Iltizam politik pusat, negeri boleh selesai isu pekerja

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah (duduk, barisan hadapan, tengah) bergambar bersama peserta Persidangan Kebangsaan NUBE di Kota Bharu, Kelantan.

KOTA BAHRU, 23 Julai: Kedua-dua kerajaan pusat dan negeri boleh saling berganding atau menjadi orang tengah dalam mencari jalan penyelesaian ke atas isu-isu yang dihadapi oleh kaum pekerja negaraini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) di sini semalam berkata, perkara itu boleh dilakukan, tetapi “yang tinggal lagi adalah iltizam politik.”

Dengan merujuk kepada perubahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan sejak tiga dekad lalu, beliau memberitahu, perubahan-perubahan yang dibuat oleh kerajaan adalah untuk memberikan hak yang sewajarnya kepada yang berhak.

“Dan, untuk menjaga kebajikan semua rakyat termasuklah para pekerja yang pada masa yang sama merupakan ibu serta bapa kepada anak masing-masing yang pastinya perlukan masa yang berharga serta dambakan kasih dan sayang kedua ibu bapa.

“Perubahan-perubahan ini akhirnya telah diikuti oleh kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lainnya.

“Saya berpandangan, sebagai sebuah kerajaan sama ada negeri ataupun persekutuan, kita sebenarnya boleh sama-sama bantu-membantu dalam mencari jalan penyelesaian ke atas isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh para pekerja atau menjadi orang tengah dalam ruang lingkup dan kuasa kita sebagai sebuah kerajaan atau pihak berkuasa tempatan,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil.

Persidangan Kebangsaan NUBE sehari itu bertemakan “Ketamakan Korporat Punca Majikan Miskin Jiwa” disertai oleh 400 ahli dan pemimpin kesatuan sekerja sektor perbankan itu.

Hilmi berkata, susulan mengambil alih kerajaan negeri, pihaknya telah mengenakan beberapa syarat kepada syarikat-syarikat korporat yang akhirnya banyak pihak, terutamanya golongan pekerja.

Kelantan merupakan negeri pertama yang mensyaratkan wang simpanan kerajaan negeri hendaklah dimasukkan ke dalam akaun perbankan Islam, yang mana akhirnya setiap bank mula memperkenalkan kaunter Islam masing-masing, kata beliau.

“Kerajaan Kelantan juga menetapkan hari kerja hanya lima hari seminggu. Pekerja wanita diberikan 90 hari cuti bersalin dan suami pula diberikan tujuh hari cuti bagi membolehkan mereka meraikan anak yang baharu dilahirkan,” kata beliau sambil menambah, “wanita yang kematian suami diberikan cuti dan gaji berbayar selama 30 hari, waktu kerja dipendekkan pada bulan Ramadan.”

Berhubung tema persidangan, Hilmi menasihatkan pihak korporat supaya membuang sikap tamak dan mengutamakan kepentingan dan kebajikan pekerja.

“Mereka adalah aset terbesar anda. Berkongsilah sebahagian keuntungan anda bersama pekerja anda.

“Jika anda berbuat demikian, nescaya setiap pekerja anda mendoakan kejayaan yang berterusan untuk syarikat,” kata beliau.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Kebangsaan NUBE di Kota Bharu, Kelantan.