Kesatuan: Penamatan KP Pelancongan Dr Ammar ‘perkara amat serius’, perlu ada Tribunal Penjawat Awam

Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) menyifatkan tindakan pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin ini, sebagai satu “perkara serius”.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) menyifatkan tindakan pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin ini, sebagai satu “perkara serius”.

Presidennya, Alwi Shakir Abdullah berkata, pihaknya amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Berpegang pada prinsip tatakelola yang baik serta kebajikan seseorang yang berstatus pekerja, KPPLPPM berpandangan isu ini merupakan satu perkara yang serius terhadap penjawat awam…,” kata beliau.

Alwi menambah, perkara itu amat serius kerana berdasarkan tarikh surat dikeluarkan serta tarikh kuat kuasa surat iaitu lima hari adalah amat singkat, sekali gus mengundang imej dan persepsi yang tidak baik terhadap mana-mana pihak yang menghadapi situasi yang sama.

“Bagi perkara ini, KPPLPPM mengambil pendirian bahawa perlu ada satu tempoh masa yang lebih adil diberikan agar keharmonian dikekalkan bukan sahaja di dalam agensi malahan dalam kalangan penggiat industri,” kata beliau yang juga Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Malah menurut beliau, perkara itu jelas menimbulkan kegusaran sebagaimana kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen dan juga penggiat industri yang akhirnya boleh memberi kesan kepada pekerja-pekerja di sektor perhotelan dan pelancongan yang meliputi hampir tiga juta pekerja.

“Persoalan yang diutarakan oleh pihak industri selaku pemegang taruh wajar diberi penjelasan,” kata beliau lagi.

Beliau menambah, KPPLPPM berpandangan bahawa satu pekeliling atau arahan berkenaan pertukaran, peminjaman atau penamatan tanpa sebab munasabah seperti ini perlu diwujudkan klausa berkenaan tempoh masa notis sekurang-kurangnya sebulan atau lebih bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang sekali gus dapat menepis persepsi negatif terhadap penjawat awam secara amnya.

“KPPLPPM juga berpendapat bahawa Tribunal Penjawat Awam juga perlu diwujudkan kembali agar terdapat platfom yang dapat digunakan untuk representasi diri jikalau merasakan penganiayaan telah berlaku terhadap mereka.

“KPPLPPM bersedia untuk bertemu Menteri (Pelancongan dan Seni Budaya) dalam masa terdekat bagi mendapatkan pencerahan dari beliau sendiri berhubung perkara ini,” kata beliau lagi.

Laporan media semalam menyebut bahawa Ammar didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin ini.

Difahamkan, ia berikutan beliau didakwa ‘tidak sehaluan’ dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Penamatan itu, berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

Menurut kenyataan surat berkenaan, penamatan perkhidmatan Ammar selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Selaras dengan peruntukan subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) yang dibaca bersama dengan peruntukan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

“Saya selaku Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang bertanggungjawab ke atas Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dengan ini memutuskan pelantikan YBhg Dato’ Dr sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan adalah ditamatkan berkuat kuasa pada 26 Februari 2024,” menurut kenyataan surat yang tular itu.