Gamers Gig Expo satukan komuniti e-sukan, menarik lebih 5,000 penonton

Sebahagian peserta Gamers Gig Expo (GG EXPO) E-Sukan yang berlangsung Sabtu dan Ahad lalu.

KUALA LUMPUR: Gamers Gig Expo (GG EXPO) E-Sukan yang berlangsung Sabtu dan Ahad lalu telah menarik perhatian lebih 5,000 penonton remaja, peminat tegar e-sukan secara fizikal dan talian.

Kenyataan media dikeluarkan berkata, GG EXPO E-Sukan yang diadakan di Homebois Pitstop, Petaling Jaya merupakan hasil projek akhir Empyrean, sebuah kumpulan pelajar semester lima yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis, Fakulti Pengurusan Perniagaan.

Acara itu disertai oleh sebanyak 72 kumpulan yang terdiri daripada penuntut UiTM, institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain, serta peminat-peminat e-sukan, kata kenyataan media itu.

Ia menambah, bekerjasama dengan Team Haq, pasukan e-sukan yang terkenal dalam negara, GG EXPO akan terus membantu membangunkan industri e-sukan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara tumpuan aktiviti sukan berasaskan permainan video.

Selain itu, ia bertujuan memberi pendedahan mengenai industri e-sukan yang mampu memberi impak ekonomi besar.

Kejohanan pertama kali dianjurkan oleh Empyrean yang didukung oleh pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Majlis menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000 bagi Mobile Legend: Bang Bang dan PUBG.

Pada masa yang sama, program dua hari ini turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik, antaranya pertandingan e-sukan untuk Mobile Legends dan PUBG, sesi GGTalk yang membangkitkan pemikiran, pameran daripada organisasi yang mempunyai hubungan langsung dan tidak langsung dengan dunia e-Sukan.