UK NCP putuskan aduan NUBE ke atas HSBC ada merit untuk disiasat lanjut

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan HSBC Bank Malaysia berhadapan dengan pertikaian perhubungan perusahaan, antara lain tindakan bank itu melaksanakan VSS dan MSS tiga kali dalam enam tahun.

KUALA LUMPUR: UK National Contact Point (UK NCP) bagi Garis Panduan OECD Mengenai Perniagaan Multinasional mendapati sebahagian aduan yang dikemukakan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) pada Disember lalu terhadap tindak-tanduk HSBC Bank Malaysia Berhad ada asas untuk disiasat dengan lanjut dan membawa kepada proses mediasi.

Dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, UK NCP, dalam keputusan mereka yang dikeluarkan pada 15 September lalu mengatakan bahawa pihaknya telah memutuskan untuk menerima beberapa aduan yang difailkan oleh NUBE bersama UNI Global Union mengenai HSBC Bank Malaysia Berhad sebagai yang sah.

“Dalam keputusannya, UK NCP telah memutuskan bahawa beberapa isu yang dibangkitkan oleh pengadu (NUBE dan UNI Global Union) ada merit untuk diperiksa dengan lebih lanjut,” kata Solomon dalam kenyataannya.

NUBE dengan sokongan UNI Global Union telah membuat aduan secara rasmi berikutan tindakan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad, anak syarikat HSBC Holdings Plc, sebuah syarikat pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional Britain, terhadap pekerja-pekerja bank, kegagalannya untuk menghormati undang-undang buruh dan perjanjian kolektif yang telah ditandatangani di Malaysia.

Dalam aduan tersebut, NUBE menegaskan bahawa HSBC Bank Malaysia Berhad telah melanggar artikel tertentu, antara lain sengaja melewatkan rundingan semasa proses perundingan bersama, mengganggu dan menjadikan ahli-ahli NUBE dan wakil kesatuan sebagai mangsa kerana penyertaan mereka dalam tindakan perhubungan perusahaan yang diambil sebagai tindak balas ekoran kegagalan dalam proses rundingan, menghalang wakil kesatuan sekerja daripada memasuki tempat kerja di HSBC Bank Malaysia Berhad untuk tujuan bertemu dengan ahli-ahli kesatuan sekerja, telah gagal mengambil bahagian dalam proses penyelesaian sengketa dengan NUBE dengan sewajarnya.

Selain itu, NUBE dan UNI Global Union mengadu HSBC Bank Malaysia telah melakukan proses penyumberan keluar kerja termasuk “memaksa” VSS/MSS dan gagal berunding dengan NUBE sebelum proses ini dilaksanakan dan (vi) menafikan akses kepada ahli-ahli NUBE dan pekerja ke ruang kerja dan pekerjaan mereka.

Malah pada Jun lalu, NUBE membuat kenyataan membantah tindakan HSBC Bank Malaysia (HSBC) mengumumkan langkah penyusunan semula syarikat yang mengakibatkan 600 kakitangan hilang pekerjaan ketika negara dihimpit impak pandemik Covid-19.

Menurut NUBE, HSBC mengumumkan pelaksanaan skim pemisahan sukarela (VSS) dan skim pemisahan bersama (MSS), yang merupakan kali ketiga dalam tempoh enam tahun pada awal bulan Jun.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon

Dalam kenyataannya hari ini, Solomon berkata, menurut UK NCP, keputusan pengaduan untuk meneruskan mediasi atau pemeriksaan lebih lanjut, didasarkan pada penilaian awal yang dibuat berdasarkan maklumat yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat.

Solomon berkata, NUBE menyambut baik keputusan yang secara langsung menunjukkan bahawa ada asas yang kuat dalam aduan yang dikemukakan kepada UK NCP.

Katanya, NUBE dan UNI Global Union akan memberikan kerjasama susulan kepada UK NCP, oleh itu, kami optimis bahawa keputusan positif dan membina akan dicapai demi kepentingan terbaik ahli-ahli NUBE dan para pekerja bank di Malaysia.

Kata beliau lagi, NUBE terpaksa mengemukakan masalah ini kepada UK NCP kerana pihak berkuasa tempatan termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia telah gagal membantu mencari penyelesaian konstruktif terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu.

“NUBE berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh UNI Global Union dan pertimbangan sewajarnya yang telah diberikan oleh UK NCP dalam menyiasat aduan kami, dan keputusannya untuk meneruskan tindakan bagi mencari penyelesaia,” kata beliau.