Kementerian Pertahanan kekal peraturan pemberian pencen

Kementerian Pertahanan buat masa ini mengekalkan peraturan sedia ada iaitu pemberian pencen kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai perkhidmatan sekurang-kurangnya 21 tahun bagi memastikan kepentingan perkhidmatan dan kesiapsiagaan ATM senantiasa terpelihara.

KUALA LUMPUR: Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982 menetapkan bagi melayakkan seorang askar menerima pencen perkhidmatan iaitu mestilah mempunyai perkhidmatan yang diakui sekurang-kurangnya 21 tahun.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Kementerian Pertahanan masih mengekalkan peraturan sedia ada iaitu pemberian pencen kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai perkhidmatan sekurang-kurangnya 21 tahun bagi memastikan kepentingan perkhidmatan dan kesiapsiagaan ATM senantiasa terpelihara.

Namun demikian, kata beliau, peraturan itu juga membenarkan setiap anggota lain-lain pangkat (ALP) yang berminat untuk memohon melanjutkan perkhidmatan mereka ke 26 tahun perkhidmatan dan sehingga umur 55 tahun tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Majlis Angkatan Tentera.

“Untuk makluman Dewan juga, anggota yang mempunyai perkhidmatan diakui, sekurang-kurangnya 21 tahun, layak menerima pencen perkhidmatan sehingga 50 peratus daripada gaji akhir pangkat sebenar manakala anggota yang mempunyai perkhidmatan diakui 26 tahun, layak menerima pencen perkhidmatan sehingga 60 peratus daripada gaji akhir.

“Bagi anggota yang menamatkan tempoh perkhidmatan 12 tahun, 15 dan juga 18 tahun, majoritinya adalah atas pilihan anggota itu sendiri ataupun pemberhentian atas dasar kepentingan perkhidmatan iaitu mereka yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan untuk menyambung perkhidmatan,” kata beliau di Dewan Rakyat semasa penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 baru-baru ini.

Jelas beliau, anggota yang menamatkan perkhidmatan tidak berpencen iaitu sebelum 21 tahun perkhidmatan juga menerima ganjaran perkhidmatan mengikut kadar ditetapkan di dalam Peraturan-peraturan Angkatan Tetap.