Tinggalkan BAM, Zii Jia ‘digantung’ 2 tahun

Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk ‘menggantung’ Lee Zii Jia selama dua tahun dengan tidak mendaftarkan pemain perseorangan negara itu dalam sebarang pertandingan antarabangsa melibatkan negara.

Tindakan itu berkuat kuasa Selasa lalu.

Timbalan Presiden II BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, penggantungan itu akan berjalan selama dua tahun.

Menurut beliau, BAM dan Zii Jia telah melakukan beberapa siri perbincangan sebelum ini dan meminta pemain tersebut mempertimbangkan keputusannya.

Bahkan, Zii Jia, kata Jahabardeen, turut menyenaraikan beberapa permintaan.

Bagaimanapun, katanya, BAM tidak dapat memenuhi permintaan tersebut dan menegaskan adalah mustahil untuk memenuhi kehendaknya seperti pasukan kejurulatihan sendiri selain menentukan kejohanan apa yang mahu disertainya.

“BAM masih tawarkan beliau beberapa insentif yang lumayan, termasuk faedah kewangan. Begitupu, Lee Zii Jia sudah membuat keputusan dan beliau tidak mahu mempertimbangkan keputusan itu.

“Kini, kita tahu Zii Jia, pemain kebangsaan yang pernah memenangi Kejohanan All England…adalah sukar, mengecewakan apabila BAM kehilangan beliau.

“Tapi beliau sudah buat keputusan dan kita perlu respons terhadap permintaan beliau,” katanya pada sidang media khas.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan BAM dan Zii Jia susulan keputusan BAM untuk tidak mendaftarkan bintang perseorangan itu untuk kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Beliau berkata, kedua-dua pihak perlu berusaha untuk mencari jalan keluar daripada isu yang tercetus.

“BAM dan Lee Zii Jia mesti mencuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk isu ini. Saya akan bertemu dengan kedua belah pihak dalam masa terdekat,” kata Ahmad Faizal.

Tambah beliau, jalan penyelesaian tentunya dapat dicapai jika kepentingan negara menjadi keutamaan.

semua pemain perlu mendapatkan kelulusan persatuan bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada 19 Jan lalu, Zii Jia dilaporkan telah menghantar surat untuk meninggalkan BAM dan dikatakan mahu bergerak secara profesional.

Keputusan Zii Jia untuk meninggalkan BAM diumumkan oleh presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria.