NUBE: Kerajaan negeri perlu kenakan syarat lesen larang majikan aniaya pekerja

Timbalan Presiden NUBE, Abdul Jamil Jalaludeen menyarankan kerajaan negeri-kerajaan negeri memperkenalkan syarat lesen bagi memastikan tiada syarikat atau majikan yang menganiaya dan mendiskriminasi.

KOTA BHARU, 23 Julai: Timbalan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), Abdul Jamil Jalaludeen menyarankan kerajaan negeri-kerajaan negeri memperkenalkan syarat lesen bagi memastikan tiada syarikat atau majikan yang menganiaya dan mendiskriminasi.

Kata beliau, NUBE yang kini mengadakan piket kebangsaan membantah pengurusan HSBC Bank berharap kerajaan negeri Kelantan akan sama-sama akan membantu menghentikan pencabulan yang dilakukan oleh pihak korpoat ke atas pekerja-pekerja Malaysia.

“NUBE yakin pihak kerajaan negeri boleh melakukan terhadap HSBC yang menjalankan perniagaan di Kelantan. Kerajaan negeri mempunyai kuasa daripada sudut pentadbiran kerajaan tempatan, yang memberikan ruang untuk mereka berniaga dan jangan zalimi pekerja-pekerja Malaysia,” kata beliau.

Kata beliau, pihaknya percaya tekanan boleh dikenakan agar syarikat-syarikat seperti HSBC diberi peringatan supaya jangan abaikan kepentingan dan hak pekerja.

“Jangan hanya kejar keuntungan semata-mata. HSBC ada cawangan di Kota Bahru. NUBE berharap Kerajaan Negeri Kelantan Darulnaim akan melakukan tindakan itu, dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain,” kata beliau pada Persidangan Kebangsaan NUBE di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah.

Menurut Jamil, NUBE juga telah memfailkan aduan ke perhatian pihak berkuasa dalam negara dan apabila NUBE tidak dapat sebarang maklum balas dari kementerian maka terpaksa kami rujuk kepada ILO. dalam luar negara.

“Kami tidak diberikan pilihan,” kata beliau.

Menurutnya, kesatuan seperti NUBE dibentuk untuk menjaga kebajikan dan hak para pekerja.

“Kami tidak pernah menghalang pembaharuan yang hendak dibawa agar bank tetap kekal relevan.

“Namun begitu, di sebalik menerima perubahan baharu, janganlah sampai membuang pekerja dan mematikan punca pendapatan pekerja atas nama dasar digitalisasi, dan bersikap tamak,” tambah beliau.

Jamil juga berkata, NUBE sebagai kesatuan tunggal untuk pekerja-pekerja bank senantiasa bersikap terbuka untuk menjalinkan kerjasama yang membina demi manfaat bersama.

“Ahli-ahli NUBE senantiasa bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan bersama. Dengan itu, kemakmuran yang dicapai perlu dikongsi bersama atas dasar ‘win win situation’.

“Bukannya amalkan dasar diskriminasi dan menganiaya ahli-ahli Kesatuan, dan memperkayakan bank dan keuntungan dibawa ke luar negara,” ujar beliau.

Malah menurut beliau, majikan perlu menganggap kesatuan sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan diyakini.

“Bukannya sebagai ‘penjenayah’ sehingga tidak mahu sertai dialog sosial yang membina, tidak mahu membenarkan pemimpin-pemimpin NUBE masuk ke premis, dan menghalang pemimpin IRC dari menyertai mesyuarat bagi menyelesaikan aduan-aduan industri yang difailkan,” katanya.