PRN: DUN 5 negeri sudah bubar termasuk 3 hari ini, Negeri Sembilan menyusul

KUALA LUMPUR: Dengan ramalan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri akan diadakan awal Ogos, lima negeri telah membubarkan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Pembubaran DUN Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu berkuat kuasa hari ini.

Kelantan merupakan negeri pertama membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun manakala Selangor pada 23 Jun.

Kini tunggu giliran Negeri Sembilan untuk berbuat demikian, tetapi dijangka minggu ini juga, mengikut langkah negeri-negeri lain.

Pembubaran kesemua enam negeri itu akan membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serentak.

Negeri-negeri itu tidak mengadakan pilihan raya serentak apabila parlimen dibubarkan pada 10 Oktober dan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

Pembubaran 40 kerusi DUN Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow semalam, dibuat 35 hari lebih awal berbanding mandat lima tahun yang sepatutnya berakhir 2 Ogos ini.

Kedudukan terkini kerusi DUN Pulau Pinang sehingga pengumuman pembubaran ialah Pakatan Harapan (PH) memiliki 33 kerusi, Barisan Nasional (BN) (dua), Bersatu (empat) dan Pas satu kerusi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut mengumumkan pembubaran 32 kerusi DUN semalam, dua hari lebih awal daripada tempoh mandat 30 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PAS kembali merampas pemerintahan negeri daripada BN selepas berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN. BN memperoleh baki 10 kerusi.

Dalam pada itu, pembubaran DUN Kedah akan berkuat kuasa dengan 36 kerusi dibuat lebih awal daripada mandat lima tahun yang sepatutnya berakhir pada 4 Julai ini.

Pengumuman mengenai pembubaran DUN Kedah diumumkan Ahad lepas.

Komposisi DUN Kedah diterajui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sehingga pembubaran DUN menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menguasai 20 kerusi terdiri daripada Pas (14) dan Bersatu (enam), manakala PH (10) manakala BN dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

Dua lagi kerusi kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dari PKR Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lepas, selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara ADUN Belantek dari Pas, Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia, pada 14 Jun lepas.

Kelantan menjadi negeri terawal membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lalu, yang menyaksikan ia dilakukan enam hari lebih awal, berbanding tempoh mandat yang akan berakhir esok.

Pada PRU14, PAS yang memerintah Kelantan sejak 1990, mengekalkan pentadbiran setelah memenangi 37 daripada 45 kerusi DUN, sementara BN memperoleh lapan.

Bagaimanapun, ADUN Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada UMNO pada 18 September 2018, sebelum menyertai Bersatu pada 26 Oktober tahun yang sama.

Sehari selepas Kelantan, DUN Selangor dibubarkan secara rasmi pada 23 Jun iaitu dua hari lebih awal daripada tempoh mandat, selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 19 Jun lalu.

Komposisi DUN Selangor sehingga pembubaran terdiri PH (40), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala Pas, Pejuang, Warisan dan Bebas masing-masing satu kerusi, sementara satu kerusi iaitu DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Pada 7 Jun lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembubaran akan dibuat pada 30 Jun, iaitu hari terakhir tempoh mandat lima tahun.

Beliau dijadual menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini bagi mendapatkan perkenan pembubaran 36 kerusi DUN terdiri daripada PH (20) manakala BN (16).