Gaji: Khabar baik PM untuk penjawat awam hari ini?

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam pada 19 April lalu. – Foto ihsan Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Prrdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan khabar baik berkaitan dengan gaji penjawat awam hari ini sempena sambutan Hari Pekerja.

Pada 19 April lalu, beliau berkata, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumumkan pada perhimpunan Hari Pekerja, yang diadakan di Putrajaya.

Kata beliau, esyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024, yang diadakan pada 19 April lalu, hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 hari ini bagi membincangkan secara lebih lanjut berhubung struktur gaji penjawat awam.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini (19 April) hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya ingin tegaskan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, disebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia,” kata beliau bulan lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab tersebut dengan mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah.

“Insya-Allah, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti.

“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujar beliau.

Sebelum ini media melaporkan pengumuman itu akan dibuat penghujung tahun ini.