Konspirasi kes 1MDB: Mahkamah AS dapati bekas pegawai bank Roger Ng bersalah

Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng disabitkan bersalah oleh juri Amerika Syarikat semalam (waktu AS) berhubung kesalahan melanggar undang-undang antirasuah membantu melarikan ratusan juta dolar milik dana pembangunan 1MDB Malaysia. – Foto ihsan AFP

NEW YORK: Bekas jurubank Goldman Sachs Roger Ng disabitkan bersalah oleh juri Amerika Syarikat (AS) semalam, 8 April (waktu New York), – berhubung kesalahan melanggar undang-undang antirasuah membantu melarikan ratusan juta dolar milik dana pembangunan 1MDB Malaysia.

Pendakwa raya berkata Roger Ng, bekas jurubank pelaburan terkemuka Goldman untuk Malaysia, membantu bekas bosnya, Tim Leissner menggelapkan wang dana itu – yang diasaskan untuk meneruskan projek pembangunan di negara Asia Tenggara itu – mengubah wang dan merasuah pegawai untuk memenangi perniagaan kepada Goldman.

“Keputusan hari ini adalah kemenangan bukan sahaja untuk kedaulatan undang-undang, tetapi juga untuk rakyat Malaysia,” kata Breon Peace, Peguam AS untuk Daerah Timur New York, dalam satu kenyataan.
“Defendan dan konco-konconya melihat 1MDB bukan sebagai entiti untuk berbuat baik kepada rakyat Malaysia, tetapi sebagai tabung simpanan untuk memperkayakan diri mereka sendiri.”

Ng, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat untuk mengubah wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah. Peguamnya berkata Leissner, yang mengaku bersalah atas pertuduhan serupa pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan penyiasatan pendakwa raya, sengaja membabitkan Ng dengan harapan menerima hukuman ringan.

Laporan dari AS menyebut, para juri menyabitkan Ng atas dua pertuduhan konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing dan satu pertuduhan konspirasi melakukan pengubahan wang haram.

Delibrasi bermula Selasa lalu selepas perbicaraan hampir dua bulan di mahkamah persekutuan di Brooklyn.

Tuduhan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Pendakwa raya berkata Goldman membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion (RM27.4 bilion) melalui tiga jualan bon, tetapi AS$4.5 bilion telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, jurubank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan antara 2009 dan 2015.

Ng ialah orang pertama, dan mungkin hanya seorang, yang menghadapi perbicaraan di AS berhubung skim itu. Goldman pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion dan unit Malaysianya bersetuju untuk mengaku bersalah.

Juri mendengar sembilan hari keterangan daripada Leissner, yang berkata dia menghantar Ng AS$35 juta sebagai sogokan.
Leissner berkata lelaki itu bersetuju untuk memberitahu bank “cerita tutup” bahawa wang itu adalah daripada usaha perniagaan yang sah antara isteri mereka.

Isteri Ng, Hwee Bin Lim, kemudian memberi keterangan untuk pembelaan bahawa usaha perniagaan itu, sebenarnya, sah. Dia berkata dia melabur AS$6 juta pada pertengahan tahun 2000-an dalam sebuah syarikat China yang dimiliki oleh keluarga isteri Leissner ketika itu, Judy Chan, dan AS$35 juta itu adalah pulangan daripada pelaburan itu.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, berkata dalam hujah penutup pada hari Isnin lalu bahawa Leissner tidak boleh dipercayai. Alixandra Smith, seorang pendakwa, berkata dalam rumusannya bahawa keterangan Leissner disokong oleh bukti lain.

Jho Low, yang disyaki dalang skim itu, telah didakwa bersama Ng pada 2018 tetapi masih bebas.