Bantuan perayaan: NUBE mahu PM, ahli Parlimen campur tangan selesai pertikaian

Perjanjian Kolektif 2021-2023 antara NUBE dan Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) yang dimeterai April 2023 antara lain memperkenalkan bayaran perayaan buat julung kali.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mahu Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen campur tangan menyelesaikan pertikaian berkaitan bayaran bantuan perayaan kepada pekerja-pekerja sektor perbankan.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, pihaknya mahu GLIC seperti Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja supaya menasihati bank-bank di bawah bidang kuasa mereka supaya menghentikan penindasan mereka ke atas pekerja-pekerja.

“Kami berharap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan ahli-ahli Parlimen akan campur tangan untuk menyelesaikan masalah dihadapi oleh pekerja-pekerja B40 dan M40,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Bulan lalu, NUBE menggesa Perdana Menteri supaya membubarkan kartel bank apabila dilihat menindas pekerja bank kumpulan B40 dan M40.

Kata Solomon, bank syarikat berkaitan kerajaan (GLC) enggan memberikan gaji pokok sebulan sebagai bantuan perayaan kepada kumpulan berpendapatan rendah seiring dengan objektif kerajaan.

Katanya, keengganan bank-bank berkenaan jelas menggambarkan kedegilan mereka.

NUBE dan pihak bank berhadapan dengan pertikaian susulan keengganan bank untuk menyediakan bantuan perayaan satu bulan gaji kepada pekerja-pekerja mereka sebagaimana dilakukan, buat pertama kali, tahun lalu.

Di bawah perjanjian kolektif yang ditandatangani awal tahun lalu pihak bank telah bersetuju untuk menyediakan insentif itu, tetapi bayaran seterusnya akan dipertimbang dan dibincang dari tahun ke tahun.

Berdasarkan laporan media baru-baru ini, pihak bank tidak mahu menyediakan insentif dalam jumlah yang sama seperti tahun lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Solomon menambah, satu mesyuarat perdamaian antara NUBE dan pihak bank, dengan diketuai oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), kelmarin tidak membawa penyelesaian.

“Ketika mesyuarat perdamaian pada 21 Mac itu, pegawai JPPP termasuk Pengarah (JPP Cawangan) Wilayah Persekutuan secara dasarnya sekadar bertindak sebagai ‘posmen’.

“Walaupun NUBE berusaha membetulkan maklumat yang mengelirukan itu dengan bukti fakta, pegawai JPP terbabit mengakhirnya dengan menyatakan mereka akan menghimpunkan maklumat berkenaan dan (akan) merujuk kepada Putrajaya kerana pihak bank tetap berdegil,” kata beliau.

Kata beliau lagi, keuntungan besar yang dirai kebanyakan bank untuk tahun kewangan 2023 menunjukkan keupayaan kewangan pihak bank untuk memberi gaji sebulan sebagai bantuan perayaan sepertimana dilakukan tahun lalu.

“Lebih penting lagi, bank GLC seperti Maybank dan CIMB, yang beroperasi di Indonesia, secara konsisten memberikan satu bulan gaji sebagai bantuan perayaaan kepada semua pekerja termasuk di peringkat ketua pegawai eksekutif,” kata beliau.