Selangor teruskan tradisi bantuan khas kewangan satu bulan gaji, minimum RM1,000 sempena Aidilfitri

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghadiri Majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam Selangor di Shah Alam semalam. – Foto ihsan FB Amirudin Shari

KUALA LUMPUR: Tradisi diteruskan! Kakitangan awam negeri Selangor akan menerima bantuan khas kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada anggota perkhidmatan kerajaan negeri.

Kakitangan awam negeri menerima bantuan khas kewangan itu sejak beberapa tahun lalu termasuk 2023 dan 2022.

Mengumumkan perkara itu di Shah Alam semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu merangkumi penjawat awam di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor dan penjawat awam persekutuan lantikan tetap yang berkhidmat dalam jabatan di bawah pentadbiran SUK Selangor.

Selain itu bagi pemimpin masyarakat seperti Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan kampung, kampung baru dan ketua komuniti India, Setiausaha MPKK, Penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS) akan menerima sebulan elaun.

Penggerak masjid seperti nazir, imam rawatib, siak dan bilal untuk semua masjid serta guru rakyat yang berkerja bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula akan menerima bantuan khas RM500.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mahabbah Ramadan MADANI bersama penjawat awam Selangor.

Kata beliau, bantuan khas yang melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM45 juta itu akan disalurkan pada 8 April ini.