UNI-MLC: Jangan usik lagi simpanan KWSP

Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memandang berat pandangan pelbagai pihak mengenai saranan agar membenarkan pengeluaran kali ketiga simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Oleh Mohamed Shafie BP Mammal

PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memandang berat pandangan pelbagai pihak mengenai saranan agar membenarkan pengeluaran kali ketiga simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

UNI-MLC berpendirian bahawa kita tidak perlu usik dan membenarkan simpanan dalam KWSP menerusi apa jua peraturan dan kerangka perundangan. UNI-MLC tidak pernah membantah dua keputusan sebelum ini, yang dibuat ketika pandemik COVID-19.

Sekarang negara sudah keluar daripada pandemik dan berada dalam fasa endamik. Kita perlu fikirkan kaedah dan cara lain untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama pekerja.

Gesaan untuk terus membenarkan simpanan berbaki dikeluarkan atas alasan impak susulan pandemik COVID-19 sewajarnya tidak perlu dilayan.

Kita perlu kembali ke landasan matlamat asal KWSP diwujudkan, sebagaimana entiti-entiti lain yang bertujuan untuk menggalakkan simpanan dalam kalangan rakyat. UNI-MLC sebenarnya hairan mengapa desakan dan tekanan dikenakan untuk mengeluarkan sekali lagi simpanan KWSP.

UNI-MLC bimbang sekiranya dibenarkan pengeluaran kali kelima, ia akan melemahkan kedudukan kewangan dengan teruk ke atas pencarum KWSP dalam jangka masa panjang.

Kita perlu menerima hakikat bahawa KWSP ditubuhkan di bawah satu akta yang diluluskan Parlimen demi menjaga kepentingan para pencarum KWSP selepas bersara. Kita tidak seharusnya mengambil tindakan dan keputusan yang bercanggah dengan matlamat Akta KWSP dan dasar-dasar penubuhan KWSP itu sendiri. Jika tidak, KWSP akan lari dari matlamat penubuhannya. Setiap badan berkanun berkaitan dengan sistem perburuhan dan pekerjaan ada tujuannya, dan ia harus dipertahankan demi kebajikan dan perlindungan menyeluruh para pekerja pada hari ini dan pada masa depan.

Oleh itu, pada hari ini kita melihat kesannya, dengan kadar simpanan selepas beberapa siri pengeluaran KWSP, ekoran kemudahan yang dibenarkan di bawah
pakej rancangan ekonomi bagi menangani impak pandemik COVID-19, telah menyebabkan simpanan pekerja menjadi terlalu kecil dengan ada pencarum hanya ada sekitar RM10,000. Ini satu perkembangan yang amat menyedihkan lagi membimbangkan.

Mengambil kira saranan dan pandangan pelbagai pihak, UNI-MLC mendapati adalah tidak wajar untuk membenarkan pengeluaran simpanan kali ketiga kerana ia boleh mengancam kehidupan selepas persaraan. UNI-MLC menggesa agar kita jangan sentuh simpanan dalam KWSP, sebaliknya menggunakan pendekatan-pendekatan lain yang difikirkan relevan, sesuai dan sewajarnya.

Kerajaan terutama Kementerian Kewangan perlu mengambil pendirian tegas dalam perkara ini demi masa depan para pencarum. Lindungi kepentingan jangka panjang pencarum KWSP, bukannya gesaan bersifat jangka pendek.

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal Presiden ialah Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)