Raya. Oleh itu, penting untuk mengambil kira kesan jangka pendek dan keselamatan kewangan pekerja dalam membuat keputusan.

Harapan MTUC untuk merangka penyelesaian jangka panjang yang dapat diadakan oleh kedua belah pihak adalah sangat munasabah.

Penyelesaian ini akan membantu mengelakkan pertikaian berulang setiap tahun menjelang perayaan, dan sebaliknya, membantu memastikan bahawa kebajikan pekerja bank dijamin dengan lebih baik dalam tempoh masa yang panjang. Kolaborasi yang baik antara bank dan kesatuan pekerja adalah kunci untuk mencapai penyelesaian yang berkekalan dan berfaedah bagi semua pihak.

Nota: Mohd Effendy Abdul Ghani ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)