Menteri Sumber Manusia: Pekerja boleh pohon waktu kerja fleksibel, majikan harus respons dalam 60 hari

Poster pemakluman Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bahawa pekerja di Malaysia boleh memohon kepada majikan untuk waktu kerja fleksibel mengikut peruntukan Akta Kerja 1955. – Imej ihsan Kementerian Sumber Manusia

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pekerja-pekerja di Malaysia boleh memohon kepada majikan untuk waktu kerja fleksibel mengikut peruntukan Akta Kerja 1955.

Kata beliau, pekerja boleh mengemukakan permohonan mereka berdasarkan masa, hari dan lokasi bekerja mengikut Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955.

Jelas beliau, permohonan perlu diserahkan kepada majikan untuk diberikan maklum balas dalam tempoh 60 hari dan sekiranya ditolak, majikan harus memberikan alasannya.

“Di Malaysia, S60P & S60Q Akta Kerja 1955 membenarkan pekerja memohon aturan kerja anjal (flexible working arrangement) berdasarkan masa, hari dan lokasi bekerja.

“Majikan harus memberi maklum balas dim 60 hari, jika ditolak, harus diberikan sebab penolakan,” kata beliau dalam satu hantaran yang disiarkan di laman sosial Facebook Kementerian Sumber Manusia.

Perkara itu turut dimuat naik di aplikasi X.

Di bawah Seksyen 60P (1) akta itu, pekerja berhak meminta daripada majikan mereka untuk pengaturan kerja fleksibel untuk mengubah waktu bekerja, hari bekerja atau perubahan tempat bekerja tertakluk kepada Bahagian XII atau apa-apa yang terkandung dalam kontrak perkhidmatan.

Menurut akta itu, permohonan untuk pengaturan kerja fleksibel di bawah 60Q (1), pekerja hendaklah membuat permohonan di bawah Seksyen 60P secara bertulis dan dalam bentuk atau cara yang ditentukan oleh Ketua Pengarah.

Steven Sim berkata demikian sebagai respons kepada hantaran sebuah portal mengenai pekerja di Singapura kini, boleh memohon bekerja empat hari seminggu, lebih banyak hari bekerja dari rumah, dan masa kerja berperingkat bermula 1 Disember ini.

Perkara itu susulan satu Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Permintaan Susunan Kerja Fleksibel diumumkan Perikatan Tiga Pihak untuk Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) di negara tersebut baru-baru ini.