Malaysia tolak tawaran anjur Sukan Komanwel 2026, mahu fokus kebajikan rakyat

Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan tidak menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) agar Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026 selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

KUALA LUMPUR: Selepas polemik hampir seminggu, Malaysia memutuskan untuk tidak menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan berkata, mesyuarat Kabinet hari ini mengambil keputusan itu selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Kementerian Belia dan Sukan berkata, delegasi CGF telah bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran untuk Malaysia menjadi tuan rumah pada 5 Februari lalu.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta).

Dana berkenaan bagaimanapun dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar, manakala impak ekonomi juga tidak dapat dikenal pasti dalam jangka singkat ini.

“Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah apabila Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta (RM1.17 bilion) kerana melanggar kontrak apabila tidak dapat menganjur temasya itu, yang dijadual diadakan dari 17-29 Mac 2026.

Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia pernah menganjurkan temasya itu.

Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 1998.

Pada 11 Mac lalu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata tawaran itu merangkumi pelaburan kewangan yang besar menjangkau 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) untuk menyokong perancangan bagi penganjuran edisi 2026 itu.

“Susulan undangan rasmi daripada CGF kepada MOM yang juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lepas, MOM telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai kemungkinan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 selepas pembida yang menang iaitu Victoria, Australia menarik diri tahun lepas,” menurut kenyataan itu.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipetik berkata CGA Malaysia berpandangan kerajaan perlu menimbangkan peluang sekali seumur hidup itu, di samping sokongan serta pelaburan kewangan berkaitan, meneruskan legasi kejayaan Malaysia yang pernah menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, dan mengembalikan kemegahan negara dalam arena sukan dunia.

Menurutnya dengan kemudahan bertaraf dunia sedia ada, Malaysia berupaya menjadi tuan rumah acara antarabangsa seperti Sukan Komanwel yang melibatkan 74 negara dan wilayah Komanwel.

Mohamad Norza berkata, penganjuran berkenaan pasti akan melibatkan perbelanjaan kerajaan yang minimum serta membawa manfaat sosioekonomi yang besar kepada negara.

“Ia juga akan meningkatkan standard sukan Malaysia seperti yang berlaku selepas Sukan Komanwel 1998,” katanya.

Hannah memaklumkan Kabinet akan membuat keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dalam masa terdekat.

Kata beliau, KBS sedang menyediakan satu kertas Kabinet yang merangkumi hasil kajian tentang pelbagai aspek penganjuran sukan tersebut.

Malaysia adalah negara Asia pertama menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998. Pada 2010, sukan empat tahun sekali itu kembali ke rantau ini dan berlangsung di India.