Segera perkenal Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja, gesa Presiden MTUC

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd Effendy Abdul Ghani sekali lagi menggesa kerajaan menyegerakan pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi melindungi hak pekerja terutamanya apabila melibat kemalangan jalan raya di luar waktu bekerja.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,631 kemalangan jalan raya direkodkan dengan 18 individu maut sejak Op Selamat sempena perayaan Aidilfitri dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 April sehingga 10 April lalu.

Rentetan itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani sekali lagi menggesa kerajaan untuk serta memberi perhatian serius dengan menyegerakan pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) sebagai langkah proaktif untuk melindungi hak-hak pekerja terutamanya apabila melibat kemalangan jalan raya di luar waktu bekerja.

“Perlindungan yang holistik dan komprehensif di luar waktu bekerja seperti ini perlu diperkenalkan seiring dengan hasrat kerajaan yang komited dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat meliputi pelbagai golongan.

“Kita perlu berganding bahu agar pewujudan satu lagi skim keselamatan sosial yang khusus dengan skop perlindungan yang lebih luas luar waktu bekerja. Di mana ia berupaya memberi perlindungan menerusi bayaran pampasan untuk rawatan perubatan, gantian pendapatan, dan sokongan kewangan kepada mereka yang terjejas,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, sekiranya kerajaan merealisasikan suara rakyat ini, ia tidak hanya akan meningkatkan taraf kesejahteraan pekerja tetapi juga memanifestasikan usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyatnya.

“Ia adalah langkah progresif yang perlu dititikberatkan memandangkan banyak bencana berlaku ke atas pekerja dalam kes tuntutan faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) ditolak berikutan ia tidak diiktiraf sebagai bencana kerja,” jelas beliau.

Beliau menegaskan polemik ini perlu dinoktahkan dengan pewujudan SKBBK seiring dengan hasrat Malaysia dalam menjadi negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Sweden dan Norway menjelang tempoh lima hingga lapan tahun dari sekarang.

“Ia jelas menunjukkan kesediaan Malaysia untuk mengadaptasi praktik terbaik dalam menyediakan perlindungan pekerja komprehensif yang tidak hanya memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan dengan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh masyarakat.

“Pada masa sama, perlindungan bagi SKBBK ini adalah seiring dengan Konsep 3K Kementerian Sumber Manusia iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja yang dicetuskan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong,“ jelas beliau lagi.

SKBBK ini adalah manifestasi dalam mengutamakan konsep kebajikan dalam golongan pekerja melalui perlindungan tambahan terhadap keselamatan serta kesejahteraan pekerja yang lebih holistik di luar waktu bekerja.