Saravanan: Skim Perkeso bantu 2 juta suri rumah B40 ke Kabinet

Datuk Seri M. Saravanan menyampaikan faedah Perkeso kepada menziarah balu kepada mendiang V.Vijaya Kumaran, T. Poongkoathai di rumah mereka di Kuala Lumpur. Bersama mereka, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Azman Aziz Mohamed. Sumber FB Saravanan

KUALA LUMPUR: Cadangan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah golongan B40 akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini.

Kata beliau, cadangan yang melibatkan kira-kira dua juta suri rumah itu dilihat perlu bagi melindungi kumpulan tersebut yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19, terutamanya jika suami sebagai pencari nafkah tidak dapat keluar bekerja.

Bagaimanapun menurut beliau, usaha tersebut yang melibatkan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.

“(Pelaksanaan) ini bergantung pada kedudukan kewangan kerajaan,” kata beliau dipetik BERNAMA.

Kata beliau, dalam keadaan COVID-19 sekarang suami tidak dapat bekerja dan sekiranya isteri menghadapi penyakit kronik, maka tiada sebarang jaringan keselamatan.

“Sebagai kerajaan prihatin dan lebih mengutamakan kebajikan rakyat, kami berharap supaya kerajaan menimbang permohonan kami untuk memberi perlindungan jaringan keselamatan percuma untuk dua juta suri rumah B40 ini,” kata beliau.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju membayar caruman kepada 150,000 wanita golongan B40 yang berdaftar di bawah eKasih.

Terdahulu, Saravanan menyampaikan faedah Perkeso kepada waris mendiang Vijaya Kumaran T. Veerasamy yang meninggal dunia pada 21 Mei lepas, setelah mengalami komplikasi otak akibat kemalangan jalan raya pada 12 April 2020.

Selain faedah tersebut, balu mendiang T. Poongkoathai dan keluarga turut menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000, manakala dua anak perempuan mendiang berusia 19 dan 21 yang masih bersekolah menerima Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM2,232 sebulan.

Perkeso turut menanggung sepenuhnya kos perubatan mendiang termasuk pembedahan implan berjumlah RM23,000 ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Azman Aziz Mohamed.