PRK Kuala Terengganu 12 Ogos, serentak PRN

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu di Putrajaya hari ini. – Foto ihsan FB SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, penamaan calon akan diadakan pada 29 Julai.

Pengundian awal pada 8 Ogos.

PRK Kuala Terengganu menelan belanja RM465,000.

“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai hingga pukul 11.59 malam, 11 Ogos,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Kata beliau, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara dibuka semula bermula hari ini.

Menurut beliau, permohonan undi pos yang telah diluluskan untuk mengundi pos bagi keempat-empat kerusi Dewan Undangan Negeri di dalam bahagian parlimen Kuala Terengganu akan turut diberikan kertas undi pos PRK Kuala Terengganu.

Bagi menjalankan proses PRK Kuala Terengganu, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dan 19 orang penolog pegawai pengurus.

“Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan mengekalkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang sama daripada 252 pasukan yang telah ditubuhkan untuk PRN DUN Ke-15 sebagaimana diumumkan sebelum ini,” kata beliau.

Pusat Penamaan Calon akan diadakan di Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Bagi Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi kerusi Kuala Terengganu dan keempat-empat DUN di bawahnya akan menggunakan Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

“Seramai 1,995 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Kuala Terengganu manakala sebanyak 41 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 217 tempat mengundi/saluran dan tiga pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi lima tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 44 buah dengan 222 tempat mengundi/saluran,” kata beliau.

PRK Kuala Terengganu akan menggunakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2023 yang dikemas kini pada 21 Jun lalu, yang terdiri daripada 123,575 pengundi.

Daripada jumlah itu, 122,160 orang merupakan pengundi biasa, 35 orang tentera serta pasangan, 1,362 anggota polis dan 18 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK Kuala Terengganu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 November lalu.

Hakim Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata, pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, katanya, bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan pilihan raya di Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Umno mendakwa berlaku sogokan pengundi semasa tempoh berkempen, dengan kebanyakan isi rumah di kawasan Parlimen itu masing-masing menerima RM500 hingga RM1,000.

Ahmad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 40,907 undi, selepas menewaskan tiga pencabar lain, termasuk Zubir.