Irmohizam dilantik Duta Jenama Arshad Ayub Graduate Business School, penerima pertama

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor (kiri) menyampaikan gelaran Duta Jenama Arshad Ayub Graduate Business School kepada Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), yang merupakan sebuah fakulti pascasiswazah Universiti Teknologi MARA (UiTM), menganugerahkan gelaran Duta Jenama kepada Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, UiTM berkata, Naib Canselor Prof Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor menyampaikan gelaran itu kepada Irmohizam, yang merupakan penerima pertama anugerah tersebut.

Majlis berlangsung di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM di Shah Alam.

“Dato’ Sri Irmohizam, sebagai penerima pertama anugerah itu, dilantik oleh AAGBS dan UiTM berdasarkan peranan dan pengalaman beliau memegang jawatan yang penting di sektor korporat dan awam serta kualiti keperibadian beliau yang cemerlang,” kata kenyataan itu.

Irmohizam juga merupakan alumni AAGBS, berkelulusan Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan yang dianugerahkan pada tahun 2020.

Beliau yang juga Pengerusi Pameran dan Persidangan (C&E) Majlis Penasihat Anggota ( MAC) Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA), yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat, sebagai Duta Jenama untuk AAGBS akan menyumbang dalam mewujudkan kesedaran jenama tentang AAGBS terutamanya melalui “pemasaran” mulut ke mulut, platform media sosial dan kedudukan beliau dalam industri dan komuniti.

Kata UiTM, AAGBS boleh mendapat manfaat daripada penglibatan luas beliau dalam badan korporat dan kerajaan.

“Kerjasama dengan industri adalah penting dalam mendapatkan maklum balas dan pandangan tentang program akademik dan kualiti siswazah AAGBS dalam usaha AAGBS mencapai visi untuk menjadi fakulti pascasiswazah yang diiktiraf di peringkat global,” kata UiTM.