KWSP jenama semula nama akaun caruman, Akaun Fleksibel kuat kuasa 11 Mei

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif penstrukturan semula akaun badan berkanun itu, yang akan berkuat kuasa 11 Mei ini. – Imej ihsan KWSP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif penstrukturan semula akaun badan berkanun itu, bagi menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli, akan berkuat kuasa 11 Mei ini.

Di bawah inisiatif ini, akaun ahli KWSP akan distruktur semula daripada Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Caruman baharu yang diterima selepas tarikh kuat kuasa akan diagihkan 75 peratus kepada Akaun Persaraan, 15 peratus kepada Akaun Sejahtera dan 10 peratus kepada Akaun Fleksibel.

“Bermula 11 Mei, semua akaun KWSP ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun tersebut,” kata KWSP dalam kenyataan dikeluakran, hari ini.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Namun pencarum diberi ruang antara 11 Mei 2024 hingga 31 Ogos 2024 untuk memilih sekali sahaja jika ingin memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Panduan pindahan simpanan buat pencarum

Contoh pindahan simpanan bagi ahli yang memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel adalah seperti berikut:

Senario 1: Ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera:

  • Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel
  • Lima per tiga puluh (5/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan
  • Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Senario 2: Ahli yang mempunyai simpanan kurang daripada RM3,000 dalam Akaun Sejahtera:

  • Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
  • Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.