Tengku Zafrul: Goodyear beri jaminan pampasan lebih tinggi susulan keputusan tutup kilang di Malaysia

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam tulisan di FB berkata, Goodyear telah memberi jaminan akan beri pampasan lebih tinggi daripada yang ditetapkan di bawah undang-undang. – Imej ihsan FB Tengku Zafrul

Oleh Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz

PANDANGAN: Saya bersimpati dengan para pekerja kilang Goodyear di Shah Alam yang bakal ditutup tahun ini.

Keutamaan kita pastinya kebajikan para pekerja.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menggerakkan pasukan khusus melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Pemudahcara Invest Malaysia untuk memudahkan penempatan pekerjaan serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

Goodyear telah memberi jaminan akan beri pampasan lebih tinggi daripada yang ditetapkan di bawah undang-undang.

Syarikat juga sedang bekerjasama dengan Proton dan beberapa syarikat lain untuk menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai.

Paling penting, semua usaha ini telah mula dilaksanakan sebelum pengumuman penutupan kilang dibuat untuk memastikan proses peralihan bagi para pekerja berjalan lancar.

Mengapa kilang ini ditutup? Goodyear menyasarkan pengurangan kos sehingga AS$1 bilion setahun menjelang 2025, di mana penutupan kilang di Shah Alam adalah sebahagian daripada langkah pengurangan kos yang diambil.

Goodyear juga bakal menutup dua kilang tayar di Jerman, melibatkan 1,750 pekerja. Sebuah kilang tayar di United Kingdom juga bakal ditutup. Jadi, bukan operasi di Malaysia sahaja, malah operasi Goodyear di seluruh dunia juga turut terjejas.

Dari dulu hingga sekarang, sentiasa ada syarikat yang gulung tikar dan syarikat baru yang dibuka. Cabaran kita ialah untuk memastikan lebih banyak pelaburan masuk daripada pelaburan keluar.

Pengumuman pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lepas, yang tertinggi dalam sejarah, merupakan petanda keyakinan pelabur kepada ekonomi Malaysia.

Sebanyak 5,310 projek telah diluluskan dan bakal menjana hampir 130,000 pekerjaan. Dalam sektor pembuatan sahaja, 63 peratus, daripada pelaburan diluluskan adalah daripada perniagaan sedia ada yang mengembangkan operasi mereka.

Ini menunjukkan keyakinan yang kukuh daripada syarikat-syarikat ini terhadap kestabilan ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.

Nota: Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pandangan ini dipetik dari laman sosial Facebook beliau