PM: Kakitangan awam bakal terima kenaikan gaji lebih 13 peratus, kuat kuasa 1 Disember

Foto tangkap layar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan perutusan sempena Hari Pekerja menerusi laman sosial beliau semalam.

PUTRAJAYA: Kakitangan awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus, yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Kata Perdana Menteri, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus.

Namun katanya, Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus,” kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan demikain ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pagi ini.

Beliau berkata, kenaikan gaji itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlahnya yang besar dan agak lumayan.

“Ini adalah kenaikan paling baik dalam negara. Kita juga akan meneliti dari segi kewangan dan bagaimana ia boleh menampung tetapi pada masa sama hutang negara tidak lebih (daripada sepatutnya),” kata beliau.