Speaker Dewan Rakyat umum kerusi Kuala Terengganu kosong, SPR mesyuarat 18 Julai

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan media hari ini, Johari berkata, pemakluman itu dibuat susulan kekosongan bagi kerusi tersebut.

“Selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah berlaku kekosongan luar jangka bagi bahagian pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu.

“Ini berikutan penyandang jawatan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim yang tidak mengemukakan sebarang rayuan yang berakhir pada 11 Julai lalu selaras dengan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kepada pihak Mahkamah Persekutuan,” kata beliau.

Oleh itu menurut beliau, SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh enam puluh dari tarikh kekosongan berkenaan.

Hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu akan dibincangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat khas Selasa depan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, selain hari mengundi PRK Kuala Terengganu, mesyuarat khas turut membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, daftar pengundian yang akan digunakan selain bagi melaksanakan PRK tersebut.

“Mesyuarat itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Ghani Salleh,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, PAS mengumumkan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai disebabkan ketiadaan ahli parlimen.

“Sebagai parti dan kerajaan yang memerintah, kita tidak mahu rakyat terabai disebabkan ketiadaan ahli parlimen.

“Walaupun mengikut undang-undang, kita mempunyai hak untuk memfailkan rayuan, tetapi kita perlu menunggu lebih daripada lima bulan untuk Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, mahkamah pilihan raya negeri membatalkan kemenangan calon Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bahru berkata, jika PAS memfailkan rayuan, pengundi kawasan tersebut ketiadaan wakil rakyat kerana Mahkamah Persekutuan akan mengambil masa enam bulan untuk menyelesaikan kes itu.

Katanya, PAS sudah mendapat pengesahan Ahmad Amzad boleh bertanding semula kerana mahkamah rayuan hanya sekadar memutuskan pembatalan keputusan Parlimen Kuala Terengganu.

“Kita berharap SPR boleh mengadakan pilihan raya parlimen Kuala Terengganu serentak dengan Pilihan Raya negeri pada 12 Ogos,” katanya.