TDC NUBE: Presiden UNI-MLC saran tuntutan baiki perlindungan sosial diperkukuh

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan NUBE kali ke-25 di Pusat Latihan NUBE di Port Dickson, hari ini. Turut sama Presiden NUBE, Michael Tan dan Setiausaha Agung NUBE, J Solomon serta Presiden ARO-BIFU dan Setiausaha Agung AIBEA, C.H. Venkatachalam (kiri sekali).

PORT DICKSON: Gerakan kesatuan sekerja perlu memainkan peranan secara holistik dalam mempertingkatkan perlindungan sosial yang relevan dengan perkembangan, kata Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), hari ini.

Dengan menjadikan kejayaan Perjanjian Kolektif (CA) yang diusahakan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, sudah tiba masa setiap kesatuan sekerja di Malaysia mengutamakan keperluan perlindungan sosial yang lebih baik.

Menurut beliau, terdapat dua sebab mengapa keperluan ke arah itu belum begitu berkesan di Malaysia.

Pertama, menurut Shafie ialah, kebanyakan kesatuan sekerja masih belum ada pengetahuan yang mendalam mengenai perlindungan sosial.

“Keduanya, kesatuan sekerja sendiri tidak bertindak meluaskan skop perlindungan sosial,” kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan NUBE kali ke-25 di Pusat Latihan NUBE di sini.

Dalam ucapannya, Shafie berkata, ramai terkejut bagaimana NUBE boleh berjaya dalam memuktamadkan CA yang begit baik untuk ahli-ahlinya.

“Ramai yang terkejut dengan kejayaan NUBE mencapai CA yang baik, antaranya ialah pinjaman perumahan dengan faedah sifar peratus (sehingga RM300,000 pertama). Ini sebahagian daripada perlindungan sosial yang kita hendak perjuangan,” kata beliau yang merujuk kepada CA yang ditandatangani pada bulan April lalu.

Terdapat lebih 20 skim dan insentif bukan kewangan dan kewangan yang telah dipersetujui melalui rundingan antara kedua-dua pihak NUBE dan MCBA itu, yang sekali gus memberi manfaat serta memartabatkan pekerja sektor perbankan terutamanya ahli NUBE. Antaranya yang dipersetujui adalah melibatkan pelarasan gaji sehingga 18 peratus, bayaran tunggakan gaji sejak 2021 dan bayaran khas sebanyak satu bulan gaji untuk setiap perayaan utama.

Shafie dalam ucapannya juga berkata bahawa “sudah sampai masanya aspek perlindungan sosial menjadi perkara yang penting untuk diperjuangkan, dan ia juga perlu diperluaskan.”

Sebab itu menurut beliau, UNI-MLC telah menyarankan agar faedah sosial keselamatan pekerja dan caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja agar ditambah baik demi kepentingan masa depan para pekerja.

“Saya berharap TCD NUBE kali ini akan tampil dengan usul-usul yang boleh membantu kita dalam aspek ini. UNI-MLC akan mengambil tindakan susulan daripada usul itu nanti,” kata beliau lagi.

Majlis menaikkan bendera sempena Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan NUBE kali ke-25.