TDC NUBE: ‘Mula tuntut perlindungan sosial lebih besar’ – Presiden Michael Tan

Sebahagian tetamu jemputan dan perwakilan yang hadir pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan NUBE kali ke-25 di Pusat Latihan NUBE di Port Dickson, hari ini.

PORT DICKSON: Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), Michael Tan berkata, sudah tiba masanya perlindungan sosial untuk pekerja dalam perkhidmatan kewangan harus diperbaiki dan dinaik taraf.

Kata beliau, walaupun produktiviti pekerja, tanggungjawab dan skop kerja telah berubah dan bergerak ke hadapan, tetapi perlindungan sosial masih ketinggalan.

“Manakala majikan memberi tumpuan dalam mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan setiap tahun perlindungan sosial ketinggalan,” kata beliau dalam ucapan alu-aluan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan NUBE kali ke-25 di Pusat Latihan NUBE di sini, hari ini.

Beliau berkata, perlindungan sosial ditakrifkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai satu set langkah awam yang disediakan oleh masyarakat untuk ahli-ahlinya demi melindungi mereka daripada kesusahan ekonomi dan sosial yang disebabkan oleh ketiadaan atau pengurangan ketara pendapatan.

“Dalam perjanjian kolektif terbaharu NUBE (yang dimeterai April lalu), anda akan dapati bahawa hala tuju NUBE sudah menjurus ke arah perlindungan yang lebih besar untuk ahli kami.

“Ini terbukti dengan lanjutan umur persaraan pilihan, penambahbaikan faedah perubatan kakitangan, peningkatan keselamatan dan kesihatan dan banyak lagi,” kata beliau.

Beliau menegaskan, pekerja terutamanya dalam sektor kewangan harus sedar dan berhenti bersikap terlalu leka.

“Mula tuntut perlindungan sosial yang lebih besar kerana ini adalah hak anda. Lupakan hak anda dan anda boleh lupa tentang mendapatkan sistem atau faedah perlindungan sosial yang lebih baik,” kata beliau lagi.

Katanya, NUBE senantiasa menjadi pelopor dan penentu arah aliran dalam memimpin dan memperjuangkan hak pekerja dalam sektor kewangan.

“Ini terbukti daripada penyelesaian perjanjian kolektif NUBE baru-baru ini di mana beberapa kesatuan kewangan juga mendapat manfaat daripada kesimpulan NUBE CA. Adakah kita bangga? Sudah pasti ya!” kata beliau.